5 PERKONGSIAN DARIPADA SESI KEEMPAT HADYUN NABAWI BERSAMA AL HABIB JINDAN BIN NOVEL BIN SALIM BIN JINDAN DI MASJID AN NUR PADA 16 NOVEMBER 2016
1. Cara Dakwah Rasulullah ﷺ
Dakwah Rasulullah ﷺ mengajak manusia ke arah kesatuan dan menjauhi perpecahan. Contoh ini dapat dilihat bagaimana kaum Aus dan Khazraj yang saling memerangi akhirnya bersatu sebagai kaum Ansar dan berkasih-sayang sebagaimana dipuji Allah di dalam firmanNya pada ayat ke-9 Surah al-Hasyr:
يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡہِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمۡ حَاجَةً۬
Maksud ayat: …dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat…
Tidak ada agama, organisasi, parti, pemerintah yang akan membenarkan permusuhan berleluasa kerana bertentangan dengan ruh agama dan sifat kemanusiaan.
2. Cara Menyeru Kepada Kebaikan
Menyeru manusia kepada kebaikan mestilah dengan cara yang baik, bukan dengan kemungkaran. Ini termasuk menggunakan arak dan zina sebagai alat mengajak kepada kebaikan. Begitu juga perbuatan melaknat dan mengkafirkan sesama Muslim, membenci para ahli keluarga dan sahabat Rasulullah ﷺ, para malaikat, para nabi dan para solihin.
Oleh itu, mencegah kemungkaran wajib juga menggunakan cara yang mulia seperti yang disifatkan Allah di dalam Surah Ali Imran ayat ke-159:
بِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِۖ
Maksud ayat: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu…
3. Antara Tanda Kebaikan Dan Keburukan Pada Suatu Kaum
Apabila Allah menghendaki kebaikan buat suatu kaum, Allah akan bukakan pintu yang menggemarkan kaum tersebut kepada beramal dan menutup pintu yang membawa kepada kesukaan berjidal/berdebat.
Sebaliknya, jika Allah menghendaki keburukan buat suatu kaum, akan dibukakan baginya pintu yang membawa kepada kegemaran berdebat dan menutup pintu yang mendorong kepada kesukaan beramal.
Keadaan ini semakin parah apabila sesuatu perbezaan pendapat ditegakkan atas dorongan hawa nafsu. Akhirnya lahirlah penipuan atas nama agama.
4. Keadaan Umat Akhir Zaman
Berbeza dengan sifat terpuji orang yang terdahulu yang bertanyakan tentang halal-haram sesuatu perkara agar dapat dijadikan panduan beramal dan menjalani hidup yang terpuji, kebanyakan persoalan kini ditimbulkan untuk mendapatkan jawapan yang meng’halal’kan atau membenarkan perbuatan yang sudah jelas haramnya.
5. Ciri-ciri Ahlussunnah Waljamaah
a) Dari segi aqidah, majoriti mereka berteraskan manhaj Asya’irah ataupun Maturidiah.
b) Dari segi fiqh, mengamalkan salah satu daripada 4 mazhab; Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali kerana ikatan sanadnya yang tersambung kepada Rasulullah ﷺ
c) Menerima pengamalan tasawuf/tazkiyah (pembersihan hati) mengikut tariq/jalan yang sah/diiktiraf seperti Syaziliah, Ba’alwi dan sebagainya.
d) Menyintai ahli keluarga dan para sahabat Rasulullah ﷺ.
Oleh itu, dustalah mereka yang mengatakan cintakan sahabat Rasulullah ﷺ tetapi membenci ahli keluarga baginda.
Begitu juga turut berdusta mereka yang mengatakan menyintai ahli keluarga Rasulullah ﷺ tetapi membenci sahabat baginda.
Wallahu a’lam. Semoga bermanfaat untuk renungan dan pengamalan kita bersama.