Membentuk Jiwa As-Salam Dalam Dunia Ketidakpastian oleh Habib Soleh Al-Jufri

CERAMAH HABIB SOLEH BIN MUHAMMAD AL-JUFRI DI MASJID DARUSSALAM, SINGAPURA, PADA 9 SEPTEMBER 2023

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

اَللّهُمَ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Allah ﷻ dengan kasih sayangNya telah memberi kita pedoman untuk mengharungi kehidupan di dunia yang fana’ ini, yang penuh dengan cubaan dan rintangan. Di mana mereka yang berjaya dalam menghadapi cubaan dan rintangan  yang silih berganti di dunia ini adalah mereka yang tetap istiqomah dalam ketaatan kepada Allah ﷻ.

Rasulullah ﷺ telah bersabda,

أعمار أمتي ما بين الستين إِلى السبعين…

Maknanya: Umur ummatku antara 60 hingga 70 tahun…

60 hingga 70 tahun (di dunia) ini menentukan kehidupan yang teramat panjang (yakni berkekalan) di akhirat.

Panjangnya Kehidupan Akhirat

Kita akan dibangkitkan dari alam kubur ke alam Mahsyar dan berada di dalamnya selama lima puluh ribu tahun. Satu hari di sana seperti seribu tahun di dunia. Kita akan melintas jambatan sirat selama tiga ribu tahun; seribu tahun lurus, seribu tahun naik, dan seribu tahun turun.

Kemudian kita akan dipilih menjadi ahli Syurga atau ahli Neraka. Di dalam Syurga tiada batasnya dan kita akan berada di dalamnya kekal abadi.

Taat kepada Allah ﷻ tanda kejayaan di dunia dan akhirat; orang yang taat, tunduk, dan patuh kepada Allah ﷻ, akan mendapat kenikmatan di dunia dan juga kenikmatan di Mahsyar, di titian sirat, dan di Syurga kelak. 

Dan orang yang ahli maksiat, dia akan mendapatkan siksaan di dunia ini sebelum dia mati.

Balasan bagi Hamba Allah yang Taat

Allah ﷻ menggambarkan kenikmatan di Akhirat kelak dengan firmannya:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Terjemahnya: Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. (Surah An-Nahl: 97)

Allah ﷻ telah menjanjikan kehidupan yang baik bagi mereka yang taat – yakni mereka yang  beristiqomah atas ketaatan kepada Allah ﷻ – contohnya, orang yang tetap datang ke masjid untuk menunaikan solat, tetap berpuasa, tetap membayar zakat, tetap berbuat baik sesama manusia, tetap mengamalkan sunnah-sunnah Nabi ﷺ walaupun ia diuji dengan kesakitan dan kesedihan.

Balasan Allah ﷻ atas kebaikan kita adalah jauh lebih baik dari apa yang kita kerjakan. Pada hakikatnya, amalan kita sangat sedikit kalau dibandingkan dengan balasan Allah ﷻ; tiada ertinya pengorbanan kita. Itulah gambaran balasan Allah ﷻ bagi orang-orang yang taat. 

Orang yang berjaya di sisi Allah ﷻ adalah mereka yang dijauhkan dari Neraka dan mereka yang terbebas dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga. Dialah orang yang berhasil kerana telah mendapatkan balasan Syurga.

Dunia Ini Tiada Kepastiannya

Dunia ini bersifat sementara dan setiap sesuatu yang sementara adalah tidak nyata; seseorang yang memiliki kedudukan yang tinggi di dunia ini pasti akan ditinggalkan jawatan tersebut atau jawatan tersebut akan meninggalkannya. Pada masa seseorang itu meninggal dunia, dia akan meninggalkan kesemuanya; ketika kita meninggal dunia, semuanya akan terhapus. Perkara pertama yang akan hilang, adalah nama kita. Nama yang kita jaga di dunia untuk dihormati orang, diganti dengan  panggilan ‘jenazah’.

كُلُّ نَفۡسࣲ ذَاۤىِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَیَوٰةُ ٱلدُّنۡیَاۤ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ

Maknanya: Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Surah Ali Imran: 185)

Apapun jua yang kita miliki di dunia ini – kedudukan atau harta kekayaan – kesemuanya adalah nikmat yang menipu dan bukan hakiki; semoga kita tidak tertipu dengan dunia ini dan kita menggunakan setiap detik yang kita ada dengan beribadah, menjalankan ketaatan pada Allah ﷻ, mencari redhaNya ﷻ, dan membuat Rasulullah ﷺ bahagia dengan melakukan tuntutan Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ.

Ancaman bagi Orang-Orang yang Berpaling dari Allah ﷻ

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِی فَإِنَّ لَهُۥ مَعِیشَةࣰ ضَنكࣰا وَنَحۡشُرُهُۥ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ أَعۡمَىٰ

Maknanya: Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Surah Taha:  124)

Makna Kehidupan yang Sempit

Sebahagian ulama’ berkata bahawa seorang yang kehidupannya sempit dan susah adalah orang yang tidak diberi taufiq dan hidayah oleh Allah ﷻ untuk melakukan ketaatan kepadaNya ﷻ; dia tidak datang ke masjid, tidak bersujud kepada Allah ﷻ, tidak membaca Al-Quran dan sebagainya. Dia disibukkan dengan perkara-perkara  yang melalaikan. 

Sebahagian ulama’ yang lain berkata bahawa makna kehidupan yang sempit adalah orang itu hidup bergelimangan maksiat dan dosa; maksiat demi maksiat untuk menghibur diri dengan kekayaan, dengan berzina, dengan minuman keras dan mengambil dadah.

Mengisi Jiwa dengan perkara-perkara dunia

Jiwa (ruh) kita memerlukan makanan yang khusus. Tidak boleh kita berikan makanan-makanan yang sifatnya luaran (dzohir); kereta yang besar dan jabatan yang tinggi tidak memberi kedamaian dalam hidup kita. Harta kekayaan tidak boleh memberi makanan kepada ruh kita. 

Ketahuilah – yang disebut ‘manusia’ adalah ruhnya bukan jasadnya. Sejurus ruhnya keluar dari badannya maka jasadnya yang masih utuh tidak disebut ‘manusia’ lagi. 

Ada seorang alim yang warak di Indonesia yang sering diundang untuk menghadiri jenazah untuk bacaan tahlil, khataman Al-Qur’an, dan sebagainya. Setiap kali beliau masuk ke dalam rumah yang diundang, beliau akan bertanya kepada ahli waris samada mayat sudah berbuat wasiat dan tentang keperibadiannya, dan sekiranya mayat tersebut tidak meninggalkan wasiat dan belum ada kesepakatan ahli warisnya atas urusan hartanya, beliau akan makan dari bahagian  yang bukan dari hak mayat itu (makanan  itu adalah hak ahli waris yang belum dibahagikan).

Pelajaran dari cerita ini adalah seseorang yang telah mati meninggal dunia dia tidak memiliki apa-apa; rumah dan hartanya sudah bukan haknya lagi. Mengabaikan jiwa dengan perkara-perkara dunia yang melalaikan tidak mendatangkan apa-apa hasil dan kejayaan di Akhirat kelak.

Ibrah Al-Qur’an Berkenaan Orang yang Buta di Mahsyar 

Orang yang berpaling dari Allah ﷻ itu, akan berada dalam keadaan yang buta di Mahsyar kelak.

قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَى وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا * قَالَ كَذَلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنسَى

Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. (Surah Taha: 125-126)

Amat penting bagi kita untuk menghargai masa yang diberikan oleh Allah ﷻ di dunia ini untuk sentiasa berada di dalam ketaatan dan bukan berpaling daripadaNya. Masa yang berlalu itu tidak akan kembali. Setiap detik kita sedang menuju ke kuburan. Setiap hari usia kita makin berkurangan; Allah ﷻ berkali-kali bersumpah demi masa di dalam Al-Qur’an, seperti di dalam Surah Al-Asr, Surah Al-Fajr, dan Surah Dhuha, menunjukkan pentingnya masa dan supaya kita sedar bahawa ianya berharga dan terbatas. 

Kejayaan, kebahagiaan, dan keselamatan di Akhirat kelak terletak pada pengisian masa dalam ketaatan kepada Allah ﷻ dan meneladani Rasulullah ﷺ. 

Panduan Al-Habib Soleh untuk Keselamatan di Akhirat

  1. Banyak Berdoa

Disamping kita berusaha, kita juga harus banyak bermohon kepada Allah ﷻ untuk diberi kekuatan untuk taat kepadaNya ﷻ dan meneladani Rasulullah ﷺ. Kita harus akur yang membuat kita mudah melakukan ketaatan adalah dengan pertolonganNya ﷻ jua. Tanpa pertolongan Allah ﷻ, kita tidak akan mampu berbuat apa-apa.

“Ya Allah berikan aku kekuatan, taufiq dan hidayah agar aku dapat taat padaMu dan meneladani Rasulullah ﷺ.” 

  1. Melakarkan Jadual Seharian 

Kita harus membahagikan waktu seharian kita dengan melakarkan jadual untuk sentiasa dalam keadaan beribadah kepada Allah ﷻ. Ibadah kepada Allah ﷻ itu sangat luas. Ada ibadah yang tulen (mahdhah) seperti solat, puasa, zakat dan haji, yang mempunyai syarat-syarat dan rukunnya. Dan ada pula yang tidak tulen (ghairu mahdhah) seperti menderma, bersilaturahmi, taat kepada ibu bapa dan berbaik-baik dengan jiran. 

Sekiranya di dalam jadual kita ada undangan majlis, tuliskan niat supaya tidak habis waktunya tanpa ada nilai di sisi Allah ﷻ. Ini supaya tidak ada waktu yang terlepas tanpa kita niat ibadah kepada Allah ﷻ kerana waktu teramat mahal. 

  1. Mengenali  Tiga Musuh:
  1. Iblis/Syaitan
  2. Hawa nafsu (yang selalu mengajak kita berbuat jahat) 
  3. Dunia

Apakah maksud Dunia yang menjadi musuh? Dunia di dalam Islam adalah sesuatu yang membuat kita lalai kepada Allah ﷻ atau menjadikan kita berbuat maksiat. Ia adalah musuh kita kerana musuh adalah apa sahaja yang menjadikan kita lalai dan bermaksiat kepada Allah ﷻ.

  1. Memanfaatkan Masa

Ada empat waktu yang barakah yang harus kita jaga dan manfaatkan dengan melakukan ketaatan dan ibadah:

  • Sebelum masuk waktu Maghrib – gunakan masa ini untuk beristighfar atau membaca Wirdul Latif
  • Antara Maghrib dan Isyak – isikan masa ini dengan beribadah; menghadiri majlis ilmu atau berzikir
  • Satu atau dua jam sebelum masuk waktu Subuh (sepertiga malam) – memperbanyakan doa kerana ia adalah antara waktu mustajab doa
  • Selasai Solat Subuh hingga Syuruq (waktu terbit matahari) – di antara ibadah yang dianjurkan adalah menghadiri kelas-kelas agama (halaqah ta’lim) dan membaca Al-Quran. Bagi mereka yang bertugas; tetapkanlah niat untuk beribadah kerana waktu itu adalah waktu mustajab doa dan penuh barakah
  • Membantu Orang Lain dalam Ketaatan – mengerjakan ketaatan kepada Allah ﷻ bukanlah satu anjuran khas untuk diri kita sahaja malah kita juga digalakan untuk membantu orang lain dalam ketaatan. Kita boleh melakukan yang demikian itu dengan membiayai penuntut ilmu agama agar mereka dapat belajar dan menjadi seorang yang berilmu, dan kemudiannya mengajar ilmu kepada orang lain; kita akan mendapat pahala yang mereka raihkan daripada setiap perbuatan taat mereka insyaAllah. Ini seperti satu pelaburan untuk Akhirat kita.

Wallahu ‘alam.

Semoga kita semua sedar, insaf, mengerti dan akan apa yang telah disampaikan.

Rakaman video ceramah:

https://www.facebook.com/watch/live/?ref=search&v=1348957342725027

Leave a comment

Blog at WordPress.com.