5 Permata Daripada Ceramah Al Habib Kazhim Bin Ja’far Al-Saggaf Yang Bertajuk: “Mencintai Jiran Tetangga”

Habib Kazhim

Berikut Adalah 5 Permata Penting Daripada Tausiyah Al Habib Kazhim Bin Ja’far Al-Saggaf di Masjid Muhajirin Yang Bertajuk “Mencintai Jiran Tetangga” Pada 30 Jun 2019.

1.Keindahan dan Kesempurnaan Islam

Antara sebesar2 nikmat ialah nikmat Islam & Iman. Maka bersyukurlah kepada Allah kerana dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman kepadaNya. Di dalam agama ini terdapat peraturan tentang cara bermuamalah dengan Allah dan bermuamalah dengan makhluk. Indahnya Islam sehinggakan sekecil kalimah yang menyakitkan hati orang tua kita pun ditetapkan (sebagaimana termaktub dalam surah Al Isra’ ayat 23.) Inilah bukti keindahan dan kesempurnaan agama Islam ini. Oleh itu, seorang Muslim yang dikurniakan taufik perlu mengambil berat akan keadaan ini.

2. Definisi Dan Kategori Jiran

Antara manusia yang Allah tetapkan di dalam Al Qur’an untuk dijaga hubungannya tanpa mengira Islam atau sebaliknya ialah jiran tetangga.

Definisi jiran menurut sebahagian ulama: 40 rumah di hadapan, 40 rumah ke belakang, 40 rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri.

3 kategori jiran:

  1. Bukan Muslim: perlu dijaga hak kejiranannya
  2. Muslim: perlu dijaga hak kejiranan dan hak sesama Muslim
  3. Muslim dan saudara terdekat kita: perlu dijaga hak kejiranan, hak sesama Muslim dan hak persaudaraan.

Dimaksudkan jiran juga mereka yang disebelah kita di tempat kerja, gerai sebelah seterusnya.

3.Kaitan Jiran Dengan Keimanan

Seorang Muslim yang hakiki ialah seseorang yang menjaga dirinya daripada menyakiti jiran tetangganya. Rasulullah ﷺ  menyifatkan orang yang menyakiti jiran tetangganya sebagai tidak beriman. Ada riwayat menyebut bahawa Rasulullah ﷺ bersumpah 3 kali tentang orang yang tidak beriman kerana menyakiti jirannya sebagai menekankan beratnya keadaan tersebut. Ada sebuah hadith yang masyhur yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri. Dalam riwayat yang lain, disebutkan pula bahawa tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk jirannya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri

4.Beberapa Kisah Untuk Dijadikan Iktibar.

Kisah Pertama

Di dalam rumah seorang solihin terdapat banyak tikus namun dia tidak menghalau keluar tikus tersebut dari rumahnya dengan tergesa-gesa kerana takut tikus-tikus tersebut akan mengganggu jirannya pula.

Kisah Kedua

Imam Abu Hanifah mempunyai jiran yang pemabuk yang menyakiti beliau tetapi beliau bersabar atas sifat jirannya. Suatu ketika jiran tersebut ditangkap oleh pihak penguasa yang pemabuk itu. Imam Abu Hanifah merasa janggal apabila tidak mendengar tentang jirannya. Apabila didapatinya jiran tersebut dipenjarakan, beliau berinisiatif untuk membebaskan jiran tersebut. Apabila jiran yang pemabuk itu diziarahi Imam Abu Hanifah, dia berasa malu dan insaf lalu bertaubat. Dan seluruh ahli penjara turut bertaubat.

Kisah Ketiga

Dikisahkan bahawa seorang remaja Yahudi telah berkhidmat untuk Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ tidak  menolak tawaran remaja Yahudi tersebut untuk berkhidmat; bahkan Baginda menziarahinya ketika beliau sakit pada suatu hari. Rasulullah ﷺmenjadikan ziarah ini prioriti utama Baginda di tengah-tengah kesibukan jadual Baginda. Rasulullah ﷺ duduk di bahagian kepala remaja tersebut dan menawarkan Islam dengan lembut kepada remaja tersebut. Remaja tersebut teragak-agak untuk masuk Islam kerana ayahnya ada di situ. Apabila tawaran kedua dibuat ﷺ, remaja tersebut melihat kepada ayahnya, lalu ayahnya menyuruhnya untuk menuruti tawaran Rasulullah ﷺ. Ayahnya tidak keberatan agar anaknya masuk Islam kerana telah lama berjiran dengan Rasulullah ﷺ dan telah melihat keindahan Rasulullah ﷺ maka dia tidak keberatan untuk mengizinkan anaknya masuk Islam.

5.Berjiran Dengan Non-Muslim

Pamerkanlah akhlak yang mulia kepada jiran yang bukan Islam agar orang mendapat melihat keindahan Islam. Tiada masalah jika jiran tetangga kita bukan Muslim kerana Rasulullah ﷺ berjiran dengan seorang Yahudi. Kisah di atas menganjurkan kita untuk menziarahi tetangga kita walaupun dia bukan seorang yang beragama Islam. Dikisahkan bahawa seorang Muslim telah berniaga dengan akhlak yang baik dengan sesiapa pun. Akhlaknya yang indah ini terutama sifatnya yang pemurah telah menarik hati penggerai-penggerai bukan Islam yang lainnya sehingga mereka semuanya masuk Islam.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu ini dan menempah tempat di syurga kerana meninggikan akhlak Rasulullah  ﷺiaitu sentiasa memuliakan jiran tetangga Baginda.

 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.