Majlis Al-Muwasolah Singapura

official repository for Majlis Al-Muwasolah Singapura

Majlis Al-Muwasolah Singapura

Pelajaran Quraniyyah dari Ramadhan oleh Al-Allamah Al-Habib Umar bin Hafiz

Al-Allamah Al-Murabbi Al-Habib Umar Bin Hafiz Hafizahullah berkata: 2015-12-23 18.20.49

Ambillah dari pengajian bulan Ramadhan dengan hatimu mengagungkan kitab Allah Tabaraka wa Ta’ala (Al-Quran) sambil beramal dengannya. Sebaiknya kita luangkan waktu bersama mereka yang kita sayangi dari kalangan anak-anak kita untuk menghafal dan menjaganya (Al-Quran) dengan baik.

Dengan baik bermaksud dengan menghafal dan menjaganya serta mengagungkan kehormatannya dengan hati yang bersih, niat yang ikhlas, merendah diri kerana Allah Tabaraka wa Ta’ala, bersangka baik kepada hamba-hamba Allah dah mengasihi seluruh ciptaanNya.

Beginilah cara menjaga serta menghafal Al-Quran. Jika ia dijaga dengan sebaik-baiknya maka ia akan menambahkan kedekatan dengan Allah Ar-Rahman.

– Al-Habib Umar bin Hafiz (30 April 2019)

💬 العلّامة المُربي الحبيب عمر بن حفيظ حفظه الله
خذوا من دروس رمضان تعظيم قلوبكم لكتاب الله تبارك وتعالى للعمل به ولأن نفرغ من نقدر من أبنائنا وبناتنا لحفظه على الوجه الطيب ..
والوجه الطيب أن يقرن الحفظ بتعظيم الحرمة وصفاء القلب وبإخلاص النية وبالتواضع لله تبارك وتعالى والتذلل له وبحسن الظن بعباد الله وبرحمة الخلق أجمعين .
وهكذا يقوم الحفظ للقرآن إذا تم على وجهه هذا فيفيد قربة إلى الرحمن

Ulasan Buku ‘Sehari Bersama Rasul’ karangan Ustaz Naufal (Novel) Bin Muhammad Al-Aidarus

sehari bersama rasul habib naufal (novel) bin muhammad al aydrus

Pembalajaran Sejarah Rasulullah ﷺ Dan Kepentingannya Buat Umat

Pembelajaran sejarah Rasulullah ﷺ merupakan premis bagi para pencinta Baginda ﷺ yang ingin menyingkap kehidupan Baginda ﷺ untuk dijadikan contoh bagi merealisasikan maksud surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Oleh kerana itu para ulama’ dari zaman dahulu hingga ke hari ini bersungguh-sungguh di dalam menggali khazanah kehidupan Rasulullah ﷺ dan mempersembahkannya di dalam pelbagai bentuk pendekatan demi untuk memberikan keintiman yang didambakan oleh para pencinta Baginda ﷺ. Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh berikut:

  • Karya-karya Imam Muhammad Ibnu Ishaq’  dan Imam Abu Muhammad Abdul Malik (Ibnu Hisyam) yang masyhur dengan karya Sirah Ibnu Ishaq dan Sirah Ibnu Hisyam yang mempersembahkan sejarah Islam melalui kronologi kejadian-kejadian penting dalam Islam.
  • Imam At-Tirmidhi melalui karangan As-Syamail Al Muhammadiyah dan Al-Qadi Iyad di dalam As-Syifa yang memberikan perincian yang lebih halus sekitar keperibadian Rasulullah ﷺ
  • Usaha-usaha kontemporari oleh As-Syahid Dr Sa’id Ramadhan Al-Buty di dalam Fiqhus Sirah dan Syaikh Muhammad Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin yang menghimbau para pembaca untuk memetik mutiara-mutiara pelajaran berharga daripada kehidupan Rasulullah ﷺ.
  • Syaikh Abdul Hayy Al Kittani dalam Al-Taratib Al-Idariyah dan Syaikh Muhammad Abul Huda al Yaqoubi dalam Shamail Al-Habib Al-Mustafa yang berusaha mengaitkan kehidupan Rasulullah ﷺ dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini baik dari sisi keadaan seorang individu mahupun realiti masyarakat yang sedia ada.

Tambahan pula, keadaan am manusia di zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai tantangan hidup yang meruncing menjadikan manusia semakin mencari rujukan sebagai tempat sandaran dan berteduh. Bagi umat Islam khususnya, kegelapan yang semakin menyelubungi zaman semakin menyerlahkan cahaya kehidupan Rasulullah ﷺ untuk dikaji dan diikuti.

Sehari Bersama Rasul: Ringan Dibaca, Senang Diamalkan

Karya Sehari Bersama Rasul merupakan bahan bacaan yang ideal kerana ia mengambil pendekatan yang ringkas namun padat lagi praktikal untuk dituruti. Kebanyakan bacaan sejarah tentang Rasulullah ﷺ menyelidik peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam. Pada masa yang sama karya-karya yang berkisar tentang keperibadian Rasulullah ﷺ menimbulkan persoalan tentang konteks (latar belakang) yang menjadi sebab bagi Rasulullah ﷺ melakukan perkara yang dikisahkan. Maka hasil daripada dua perkara ini, timbullah persoalan di kalangan sebahagian kita:

“Bagaimanakah agaknya kehidupan seharian Rasulullah ﷺ luar daripada batas-batas kejadian-kejadian besar yang sering digambarkan di dalam buku-buku sejarah Baginda?”

Maka buku ini seolah-olah memberikan visual yang sangat jelas tentang kehidupan harian Baginda ﷺ. Mendalami karya Ustaz Naufal ini menginsafkan kita tentang betapa menjadi seorang insan yang produktif buat diri, keluarga dan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil kerana premis waktu bagi buku ini mengambil jadual Baginda ﷺ ketika di Madinah. Bayangkan seorang yang berusia di anggaran usia antara 50 dan 60 tahun yang perlu memimpin keluarga dan masyarakat, menjaga keselamatan sebuah kota yang dikelilingi suasana yang sentiasa mengancam dan pada masa yang sama juga mempunyai tanggungjawab untuk beribadah kepada PenciptaNya dan masih mampu melaksanakan setiap tuntutan ini tanpa perlu berkeluh kesah dan merungut! Buku ini juga mendidik kita bahawa umat Rasulullah ﷺ yang sejati adalah mereka yang kuat hubungannya dengan Allah dan besar manfaatnya kepada ciptaan Allah di sekelilingnya.

Kesimpulannya, buku ini adalah langkah-langkah pertama kita bagi merealisasikan impian kita untuk mencontohi manusia yang menjadi rahmat kepada semesta alam!

Fawaid: Amalan Hari Jumaat

Berikut adalah sebahagian daripada amalan pada hari Juma’at daripada warisan ulama’ Ba’alwi – semoga Allah meredhai mereka – berdasarkan catitan para murid Habib Muhammad bin Abdullah Al-Haddar – semoga Allah memelihara mereka.

1. Membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan [*pada rakaat pertama dan kedua] pada Solat Fardhu Subuh pada hari Jumaat. Pada akhir-akhir usianya ketika beliau dalam keadaan tua dan lemah, Imam Al-Haddad akan mengubah kebiasaan ini dengan membaca Surah Al-‘Ala dan Surah Al-Ghashiyah.

Yemen-Daurah-623

2. Menziarahi kubur setelah terbit matahari pada hari Jumaat sebagaimana disebutkan oleh Habib Attas Al-Habsyi dalam kitabnya, At-Tazkir Al-Mustafa. Imam Al-Haddad juga diriwayatkan menziarahi kuburan di Tarim selepas solat Asar pada hari Jumaat.

3. Para solihin daripada keturunan Ba’alwi juga tidak akan mengadakan kuliah pada waktu Dhuha pada hari Jumaat. Bahkan Imam Al-Haddad menegur mereka yang mengadakan kuliah pada waktu Dhuha pada hari Jumaat.

4. Berhimpun awal untuk Solat Jumaat kerana ia merupakan sunnah Baginda ﷺ. [Ia juga merupakan sunnah untuk mengenakan pakai putih sepenuhnya; suatu sunnah yang dikekalkan oleh para solihin di Hadramawt hingga ke hari ini.]

5. Memberi minum kepada mereka yang datang awal untuk solat Jumaat sebelum berlangsungnya khutbah kecuali pada enam hari pertama bulan Shawwal ataupun pada hari yang dimaklumi orang ramai berpuasa sunnat.

6. Bagi yang bermusafir kerana berdakwah [*Ini merupakan amalan sebahagian daripada pendakwah agung terdahulu yang kerap keluar daripada kampung halaman/kota mereka untuk menyeru orang lain ke jalan Allah. Diriwayatkan bahawa bagi tokoh-tokoh dakwah seperti Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan Habib Umar Bin Abd ar-Rahman al-Attas; Solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka [kerana bermusafir pada hari Jumaat yakni satu sebab yang diterima syarak.]

7. Diriwayatkan bahawa Imam Al-Haddad akan melaksanakan empat rakaat Solat Tahiyatul Masjid dengan satu salam dan beliau akan membaca:

(i) pada rakaat pertama separuh daripada Surah Al-Jumu’ah dan Ayat Al-Kursi; ii) pada rakaat kedua – bahagian kedua surah Al-Jumu’ah dan tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, (iii) pada rakaat ketiga- baahgian pertama Surah Al-Munafiqun dan Ayat al-Kursi; dan (iv) pada rakaat keempat – bahagian kedua Surah Al-Munafiqun dan tiga ayat terakhir Surah Al Baqarah

8. Membaca surah-surah berikut sebagaimana yang digalakkan di dalam hadith-hadith Rasulullah ﷺ:
* Al-Kahf
* Yasin
* Dukhan
* Al-Waqiah
* Taha
* Al-Mulk
* Surah-surah lain yang dimaklumi pengamalannya oleh para salaf

* Para solihin yang terdahulu daripada kalangan Keluarga Ba’alwi juga dikenali sebagai mereka yang menyibukkan diri mereka dengan banyak berselawat kepada Rasulullah ﷺ pada hari Jumaat secara am. Selain itu, mereka turut membacakan selawat berikut selepas Asar pada hari Juma’at sebanyak 80 kali:

‎ اَلْلَهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍعَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اْلنَّبِيِّ الْاُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا

Transliterasi: Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad ‘abdika wa rasulika, an-nabiyyil ummiyy, wa ‘ala alihi wa sohbihi wa sallim taslima

Makna: Ya Allah, selawat dan salam yang berkekalan ke atas Penghulu kami Muhammad ﷺ, hambaMu dan Rasul ﷺ, Nabi yang ummi ﷺ, dan juga ke atas keluarga Baginda dan para sahabat.

9. Membaca Musabbaa’t (4 surah yang dibaca berulang sebanyak 7 kali) selepas Solat Al-Jumuah:
* Al-Fatihah x7
* Al-Ikhlas x7
* Al-Falaq x7
* Al-Nas x7

Dan doa dan zikir berikut:

‎للّٰهُمَّ يَاغَنِيُّ يَاحَمِيْدُ يَامُبْدِئُ يَامُعِيْدُ يَارَحِيْمُ يَاوَدُوْدُ اَغْنِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَبِطَاعَتِكَ عَنْ مَعْصِتِكَ وَبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Transliterasi: Allahumma ya Ghaniy ya Hamid ya Mubdi ya Mu’id ya Rahim ya Wadud, aghniniy bihalalika ‘an haramik wa bi to’atika ‘an ma’siyatik wa bifadhlika ‘am-man siwak

Makna: Wahai Tuhan Yang Maha Kaya, Wahai Yang Maha Terpuji, Wahai Yang Memulakan Segala Sesuatu, Wahai Yang Menjadi Tempat Kembali Segala Sesuatu, Wahai Yang Maha Mengasihani, Wahai Yang Maha Penyantun; cukupkanlah bagi diriku dengan rezeki yang halal bukan yang haram, dengan ketaatan bukan kemaksiatan, dan bebaskanlah daku daripada begantung kepada selainMu.

7x ياكافي يامغني يافتاح يارزاق

Transliterasi: Ya Kafi, Ya Mughniy, Ya Fattah, Ya Razzaq

Makna: Wahai Yang Mencukupkan, Wahai Yang Maha Kaya, Wahai Yang Maha Membuka, Wahai Yang Maha Memberi Rezeki

100x سبحان الله العظيم وبحمده

Transliterasi: SubhanaAllah al-Azimi wa bihamdih

Makna: Maha Suci Allah, Yang Maha Agung dan segala puji bagiNya

Mendahulukan zikir-zikir yang warid selepas solat sebelum membaca Musabba’at sebagaimana yang diamalkan Imam Al Haddad dan selainnya.

10. Menunaikan Solat Jenazah Ghaib (bagi jenazah yang ada di luar negari) sebagaimana yang dilakukan oleh warga Tarim, mereka yang berada di Ribat milik Habib Muhammad Al-Haddar, dan yang lainnya daripada kalangan para solihin yang terdahulu. *Nama-nama arwah biasanya telah diberikan kepada imam terlebih dahulu.

“Wahai Yang Membawa Kebaikan kepada mereka yang berbuat kebaikan dan membantu mereka di dalam berbuat demikian, kurniakanlah kepada kami kebaikan dan bantulah kami di dalam membuatnya. Selawat dan salam kepada Penghulu kami, Muhammad ﷺ, dan atas keluarga Baginda dan para sahabat. Kurniakanlah kesempurnaan di dalam mencontohi Baginda ﷺ zahir dan batin. Segala puji hanya milik bagi Allah.”

*catitan penyunting

4 Pesanan Al-Habib Umar Bin Hafizh Hafizahullah

Disampaikan oleh Al-Habib Abdul Rahman Bin Ali Masyhur Bin Hafizh di Masjid Al-Mawaddah pada 2 Januari 2019

Image may contain: 1 person, smiling, beard, hat and close-up

1. Pesanan Pertama

Membaca 100x dalam sehari semalam:

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي

Transliterasi: Robbishrahli sodri wayassirli amri

Maknanya: Tuhanku; lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah akan segala urusanku

Faedah:

Menghilangkan kesusahan dan dipermudahkan urusan termasuk untuk anak-anak kita yang ingin mengambil peperiksaan.

2. Pesanan Kedua

Membaca Ayatul Kursi (Surah Al-Baqarah, Ayat 255) pada 4 tempat/situasi berikut:

  1. Selepas solat
  2. Sebelum tidur
  3. Ketika keluar rumah
  4. Ketika masuk rumah serta ditambah dengan 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas)

Faedah:

Memurahkan rezeki tuan rumah dan jiran tetangganya.

3. Pesanan Ketiga

Membaca setiap hari sebanyak 100 kali:

لااله الاالله الملك الحق المبين

Transliterasi: Lailahaillallah Al Malikul Haqqul Mubin

Maknanya: Tidak ada tuhan selain Allah; Yang Maha Benar lagi Maha Nyata

Faedah:

  1. Membuka pintu rezeki
  2. Membuka pintu syurga
  3. Selamat dari musibah
  4. Aman dari siksa kubur

4. Pesanan Keempat

Menghafalkan dan mengamalkan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ , فَقَوِّ فِي رِضَاكَ ضَعْفِي، وَخُذْ إِلَى الْخَيْرِ بِنَاصِيَتِي، وَاجْعَلِ الْإِسْلَامَ مُنْتَهَى رِضَائِي، اللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ فَقَوِّنِي، وَإِنِّي ذَلِيلٌ فَأَعِزَّنِي، وَإِنِّي فَقِيرٌ فَأَغْنِنِي، يَا أَرحَمَ الرَّحِمِينَ

Transliterasi: Allahumma inni dho’ifun, faqawwiy fi ridhoka dho’fi, wa khudz ilal khoiri binashiyati, waj’alil Islama muntaha ridho-i. Allahumma inni dho’ifun faqawwiny, wa inni dzalilun fa-a’izzani, wa inni faqirun fa-aghnini, Ya Arhamarrahimin.

Maknanya: Ya Allah, sesungguhnya aku ini lemah, maka kurniakanlah bagiku kekuatan di dalam keredhaanMu, dan bimbinglah diriku ke arah kebaikan, dan jadikanlah Islam sebagai kebahagiaan terbesarku.

Ya Allah, sesungguhnya aku ini lemah, maka kuatkanlah daku. Dan sesungguhnya aku ini hina, maka muliakanlah daku. Dan sesungguhnya aku ini memerlukan, maka cukupkanlah daku. Wahai Yang Maha Pengasih di kalangan yang mengasihi.

Klik di sini untuk mendengar nasihat Sayyidil Habib Umar tentang doa ini.

Faedah:

Barangsiapa mampu mengamalkan serta menghafaznya maka itu adalah tanda Allah mahukan kebaikan untuknya.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk sentiasa mengamalkan ilmu dan pesanan para guru-guru kita.

5 Permata Dari Perkongsian Al-Habib Abdul Rahman Bin Ali Masyhur Bin Hafizh Di Masjid Al-Mawaddah Pada 2 Januari 2019

1. Asal Usul Nama Riyadhus Solihin

Ia diambil sempena anjuran Rasulullah ‎ﷺ di dalam sebuah hadith agar orang beriman singgah di taman-taman syurga.

Nabi ﷺ pernah berkata kepada para sahabat, ”Jika kamu melewati taman-taman syurga, maka singgahlah di dalamya.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu?” Baginda menjawab, “Halaqah-halaqah (kelompok-kelompok) zikir [حِلَقُ الذِّكْرِ].”

Taman-taman syurga bermaksud majlis-majlis mengingati Allah termasuk majlis ilmu.

habib abdul rahman

2. Beberapa Kisah Kasih Sayang Saidina Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu Anhu Terhadap Rasulullah

Kisah Pertama

Apabila Nabi ‎ﷺ mendapat izin untuk berhijrah, Baginda ﷺ mendatangi rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada masa yang bukan biasanya orang datang untuk berziarah. Rasulullah ‎ﷺ lalu mengkhabarkan kepada Saidina Abu Bakar bahawa Baginda ﷺ telah diberi izin untuk berhijrah. Saidina Abu Bakar lalu meminta izin untuk menemani Baginda ‎ﷺ. Apabila izin diberi, mengalir air mata kegembiraan dari mata Saidina Abu Bakar.

Saidatina Aishah (yang masih kecil ketika itu) menyatakan bahawa itulah kali pertama beliau melihat orang menangis kerana kegembiraan.

Kisah Kedua

Saidina Abu Bakar sangat prihatin terhadap keselamatan Baginda ‎ﷺ sehingga beliau sentiasa bertukar-tukar posisi – kadang di belakang, kadang di hadapan, kadang di sisi Baginda ‎ﷺ – sepanjang perjalanan untuk mengawasi serangan musuh.

Kisah Ketiga

Saidina Abu Bakar memeriksa Gua Thur terlebih dahulu dan berusaha untuk menutupi setiap lubang di gua tersebut untuk memastikan ianya selamat dihuni . Ketika Rasulullah ﷺ tertidur dengan kepalanya di pangkuan Saidina Abu Bakr, beliau terlihat satu lobang yang luput dari pengamatannya lalu menutupi lobang itu dengan kakinya sendiri. Ketika itu, seekor ular/kalajengking telah mematuk/menyengat kaki beliau. Walaupun sengatan itu sangat menyakitkan, beliau berusaha untuk tidak bergerak sedikit pun agar tidak mengganggu tidur Rasulullah ‎ﷺ.

3. Mereka Yang Memainkan Peranan Penting Ketika Hijrah Rasulullah

Ketika Nabi Muhammad ‎ﷺ ingin berhijrah, Baginda ﷺ dibantu beberapa individu:

  1. Saidina Abdul Rahman bin Abu Bakar yang membawa binatang ternakannya untuk berjalan di atas bekas tapak kaki Rasulullah ‎ﷺ dan Saidina Abu Bakar agar tidak dikesan oleh musuh
  2. Saidatina Asma’ binte Abu Bakar yang sedang mengandung 7 bulan ketika itu telah menyiapkan dan menghantarkan makanan kepada Rasulullah ‎ﷺ dan Saidina Abu Bakar ketika mereka berada di Gua Thur
  3. Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menyiapkan dua tunggangan buat beliau dan Rasulullah ‎ﷺ
  4. Abdullah Bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan
  5. Saidina Ali bin Abi Thalib yang mengambil tempat Rasulullah ﷺ di tempat tidur Baginda‎ ﷺ walaupun dia tahu bahawa nyawanya terancam

Bila menyebut tentang sumbangan terhadap Rasulullah‎ﷺ maka ikatan antara ahli bait Baginda ‎ﷺ dan para sahabat radhiyallahu anhum tiada terpisah.

4. Sifat Hamba Allah Yang Terpuji Dalam Surah Al-Furqan

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang :

  1. Berjalan di bumi dengan rendah diri
  2. Apabila berhadapan dengan perangai dan kata-kata orang yang jahil, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini
  3. Tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (qiyam)
  4. Berdoa dengan kalimah “رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ‌ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا” yang bermakna, “Wahai Tuhan kami; jauhkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu mengerikan.”
  5. Apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul-betul kesederhanaan di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu
  6. Tidak menyembah sesuatu melainkan Allah
  7. Tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak)
  8. Tidak berzina
  9. Tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang
  10. Apabila bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara yang terhormat
  11. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, mereka bersungguh-sungguh mendengar dan menghayatinya
  12. Berdoa dengan kalimah “رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا” yang bermakna, “Wahai Tuhan kami; berilah kami isteri-isteri dan zuriat keturunan yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.”

5. Beberapa “Tips” Untuk Bangun Malam Berqiyamullail

  1. Tidur awal
  2. Tidur dalam keadaan berwudhuk
  3. Menghadap kiblat
  4. Membaca doa ketika hendak tidur
  5. Membaca Ayatul Qursi
  6. Membaca akhir Surah Al-Baqarah iaitu ayat 284 hingga 286
  7. Membaca tiga Qul
  8. Membaca Zikir Fatimah: Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 34 kali
  9. Membaca Surah Al-Mulk
  10. Membaca sepulah ayat pertama Surah Al-Kahf
  11. Membaca empat ayat akhir dari Surah Al-Kahf kerana ia diibaratkannya sebagai alarm clock Al-Qur’an; yang mengamalkannya dengan istiqamah akan dipermudahkan untuk bangun melaksanakan qiyamullail

Semoga bermanfaat buat kita semua di dalam menjadikan kita orang yang sentiasa menyumbang kepada agama di samping giat bangkit beribadah pada waktu malam.

5 Permata Daripada Perkongsian Kiayi Muhaemin Abdul Basit di Masjid Hajjah Fatimah pada 26 Disember 2018

1. Kepentingan Memperbaiki Suara Ketika Membaca Al Qur’an

a. Dalil Menyarankan Mengindahkan Suara Ketika Membaca Al Qur’an:

i. Kerana ia adalah perintah Rasulullahﷺ untuk mengindahkan suara ketika membaca Al Qur’an – يتغني

ii. Kerana Rasulullahﷺ ada bersabda bahawa mereka yang tidak mengindahkan suaranya ketika membaca Al Qur’an, maka mereka bukan daripada golongan Baginda ﷺ

b. Kenapa diperintahkan memperbaiki suara?

i. Kerana ia membantu menghadirkan hati dan mengkhusyukkan hati

ii. Mampu mendatangkan rasa sedih, terasa syahdu, dan mudah menangis

iii. Menggalakkan orang lain untuk mendengar dan mengajak kepada kebaikan. Dengan ini, dia akan meraih dua pahala iaitu pahala membaca dan menyebabkan orang lain terbuka hati kepada Al Qur’an

Kiyai

2. Adab-Adab Batin Ketika Membaca Al Qur’an

a. Ikhlas

b. Mengharapkan redha Allah dan pahala

c. Mentadabburkan ayat-ayat Al Qur’an

d. Memahami makna ayat Al Qur’an

e. Fokus dan tidak ingat pada perkara yang lain

f. Bertafakkur; ketika bertemu larangan Allah pada ayatNya, bersyukur kerana tidak melanggar larangan Allah, atau bertaubat jika sebaliknya

3. Adab-Adab Zahir Ketika Membaca Al Qur’an

Adab zahir dituntut kerana ia dapat membantu mencapai adab yang batin. Adab zahir ini boleh dikiaskan dengan anjuran melafazkan niat sebelum solat dalam Mazhab Syaf’i supaya dapat menghadirkan niat di dalam hati.

Di antara adab zahir yang dituntut ketika membaca Al Qur’an adalah:

a. Mengeluarkan suara yang terbaik, termasuk tajwid, dan makhrajnya

b. Suci daripada hadas kecil (walaupun dibolehkan dan mendapat pahala membaca ketika hadas kecil; tapi pahalanya kurang daripada yang membaca dalam keadaan suci)

c. Menghadap kiblat; ini juga merupakan adab membaca kitab dalam majlis ilmu

d. Anggota badan ikut fokus seperti berdiam diri; tidak tergaru-garu kerana membaca surah dari Al Qur’an

e. Mata kita terfokus pada bacaan dan tidak melilau-lilau

f. Mewangikan anggota badan termasuk mulut dan tempatnya kerana ia menggalakkan kehadiran para malaikat

4. Semakin Sempurna Keadaan (Beradab), Semakin Banyak Kebaikan/Pahala

Telah berkata Saidina Ali bin Abi Thalib – karamallahu wajhah – membaca Al Qur’an dalam keadaan:

  • berhadas kecil = 10 pahala/kebaikan bagi setiap huruf
  • berwudhu’ = 25 pahala/kebaikan bagi setiap huruf
  • solat duduk = 50 pahala/kebaikan pada setiap huruf
  • solat berdiri = 100 pahala/kebaikan pada setiap huruf

Semakin sempurna adab kita apabila membaca Al Qur’an, semakin banyak pahala yang diterima.

Dengan itu, penting juga untuk kita menjaga adab-adab dalam menuntut ilmu.

Telah berkata Imam Malik radhiyallahu anhu, “Bukanlah ilmu dengan banyaknya periwayatan, tetapi ilmu yang sebenarnya adalah ilmu yang sampai ke hati.”

Telah berkata juga Al-Habib Hassan As-Syatiri, “Lafaz ilmu boleh didapati oleh orang yang baik mahupun orang yang jahat, tetapi cahaya ilmu hanya diperolehi oleh orang yang bertaqwa.”

5. Bab Rokok

Syeikh Ismail Al-Yamani menyebutkan bahawa hukum menghisap rokok dipersilisihkan antara makruh dan haram. Namun, ulama bersepakat atas haramnya merokok di tiga tempat:

  • Di tempat dibacakan Al Qur’an
  • Di tempat ilmu disampaikan
  • Di dalam masjid

Semoga kita dikurniakan taufiq untuk mengamalkan pembacaan dan penghayatan Al Qur’an dan terpenting sekali melakukannya dengan penuh beradab.

5 Permata Daripada Kuliah Kiyai Muhaemin Abdul Basyit Pada 24 Oktober 2018 Di Masjid Al Ansar

1. Makna Tadabbur & Cara Mengamalkannya

Tadabbur bermakna penerapan makna Al-Qur’an pada hati seseorang. Sejauh mana penghayatan seseorang pada Al-Qur’an sangat bergantung kepada keluasan ilmunya mengenai Tuhannya.

Sebagai contoh, apabila merenung akan makna ayat kedua dari Surah Al-Baqarah iaitu:

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

Maknya ayat: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

… seseorang akan mendapati keyakinan tentang Al-Qur’an, dia mengucapkan Alhamdulillah.

Sebaliknya kalau dia mendapati keraguan kepada Al-Qur’an, dia akan beristighfar.

Kiyai

2. Cara Rasulullah ﷺ Bertadabbur

Seandainya Rasulullah  ﷺ  bertemu ayat tentang rahmat Allah, Baginda ﷺ  akan berhenti sejenak untuk merenung keluasan rahmat Allah dan berdoa agar dikurniakan rahmat Allah. Sebaliknya, seandainya Baginda bertemu ayat berkaitan azab Allah, Baginda ﷺ  akan berhenti sejenak untuk meminta dijauhkan dari azab Allah.

3. Tadabbur Yang Sepatutnya

Terdapat sebahagian orang Islam, apabila bertemu dengan ayat-ayat yang menyentuh tentang keadaan orang yang tidak beriman, akan merasakan bahawa ayat tersebut tiada kena mengena dengan keadaan dirinya dan hanya ditujukan semata-mata buat golongan yang tidak beriman. Sebaliknya, kita sepatutnya menangis apabila bertemu ayat-ayat yang sedemikian kerana kita sendiri tidak mengetahui bagaimana kesudahan kehidupan kita sama ada beriman ataupun tidak.

Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa manusia diciptakan Allah dalam 4 keadaan:

a. Manusia diciptakan oleh Allah untuk ibadah dan untuk syurga – contohnya para anbiya, ulama’, dan solihin.

b. Manusia diciptakan oleh Allah untuk syurga tapi bukan untuk ibadah – contohnya: tukang sihir Fir’aun yang beriman kepada kepada Allah lalu dibunuh Fir’aun.

c. Manusia yang diciptakan oleh Allah untuk ibadah dan  bukan untuk syurga – contohnya Bal’am bin Ba’ura yang dikurniakan karamah mampu melihat Arasy apabila mendongakkan kepala tapi mati tidak beriman kerana mempunyai kecintaan terhadap dunia.

d. Manusia yang diciptakan bukan untuk syurga dan bukan untuk ibadah – contohnya orang-orang yang selama hidup hingga ke matinya tidak beriman.

4. Kepentingan Ikhlas

Imam Al-Ghazali mengatakan semua manusia berada dalam kebinasaan melainkan orang yang berilmu. Namun orang yang berilmu juga binasa melainkan mereka yang beramal dengan ilmunya. Namun orang yang beramal juga binasa melainkan yang ikhlas dalam ibadahnya. Bahkan orang yang ikhlas itu sendiri dalam kerisauan (takut binasa). Untuk mencapai hakikat keikhlasan ini memerlukan perjuangan melawan hawa nafsu kerana perjuangan menentang musuh sekalipun jika tidak diiringi keikhlasan akan menyebabkan seorang pejuang itu dimasukkan ke dalam neraka kerana nafsunya yang berjuang untuk dipuji kerana keberaniannya – maksud dari kenyataan ini didapati dari sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berkenaan dengan perjuangan menentang hawa nafsu, Imam Ibnu Qayyim menyatakan di dalam Zadul Ma’ad bahawa jihad melawan hawa nafsu terdapat 4 peringkat:

a. Melawan hawa nafsu untuk menghilangkan kebodohan dalam diri kita

b. Melawan hawa nafsu untuk mengamalkan ilmu yang diperolehi

c. Melawan hawa nafsu agar menyampaikan ilmu kepada orang lain

d. Melawan hawa nafsu agar bersabar menghadapi risiko di dalam menyampaikan ilmu

5. Tujuh Kalimah Yang Bermanfaat

Imam Abu Laith As-Samarqandi di dalam kitabnya, Tanbihul Ghafilin, menyebutkan bahawa 7 kalimah berikut apabila dipelihara oleh orang yang beriman nescaya akan:

a. menjadikannya mulia di hadapan Allah dan para malaikatNya

b. diampuni dosanya walau sebanyak buih di lautan

c. tercapai olehnya kelazatan dalam ibadah

d. hidup dan matinya dalam keadaan baik

7 kalimah dan keadaan pemeliharaannya ialah:

  1. Memulai segala kegiatan dengan Bismillah (Dengan nama Allah)
  2. Menyudahi setiap kegiatan dengan Alhamdulillah (Segala puji milik hanya bagi Allah)
  3. Setiap kali terucap perkataan yang tidak bermanfaat atau berdosa, segera diucapkan Astaghfirullah (Aku mohon ampun dari Allah)
  4. Apabila merancang sesuatu, akan diiringi kalimah InsyaAllah [jika Allah menghendaki, (ia pasti berlaku)]
  5. Apabila menghadapi perkara yang tidak diingini, diucapkan La hawla wala quwwata illa billahi [tiada daya dan kekuatan (di sisi kita) melainkan dengan kehendak Allah]
  6. Apabila menghadapi musibah sama ada yang kecil mahupun besar pada diri sendiri ataupun harta, diucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun ( sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami semua kembali)
  7. Lidah yang tidak pernah berhenti daripada menyebut Lailahaillallah (tiada yang layak disembah melainkan Allah)

Semoga kami tergolong sebagai penuntut ilmu yang ikhlas belajar, beramal dan menyampaikan ilmu yang dipelajari.

5 Mutiara Berharga Daripada Ceramah Pra-Khutbah Al Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafiz Di Masjid Sultan Pada 5 Oktober 2018

Habib_Umar_2018_Masjid_Sultan1. Sebab Diutusnya Rasulullah ﷺ

Antara sebab diutusnya Rasulullah ﷺ adalah:

  • Sebagai khabar gembira dan peringatan
  • Sebagai penyeru kepada Allah dengan keizinan-Nya yang terang-benderang
  • Sebagai penyuruh kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah perkara yang mungkar
  • Untuk menghalalkan perkara yang baik dan mengharamkan yang tidak diizinkan

Oleh itu, mereka yang beriman dan mengikut petunjuk Baginda ﷺ adalah orang-orang yang berbahagia.

2. Kemuliaan & Keistimewaan Umat Islam

Umat Islam dimuliakan dan diistimewakan dari umat-umat yang lain kerana dikurniakan keistimewaan yang dapat menyelamatkan daripada penyesalan hari kiamat.

Kemuliaan ini berupa neraca syariat iaitu apa yang patut kita terima dan cintai, dan apa yang patut kita tolak. Maka setiap  gerakan kita perlulah diatur mengikut neraca syariat.

Neraca ini menyuruh kita untuk bersegera dalam melaksanakan perintah Allah, saling bantu-membantu dan menolak akhlak yang tercela.

3. Menilai Adat & Kebiasaan

Setiap adat dan kebiasaan patut dikekalkan dan dilestarikan. Sedangkan setiap adat yang membahayakan dan mengganggu makhluk yang lain patut dilarang.

Contoh adat dan kebiasaan yang patut dikekalkan dan dilestarikan:

  • Infak
  • Membantu orang yang ditimpa musibah
  • Berkumpul untuk mengingati Allah melalui zikir dan selawat
  • Berbuat baik kepada jiran
  • Menjemput orang untuk jamuan

4. Mengenang Hari Kebesaran

Mengenang sesuatu hari kebesaran disebabkan rasa kesyukuran iaitu hari kemerdekaan kerana menghargai hak-hak kemanusiaan hukumnya mubah (dibolehkan); dengan syarat disambut dengan perkara yang dibolehkan.

Al-Habib Umar dalam menerangkan betapa Al Qur’an merakamkan hari di mana makanan diturunkan dari langit kepada para pengikut Nabi Isa alaihissalam (Surah Al Maidah ayat 114) menghimbau kita untuk merenung tentang betapa jika meraikan nikmat diturunkan makanan dari langit dibolehkan, betapa pula halnya jika dibandingkan dengan nikmat meraikan hari diutusnya Nabi Muhammad ﷺ kepada kita.

5. Beberapa Sunnah Pada Hari Jumaat

  • Menderma/ bersedekah
  • Berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ
  • Membaca Surah Al Kahf.

Semoga Allah sentiasa memelihara Al-Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafiz hafizahullah dan menjadikan kami orang-orang yang mendapat manfaat daripada ilmu yang disampaikan.

5 Mutiara Berharga daripada Khutbah Arafah Al-Habib Ali Al-Hamid pada 9 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2018

Petikan daripada Khutbah Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid di bumi Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah 1439 Hijrah, bersamaan 20 Ogos 2018

HA AlHamid 2

Credit Photo: Facebook page Pencinta Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid

1. Tanggungjawab Menyahut Seruan Allah Dan RasulNya ‎ﷺ

Tiada tanggungjawab lain bagi kita sebagai hamba Allah melainkan untuk menyahut seruan Allah iaitu melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya. Keberadaan kami di bumi Arafah ini (untuk ibadah haji) tidak lain melainkan untuk menyahut seruan Nabi Ibrahim dalam Surah ِAl Haj ayat 27:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Terjemahan: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Seruan itu telah disampaikan Allah ketika kita masih di alam arwah lagi.

2. Kehebatan Arafah

Rasulullah ﷺ telah bersabda:

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Terjemahan: Haji itu Arafah

Kita berada di sini untuk menyahut seruan Tuhan; maka bersyukurlah kerana dijemput Allah Ta’ala di hadir tempat ini.

Rahsia berada di tempat ini: menentukan hala tuju kita menuju Allah.

Keadaan di Arafah menjadi gambaran di Padang Mahsyar; sebagaimana pakaian ihram kita yang serba putih menunjukkan bahawa tiada beza antara manusia di bumi Arafah, maka keadaan kita di Padang Mahsyar menunjukkan bahawa pada hari tersebut tiada kedudukan lain melainkan sebagai hamba Allah.

Begitu juga sebagaimana kita berjemur di bawah panas mentari Arafah, ia menjadi peringatan kepada suasana di Padang Mahsyar ketika seseorang itu di bawah terik matahari dan berada di dalam peluhnya sendiri.

Allah menyebutkan di dalam Surah At Taghabun ayat 9:

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ

Terjemahan: (Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan) – itulah hari masing-masing nampak kerugiannya.

Bumi ( Arafah) ini juga menjadi saksi bagi perhimpunan agung yang dihadiri Rasulullah ﷺ.

Rasulullah ﷺ menyedari hakikat bahawa Baginda ﷺ akan wafat tidak lama lagi. Lalu Baginda ﷺ menyampaikan wasiat dan pesanan yang mengajak kepada kedamaian dan keselamatan bagi semua ciptaan Allah. Inilah yang dipanggil risalah atau “universal mission”.

Baginda tidak mahu seorang pun daripada ummatnya tersesat jalan.

3. Tiga Mesej Utama Khutbah Rasulullah ﷺ

Mesej pertama yang disebarkan berkaitan dengan harta, darah, dan kehormatan sesama Muslim; ianya adalah haram sebagaimana haramnya bulan (Dzulhijjah) dan kota ini (Makkah).

Mesej kedua Baginda ‎ﷺ menyentuh tentang ekonomi iaitu agar menjauhi riba.

Mesej ketiga memberi fokus tentang kekeluargaan iaitu supaya berbuat baik kepada wanita.

Rasulullah ﷺ menyampaikan khutbah tersebut disebabkan sifat amanah Baginda ﷺ terhadap Surah Al A’raf ayat 6:

فَلَنَسْأَلَنَّ الَّذِينَ أُرْسِلَ إِلَيْهِمْ وَلَنَسْأَلَنَّ الْمُرْسَلِينَ

Terjemahan: Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu._Begitu juga khutbah tersebut menunjukkan sifat rahmat dan kasih sayang Baginda ‎ﷺ sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al Anbiya ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Terjemahan: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad ﷺ), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

4. Kebaikan Sesudah Kewafatan Baginda ‎ﷺ

Amalan umat Baginda ‎ﷺ akan disampaikan pada Rasulullah ‎ﷺ; jika baik, Baginda ‎ﷺ akan memuji Allah kerananya. Seandainya tidak, Baginda ‎ﷺ akan memohon ampun untuk hamba tersebut.

HA AlHamid

Credit Photo: Facebook Wira Saujana Travels and Tours Sdn Bhd

5. Rasulullah ﷺ Tidak Pernah Lupa Akan Umat Baginda ‎ﷺ

Di dalam menerangkan tentang keadaan hari kiamat yang mencemaskan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 34-36 Surah Abasa:

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ * وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ * وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Terjemahan: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibunya serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya.

Rasulullah ‎ﷺ menyatakan bahawa ada tiga tempat bahawa keadaan (seseorang dilupakan) ini akan berlaku iaitu:

  1. di titian Sirat
  2. ketika amalan ditimbang di neraca Mizan
  3. ketika menerima kitab

… kecuali Rasulullah ‎ﷺ yang tidak akan pernah melupakan umat Baginda ‎ﷺ.

Semoga bermanfaat buat kita dan moga kita diundang ke Arafah sebagai tetamu Allah di suatu hari nanti.

Haul al-Habib Muhammad bin Salim al-Attas: Tausiyah TG Syeikh Hafiz bin Selamat al-Jenderami

5 Perkara Penting daripada tausiyah Tuan Guru Syeikh Hafiz bin Selamat hafizahullah ketika Majlis Haul al-Habib Muhammad bin Salim al-Attas rahmatullahi alaih Yang Ke-42 pada Khamis 26 Januari 2017

1. Berhimpun Kerana Berterima Kasih

Antara sebab utama kita digalakkan berhimpun di majlis-majlis seperti majlis haul adalah sebagai tanda berterima kasih di atas tunjuk ajar, doa dan pengorbanan para auliya’, ulama’, dan solihin.

Ia juga mengingatkan kita tentang kewajipan berterima kasih kepada guru-guru kita.

2. Kepentingan Mengenang Jasa Kedua Ibu Bapa

Imam Burhanuddin az-Zarnuji rahmatullahi alaih menyebutkan di dalam kitabnya yang masyhur, Ta’lim Muta’allim, bahawa sebab utama seseorang mencapai maqam yang tinggi di sisi Allah ialah disebabkan keberkatan para guru dan kedua ibu bapa.

Seandainya ibu bapa bukan daripada golongan orang yang baik-baik, tidak mungkin kita akan dapat duduk di dalam majlis-majlis yang baik dan terpuji di sisi syarak.

3. Belajar Daripada Sifat Saling Berkasih-Sayang Para Ulama’

Syeikh Hafiz Bin Selamat Al-Jenderami turut mengajak kita mengambil contoh daripada kasih sayang al-Habib Hassan bin Muhammad bin Salim al-Attas hafizahullah kepada ayahnya, al-Habib Muhammad bin Salim al-Attas rahmatullahi alaih dan juga kasih sayang al-Habib Muhammad kepada al-Habib Hassan sendiri.

Keberkatan daripada ikatan kasih sayang terzahir pada anak cucu al-Habib Muhammad bin Salim al-Attas rahmatullahi alaih yang meneruskan tunjuk ajarnya.

4. Rasulullah ﷺ Sebagai Contoh Terbaik Di Dalam Menunjukkan Kepentingan Mengingati Perjuangan Orang Yang Lebih Tua.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ menziarahi pemakaman Uhud bukan sahaja untuk menziarahi para sahabatnya, tetapi juga untuk menziarahi pamannya, Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib radhiyallahu ‘anhu.

Maka jika Baginda mengenang akan jasa perjuangan pamannya, betapa pula kita perlu mengenang jasa dan ibu bapa kita?

5. Beberapa Saranan Bagi Mengenang Jasa Ibu Bapa Kita Yang Telah Kembali Ke Rahmatullah 

Seandainya mengadakan majlis besar-besaran sebagaimana majlis haul itu menjadi kesulitan buat diri kita, maka memadailah dengan bacaan tahlil, mengirim bacaan Al-Qur’an, dan menziarahi kubur ibu bapa kita sebagai mengenang jasa mereka.

img-20170131-wa0043