5 Pengajaran Penting Daripada Majlis Ilmu Bersama Al Habib Ali Zainal Abidin hafizahullah Di Masjid Darussalam
1.Menjaga Kesihatan Tubuh Badan
Islam sangat menekankan kepentingan menjaga tubuh badan sebagaimana pesanan Rasulullah ﷺ kepada Saidina Abdullah bin Amr:
فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا ، وَإِنَّ لِزَوْرِكَ عَلَيْكَ حَقًّا
Maksud hadith: Sesungguhnya badanmu mempunyai hak, matamu mempunyai hak, isterimu juga mempunyai hak yang mesti engkau tunaikan [1]
Kesihatan tubuh badan dapat dicapai dengan 4 cara:
- Menjaga pemakanan dengan makan yang sedikit
- Mendapat tidur yang cukup dengan tidak menghabiskan sepanjang malam dalam keadaan berjaga
- Beriyadhah sebagaimana Rasulullah ﷺ menganjurkan umatnya memanah, berenang dan cekap menunggang
- Berdoa kepada Allah agar diberikan kesihatan
2. Hakikat Nikmat
Yang dimaksudkan dengan nikmat terbahagi kepada 3 perkara:
- Keamanan
- Kesihatan
- Kemakmuran rezeki
Ini sesuai dengan doa Nabi Ibrahim عليه السلام di dalam Surah al-Baqarah ayat 126:
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هََذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلاً ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَى عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ
Maksud ayat: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman: “(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.”
Rasulullah ﷺ turut bersabda:
مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبِهِ، مُعَافًى فِي جَسَدِهِ، عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ، فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا
Maksud hadith: Barangsiapa yang melalui harinya dengan perasaan aman (apabila berada) di dalam rumahnya, sihat tubuhnya dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seolah-olah dia telah memiliki dunia seisinya. [2]
3. Sifat Penyantun Adalah Ciri Orang Yang Bertaqwa
Kesantunan merupakan sifat yang terhasil bukan sahaja dengan kemampuan bersabar apabila diuji, tetapi mampu bertahan apabila ujian asal meningkat dan mampu bersifat baik terhadap penyebab kemarahannya.
Hakikat ini disebutkan di dalam Surah Ali Imran ayat 133-134:
وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ
ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Maksud ayat: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Nabi Ibrahim عليه السلام disifatkan sebagai penyantun disebabkan kesabarannya melalui ujian-ujian seperti diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan anak dan isterinya di tengah padang pasir dan juga menyembelih anaknya yang tercinta iaitu Nabi Ismail عليه السلام. Begitu juga Nabi Ismail عليه السلام turut disifatkan sebagai penyantun kerana tenang dan tabah apabila dimaklumkan bahawa Allah telah memerintahkan dirinya untuk disembelih oleh ayahnya sendiri, Nabi Ibrahim عليه السلام.
Diriwayatkan bahawa Saidina Hussein Bin Ali Bin Abi Thalib رضي الله عنهما memerdekakan hambanya yang telah melukakan mukanya tanpa sengaja apabila hamba tersebut membacakan ayat ini kepadanya.
4. Kelebihan Bersabar
Marah seringkali merupakan reaksi pertama (2nd nature) seseorang apabila diuji. Namun, apabila reaksi kita didasarkan emosi, seringkali perbuatan yang terhasil adalah perbuatan yang silap.
Oleh kerana sukarnya untuk seseorang mengawal dirinya, maka Allah dan RasulNya menjanjikan pelbagai manfaat daripada sifat sabar. Antaranya:
- disayangi Allah
- dianggap kuat disisi Allah
- diberikan
- (penambahan) iman oleh Allah
- diberikan ketenteraman oleh Allah
- ditutup aibnya oleh Allah
- diampunkan dosanya
- masuk syurga dengan izin Allah
Oleh kerana itu para Nabi dan Rasul, para sahabat beserta solihin bersungguh-sungguh mengawal perasaan dan bersabar kerana berpegang pada prinsip bahawa orang yang dianggap terkena musibah ialah orang yang terlepas daripada mendapat rahmat Allah (kerana tidak mampu bersabar dan mengawal perasaan).
5. Cara-cara Mengawal & Mengelakkan Kemarahan
Cara-cara mengawal dan mengelakkan kemarahan, antara lain, adalah:
- membaca ta’wudz
- meninggalkan tempat pertengkaran/perdebatan
- duduk (mengambil posisi yang tidak bersikap provokatif terhadap pihak yang ingin bertengkar)
- mengingati bahawa marah itu datang daripada syaitan dan sebaliknya mengingati pula akan segala nikmat yang datang daripada Allah (yang jauh melebihi apa yang didatangkan oleh syaitan)
Wallahu a’lam.
Semoga kita dikurniakan kesabaran untuk menuntut ilmu & mengamalkan apa yang dipelajari.
[1] Hadith Riwayat Imam Bukhari
[2] Hadith Riwayat Imam Tirmidzi