5 Permata Daripada Ceramah Al Habib Kazhim Bin Ja’far Al-Saggaf Yang Bertajuk: “Mencintai Jiran Tetangga”

Habib Kazhim

Berikut Adalah 5 Permata Penting Daripada Tausiyah Al Habib Kazhim Bin Ja’far Al-Saggaf di Masjid Muhajirin Yang Bertajuk “Mencintai Jiran Tetangga” Pada 30 Jun 2019.

1.Keindahan dan Kesempurnaan Islam

Antara sebesar2 nikmat ialah nikmat Islam & Iman. Maka bersyukurlah kepada Allah kerana dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman kepadaNya. Di dalam agama ini terdapat peraturan tentang cara bermuamalah dengan Allah dan bermuamalah dengan makhluk. Indahnya Islam sehinggakan sekecil kalimah yang menyakitkan hati orang tua kita pun ditetapkan (sebagaimana termaktub dalam surah Al Isra’ ayat 23.) Inilah bukti keindahan dan kesempurnaan agama Islam ini. Oleh itu, seorang Muslim yang dikurniakan taufik perlu mengambil berat akan keadaan ini.

2. Definisi Dan Kategori Jiran

Antara manusia yang Allah tetapkan di dalam Al Qur’an untuk dijaga hubungannya tanpa mengira Islam atau sebaliknya ialah jiran tetangga.

Definisi jiran menurut sebahagian ulama: 40 rumah di hadapan, 40 rumah ke belakang, 40 rumah ke kanan dan 40 rumah ke kiri.

3 kategori jiran:

  1. Bukan Muslim: perlu dijaga hak kejiranannya
  2. Muslim: perlu dijaga hak kejiranan dan hak sesama Muslim
  3. Muslim dan saudara terdekat kita: perlu dijaga hak kejiranan, hak sesama Muslim dan hak persaudaraan.

Dimaksudkan jiran juga mereka yang disebelah kita di tempat kerja, gerai sebelah seterusnya.

3.Kaitan Jiran Dengan Keimanan

Seorang Muslim yang hakiki ialah seseorang yang menjaga dirinya daripada menyakiti jiran tetangganya. Rasulullah ﷺ  menyifatkan orang yang menyakiti jiran tetangganya sebagai tidak beriman. Ada riwayat menyebut bahawa Rasulullah ﷺ bersumpah 3 kali tentang orang yang tidak beriman kerana menyakiti jirannya sebagai menekankan beratnya keadaan tersebut. Ada sebuah hadith yang masyhur yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri. Dalam riwayat yang lain, disebutkan pula bahawa tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk jirannya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri

4.Beberapa Kisah Untuk Dijadikan Iktibar.

Kisah Pertama

Di dalam rumah seorang solihin terdapat banyak tikus namun dia tidak menghalau keluar tikus tersebut dari rumahnya dengan tergesa-gesa kerana takut tikus-tikus tersebut akan mengganggu jirannya pula.

Kisah Kedua

Imam Abu Hanifah mempunyai jiran yang pemabuk yang menyakiti beliau tetapi beliau bersabar atas sifat jirannya. Suatu ketika jiran tersebut ditangkap oleh pihak penguasa yang pemabuk itu. Imam Abu Hanifah merasa janggal apabila tidak mendengar tentang jirannya. Apabila didapatinya jiran tersebut dipenjarakan, beliau berinisiatif untuk membebaskan jiran tersebut. Apabila jiran yang pemabuk itu diziarahi Imam Abu Hanifah, dia berasa malu dan insaf lalu bertaubat. Dan seluruh ahli penjara turut bertaubat.

Kisah Ketiga

Dikisahkan bahawa seorang remaja Yahudi telah berkhidmat untuk Rasulullah ﷺ. Rasulullah ﷺ tidak  menolak tawaran remaja Yahudi tersebut untuk berkhidmat; bahkan Baginda menziarahinya ketika beliau sakit pada suatu hari. Rasulullah ﷺmenjadikan ziarah ini prioriti utama Baginda di tengah-tengah kesibukan jadual Baginda. Rasulullah ﷺ duduk di bahagian kepala remaja tersebut dan menawarkan Islam dengan lembut kepada remaja tersebut. Remaja tersebut teragak-agak untuk masuk Islam kerana ayahnya ada di situ. Apabila tawaran kedua dibuat ﷺ, remaja tersebut melihat kepada ayahnya, lalu ayahnya menyuruhnya untuk menuruti tawaran Rasulullah ﷺ. Ayahnya tidak keberatan agar anaknya masuk Islam kerana telah lama berjiran dengan Rasulullah ﷺ dan telah melihat keindahan Rasulullah ﷺ maka dia tidak keberatan untuk mengizinkan anaknya masuk Islam.

5.Berjiran Dengan Non-Muslim

Pamerkanlah akhlak yang mulia kepada jiran yang bukan Islam agar orang mendapat melihat keindahan Islam. Tiada masalah jika jiran tetangga kita bukan Muslim kerana Rasulullah ﷺ berjiran dengan seorang Yahudi. Kisah di atas menganjurkan kita untuk menziarahi tetangga kita walaupun dia bukan seorang yang beragama Islam. Dikisahkan bahawa seorang Muslim telah berniaga dengan akhlak yang baik dengan sesiapa pun. Akhlaknya yang indah ini terutama sifatnya yang pemurah telah menarik hati penggerai-penggerai bukan Islam yang lainnya sehingga mereka semuanya masuk Islam.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu ini dan menempah tempat di syurga kerana meninggikan akhlak Rasulullah  ﷺiaitu sentiasa memuliakan jiran tetangga Baginda.

 

Indahnya Rumahtangga Rasulullah ﷺ oleh Habib Kazhim Bin Ja’far Al Saqqaf

Syakir

Indahnya Rumahtangga Rasulullah

Kejayaan Rumahtangga Dengan Mencontohi Cara Rasulullah (saw) Melayani Keluarga Baginda

Oleh Majlis Al-Muwasolah Singapura

Habib Kazhim Bin Ja’far Al Saqqaf telah meyampaikan ceramah bertajuk ‘Indahnya Rumahtangga Rasulullah’ pada tahun 2017 di Masjid Al Islah. Di dalam ceramah tersebut, beliau telah menyentuh tentang beberapa perkara penting seperti kemuliaan wanita di dalam Islam dan peranan lelaki terhadap wanita di dalam institusi kekeluargaan melalui contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

Memahami Syariat Melalui Nilai Mulia Yang Dicerminkan Oleh Rasulullah

Tujuan seseorang Muslim diciptakan adalah untuk menurut syariat Allah kerana jika kita menjalani hidup kita sebagaimana yang dituntut oleh agama, kita akan mendapatkan kasih sayang daripada Allah

Atas sebab ini, Rasulullah (saw) diutuskan untuk mencerminkan apa yang patut kita lakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ini jelas terpancar melalui akhlak Baginda ketika berurusan dengan masyarakat di sekelilingnya. Akhlak Baginda yang lunak menyebabkan keadaan umat yang berbilang latar belakang mudah menerima tunjuk ajar Baginda. Bahkan di kalangan bukan Islam turut mengakui kebenaran ajaran Islam yang dibawa Baginda hanya dengan memerhatikan cara baginda berurusan dengan mereka setiap hari.

Oleh itu, paksi ajaran agama Islam menekankan kepentingan akhlak yang mulia sesama manusia tanpa mengira latar belakang seseorang itu.

Hubungan Rasulullah (saw) dengan keluarga Baginda. 

Seandainya keindahan akhlak Rasulullah (saw) dengan orang yang bukan Islam sudah begitu terserlah, betapi lagi keadaan akhlak Rasulullah (saw) bila berurusan dengan ahli keluarga Baginda.

Keadaan ini digambarkan oleh hadith yang berikut ini:

“Sebaik-baik kamu adalah mereka yang terbaik terhadap ahli keluarganya. Dan aku (Rasulullah) adalah yang terbaik dari kalangan kamu terhadap ahli keluargaku.”

 Yang dimaksudkan dengan terbaik di sini ialah sifat rahmah dan toleransi seseorang terhadap ahli keluarganya.

Beberapa Contoh Kelunakan Rasulullah (saw) Terhadap Ahli Keluarga Baginda:

Pada suatu ketika Masjid Nabawi didatangi oleh rombongan dari Habsyah pada hari raya dengan nyanyian dan bunyian lalu Rasulullah (saw) bertanyakan pada Saidatina Aishah jika beliau mahu melihat persembahan mereka. Sepanjang pertunjukan tersebut Rasulullah (saw) berulang kali bertanya kepada Saidatina Aishah adakah sudah puas menonton sehinggakan diriwayatkan bahawa Baginda mengangkatnya ketika sudah penat. Ketika Saidatina Aishah sudah tidak lagi berminat untuk menontot, barulah Baginda beredar dari tempat pertunjukan tersebut.

Habib Kazhim lalu menghimbau para hadirin untuk menghayati betapa Rasulullah (saw) sanggup berlama di dalam melayani kehendak isteri Baginda dan bermuhasabah tentang tahap kesabaran kita di dalam menuruti kehendak para isteri.

Saidatina Aishah turut menceritakan tentang ajakan Rasulullah (saw) untuk berlumba dengannya. Mereka berlumba dan Saidatina Aishah menang. Namun pada masa yang lain, ketika Saidatina Aishah meningkat dewasa, Baginda berlumba dan memenangi perlumbaan tersebut. Sekali lagi para hadirin diajak untuk menghayati kesungguhan Rasulullah (saw) di dalam menghiburkan isteri Baginda. Bahkan Inilah yang dikendaki Allah agar kita tidak menjadikan ahli keluarga kita bersedih!

Bahkan di dalam perlaksanaan ibadah Baginda, Rasulullah (saw) tidak pernah menjadikannya sebab untuk mengetepikan hubungan dengan ahli keluarga Baginda. Baginda pernah membiarkan kaki Saidatina Aishah menghalang tempat sujud Baginda dan hanya menyentuhnya apabila Baginda ingin bersujud. Keadaan ini berulang sepanjang waktu solat Baginda tersebut. Timbul persoalan tentang mengapa Rasulullah (saw) tidak mengejutkan isterinya terus untuk menemani Baginda dalam solat. Habib Kazhim menerangkan bahawa Rasulullah (saw) tidak berbuat demikian kerana waktu tersebut belum waktunya untuk Aishah bangun malam. Ini menunjukkan nilai keprihatinan yang tinggi Rasulullah terhadap hak  isteri Baginda. Bahkan pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) meminta izin kepada Aishah untuk bangun beribadah malam.

Begitu juga halnya keadaan Rasulullah (saw) bila berurusan dengan kanak-kanak. Beliau bersungguh untuk menggembirakan mereka dan sangat bersabar atas karenah anak-anak sebagaimana Rasulullah (saw)  bersabar atas cucu-cucu Baginda Saidina Hasan &  Saidina Husein yang memanjat ke atas belakang Baginda ketika solat. Walaupun berat tanggungjawab harian Rasulullah (saw), Baginda tetap meluangkan masa untuk anak-anak. Baginda pernah membariskan anak kecil untuk berlumba kepadanya untuk memberikan mereka hadiah. Tidak hairanlah golongan pertama yang menyambut kepulangan Rasulullah (saw) apabila Baginda pulang dari suatu misi ataupun ekspedisi adalah para anak-anak untuk menunjukkan betapa Baginda disenangi oleh kanak-kanak.

Salah satu akhlak mulia Rasulullah (saw)  terhadap anak kecil jelas terpancar melalui reaksi Baginda yang membiarkan anak kecil yang terkencing di atas ribanya untuk terus ditahnik oleh Baginda tanpa Baginda menampakkan sedikit pun rasa tidak senang. Bagaimana pula dengan keadaan kita hari ini? Habib Kazhim memberikan suatu senario di mana kita telah bersiap rapi dan kemas untuk menunaikan solat Jumaat tetapi anak kita yang masih kecil telah mengotori pakaian kita sebagaimana yang terjadi pada Rasulullah di atas. Adakah kita mampu memberikan reaksi yang serupa dengan Rasulullah (saw)? Habib Kazhim seterusnya berpesan agar kita jangan pernah malu untuk bersifat rahmah dengan kanak-kanak.

Al Qur’an & Cara Kita Sepatutnya Melayani Wanita

Islam memuliakan golongan wanita seperti Saidatina Maryam yang melahirkan Nabi Isa (as) tanpa seorang suami di sampingnya. Beliau mengalami kesukaran di dalam melahirkan Nabi Isa (as) dan juga sesudahnya, namun Allah yang menguatkannya sebagaimana yang terakam di dalam Surah Maryam ayat 24:

“Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.”

Begitu juga dikisahkan bahawa selepas kelahiran Nabi Musa (as), ibu Baginda merasakan kesedihan dan kerisauan untuk menghanyutkan anaknya ke sungai demi untuk menyelamatkannya dari kezaliman Firaun yang membunuh anak-anak lelaki.  Beliau lalu dikuatkan oleh Allah Ta’ala seperti yang digambarkan di dalam ayat 7 surah Al Qasas:

“Dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.”

Bahkan ibu Nabi Musa turut digembirakan dengan 2 khabar: Nabi Musa (as) akan kembali kepadanya (selepas dihanyutkah ke sungai) dan keduanya bahawa Baginda akan tergolong di kalangan para Rasul.

Begitulah Al Qur’an mendidik kita untuk tidak menyedihkan hati para ahli keluarga kita dan berusaha untuk menggembirakan mereka. Bahkan di dalam menasihati seseorang isteri yang dikhuatiri telah bersikap nusyuz (derhaka), maka seorang suami perlulah memilih waktu yang tenang untuk menasihati isteri dengan tenang dan berhikmah tanpa mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati dan menjatuhkan maruahnya.

Sesetengah manusia yang tidak memahami Al Quran melalui kacamata kehidupan Rasulullah (saw) akan memukul isteri mereka sedangkan Rasulullah (saw) sendiri tidak pernah memukul para isteri Baginda seumur hidup Baginda.

Islam Adalah Gabungan Ibadah & Akhlak Yang Mulia

Sebahagian orang Islam hari ini menyangka bahawa agama ini tertegak dengan hanya sekadar ibadah sahaja tanpa menyedari bahawa akhlak yang buruk boleh menghakis pahala ibadah yang baik.

Sebagai contoh, Allah menekankan tentang kepentingan akhlak yang mulia di dalam perlaksanaan ibadah seperti yang terdapat di dalam ibadah haji dengan melarang berkata kotor, berbuat fasik dan bertengkar ketika musim haji.

Begitu juga dalam berpuasa, nilai akhlak menjadi sepenting ibadah puasa itu sendiri dengan pesanan Rasulullah (saw) untuk kita tidak menyahut seruan orang yang mengajar kita bergaduh. Begitu juga keadaannya dengan bermegah-megah setelah berbuat zakat/sedekah.

Bagi menekankan kepentingan akhlak, Habib Kazhim menutup ceramahnya dengan menekankan bahawa orang yang berakhlak mulia boleh sampai kepada darjat orang yang berpuasa dan beribadah malam (disebabkan nilai murni seperti tawwadhu’, berprasangka baik sesama manusia dan mengelakkan permusuhan.) Sedangkan orang yang berpuasa dan beribadah malam boleh diturunkan darjatnya disebabkan kurang akhlaknya kepada sesama ciptaan Allah.

Semoga kita dapat menjadi hamba Allah yang sentiasa mencontohi Rasulullah (saw) di dalam menyantuni keluarga kita.

Ceramah Penuh Al Habib Kazhim boleh didapati di sini: https://www.facebook.com/alislahmosque/videos/1252874544838696?s=100000219661674&v=e&sfns=mo

5 Permata Dari Peristiwa Isra’ & Mi’raj (Dipetik dan diolah dari buku ‘Perjalanan Agung’ yang dihuraikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid)

Perjalanan Agung1. Peristiwa Isra’ & Mi’raj Merupakan Hasil Doa & Kesabaran Rasulullah ﷺ

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan hasil daripada kesabaran, rayuan dan doa Rasulullahﷺ  ketika Baginda  ﷺ mengalami peristiwa dimaki, dihujani batu dan diusir ketika di bumi Thaif. Ia juga bagaikan suatu pujukan buat hati Baginda bahawa Allah tidak akan sekali-kali menyia-nyiakan Rasulullah ﷺ.

2. Keagungan Isra’ dan Mi’raj

Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa yang agung kerana yang menjemput Baginda untuk perjalanan ini adalah Zat Yang Maha Kuasa, Maha Agung dan Maha Pengasih sedangkan yang dijemput pula merupakan makhluk yang paling dikasihi-Nya ﷺ.

3. Isra’ dan Mi’raj Dan Kemuliaan Rasulullah ﷺ 

Peristiwa Isra’ merupakan peristiwa luar biasa yang melibatkan perjalanan Rasulullahﷺ daripada Makkah ke Masjidil Aqsa yang memakan masa hanya sebahagian malam sedangkan perjalanan biasa akan memakan masa sebulan lamanya. Perjalanan Mi’raj pula merupakan perjalanan Rasulullahﷺ yang merentasi lapisan (langit) bumi hingga sampai ke petala langit; suatu kelebihan yang Malaikat Jibrail mengakui tidak terjangkau olehnya.

Oleh itu peristiwa Isra’ dan Mi’raj menunjukkan kekuasaan dan kemuliaan Allah yang dikurniakan kepada Rasulullahﷺ kerana ia menundukkan segala hukum bumi dan juga langit.

4. Sentiasalah Jujur

Sepulangnya Rasulullah ﷺ dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Bagindaﷺ  tidak ragu untuk mengkhabarkan tentang peristiwa tersebut apabila ditanyakan oleh Abu Jahal walaupun Baginda ﷺ menghadapi risiko diperolokkan dan ditertawakan. Oleh kerana itu, apabila kita jujur kepada manusia, maka Allah akan mengurniakan kita balasan sesuai dengan kejujuran tersebut. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud:

“Kalau kamu  bersungguh-sungguh kepada Allah, maka Allah akan memberi sesuai dengan apa yang kamu minta.”

Ini juga termasuk daripada perintah Allah iaitu: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama dengan orang yang benar (jujur).” (At-Taubah 9:119)

5. Kepentingan Solat

Setelah menerima perintah solat dari Allah, Rasulullah ﷺ  didatangi oleh malaikat Jibril keesokan harinya (selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj) untuk mengajarkan Bagindaﷺ  tentang solat. Ini menunjukkan kepentingan untuk kita menjaga waktu solat kerana Malaikat Jibril sendiri tidak menunda waktu untuk mendatangi Rasulullahﷺ  untuk mengajarkan Bagindaﷺ  perihal solat. Ini sesuai dengan maksud hadith Rasulullahﷺ  yang menerangkan bahawa amalan yang paling dicintai Allah ialah solat pada waktunya.

Semoga kita dikurniakan penghayatan yang lebih mendalam terhadap peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang menjadikan kita insan yang lebih dekat dengan Allah. 

5 Permata Daripada Perkongsian Kiayi Muhaemin Abdul Basit di Masjid Hajjah Fatimah pada 23 Januari 2019

Kiyai Muhaimin

1. Ancaman Bagi Yang Tidak Mengamalkan Al Qur’an

a. Seseorang yang mengamalkan pembacaan Al Qur’an tetapi tidak mengamalkannya (iaitu tidak berhenti bermaksiat), maka keadaannya seolah-olah seperti dia tidak membaca.

b. Orang yang melalaikan al Qur’an dari segi perintah dan adab terhadapnya maka seolah-olah dia mencampakkan Al Qur’an di belakangnya. Maksud daripada perumpamaan mencampakkan Al Qur’an ke belakang ialah keadaan seseorang yang tidak mengamalkan Al Qur’an sebagai panduan seharian Al Qur’an.

c. Orang yang mengetahui segala ilmu berkaitan al Qur’an tetapi tidak mengamalkan perintahnya dan menjauhi larangannya, maka orang ini tergolong orang fasik yang gemar membaca Al Qur’an. Menurut Rasulullah ﷺ, api neraka akan cepat mendapatkannya sebelum para penyembah berhala.

2. Dosa Sang Pendakwah

Dosa seorang pendakwah yang sengaja dibesar-besarkannya berganda berbanding dosa orang awam kerana dia berdosa untuk dirinya dan dosanya dicontohi pula oleh orang awam. Dalam kitab Ihya Ulumiddin, dikisahkan tentang seorang yang alim tetapi fasik yang kefasikannya dicontohi oleh orang ramai. Suatu hari dia telah bertaubat. Allah menyatakan kepadanya melalui para malaikat bahawa dosanya terampun tetapi bagaimana pula keadaan orang lain yang telah berdosa kerana contoh yang ditunjukkannya dahulu?

Maka bagi seorang pendakwah apabila melakukan dosa, dia perlu:

1. Bertaubat kepada Allah
2. Mengisytiharkan kepada orang ramai tentang keterlanjurannya/dosanya yang telah menyebabkan mereka tersesat (mengikutnya)

3. Keadaan Orang Munafik Yang Membaca Al Qur’an

Orang munafik yang membaca Al Qur’an diumpamakan Rasulullah ﷺ umpama buah raihan yang harum tetapi pahit. Antara ciri orang munafik yang dimaksudkan di sini ialah apabila dia berbicara, dia akan selalu menggunakan ayat-ayat Al Qur’an, namun hakikatnya dia mempunyai akhlak yang buruk kerana pembacaan Al Qur’annya tidak melebihi batas mulutnya (tidak sampai ke hati). Begitu juga orang yang mahir membaca Al Qur’an dan menghafalkannya namun mempunyai kebiasaan membenarkan diri sendiri sahaja dan pada masa yang sama suka menyalah-nyalahkan dan mentakfirkan orang lain.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah ﷺ bahawa akan datang suatu kaum yang hebat membaca al Qur’an seumpama ketika Al Qur’an diturunkan, namun bacaan mereka tidak melewati batas tenggoroknya (iaitu tidak membekas pada hati dan akhlaknya).

4. Kepentingan Mengutamakan Kesan Al Qur’an Yang Menyeluruh

Janganlah semata-mata melihat kemampuan seseorang mengalunkan Al Qur’an tetapi perhatikanlah akhlaknya terutama sekali akhlaknya terhadap para ulama’.

Tersebut di dalam kitab Nashaihul Ibad karangan Syaikh Nawawi Banten, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda bahawa akan datang suatu zaman apabila orang ramai meninggalkan ulama disebabkan hasutan kelompok yang tidak menghormati ulama. Maka akan datanglah tiga musibah ke atas para penghasut ini:

1. Didatangkan pemimpin yang zalim ke atas mereka
2. Dilenyapkan keberkatan pada rezeki mereka
3. Mati mereka dalam keadaan iman yang terlucut.

5. Rumah Yang Diterangi Al Qur’an

Dalam Sunan Ad-Darimi disebutkan bahawa rumah yang dibacakan Al Qur’an di dalamnya, akan terasa lapang oleh penghuninya, akan kerap didatangi malaikat (rahmat) dan akan dijauhi syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al Qur’an pula akan dirasakan sempit oleh penghuninya, akan sering didatangi syaitan dan dijauhi malaikat.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang membaca Al Qur’an dan mendapat manfaat daripadanya. 

5 Mutiara Berharga daripada Khutbah Arafah Al-Habib Ali Al-Hamid pada 9 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 20 Ogos 2018

Petikan daripada Khutbah Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid di bumi Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah 1439 Hijrah, bersamaan 20 Ogos 2018

HA AlHamid 2

Credit Photo: Facebook page Pencinta Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid

1. Tanggungjawab Menyahut Seruan Allah Dan RasulNya ‎ﷺ

Tiada tanggungjawab lain bagi kita sebagai hamba Allah melainkan untuk menyahut seruan Allah iaitu melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya. Keberadaan kami di bumi Arafah ini (untuk ibadah haji) tidak lain melainkan untuk menyahut seruan Nabi Ibrahim dalam Surah ِAl Haj ayat 27:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Terjemahan: Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Seruan itu telah disampaikan Allah ketika kita masih di alam arwah lagi.

2. Kehebatan Arafah

Rasulullah ﷺ telah bersabda:

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Terjemahan: Haji itu Arafah

Kita berada di sini untuk menyahut seruan Tuhan; maka bersyukurlah kerana dijemput Allah Ta’ala di hadir tempat ini.

Rahsia berada di tempat ini: menentukan hala tuju kita menuju Allah.

Keadaan di Arafah menjadi gambaran di Padang Mahsyar; sebagaimana pakaian ihram kita yang serba putih menunjukkan bahawa tiada beza antara manusia di bumi Arafah, maka keadaan kita di Padang Mahsyar menunjukkan bahawa pada hari tersebut tiada kedudukan lain melainkan sebagai hamba Allah.

Begitu juga sebagaimana kita berjemur di bawah panas mentari Arafah, ia menjadi peringatan kepada suasana di Padang Mahsyar ketika seseorang itu di bawah terik matahari dan berada di dalam peluhnya sendiri.

Allah menyebutkan di dalam Surah At Taghabun ayat 9:

يَوْمَ يَجْمَعُكُمْ لِيَوْمِ الْجَمْعِ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ التَّغَابُنِ

Terjemahan: (Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan) – itulah hari masing-masing nampak kerugiannya.

Bumi ( Arafah) ini juga menjadi saksi bagi perhimpunan agung yang dihadiri Rasulullah ﷺ.

Rasulullah ﷺ menyedari hakikat bahawa Baginda ﷺ akan wafat tidak lama lagi. Lalu Baginda ﷺ menyampaikan wasiat dan pesanan yang mengajak kepada kedamaian dan keselamatan bagi semua ciptaan Allah. Inilah yang dipanggil risalah atau “universal mission”.

Baginda tidak mahu seorang pun daripada ummatnya tersesat jalan.

3. Tiga Mesej Utama Khutbah Rasulullah ﷺ

Mesej pertama yang disebarkan berkaitan dengan harta, darah, dan kehormatan sesama Muslim; ianya adalah haram sebagaimana haramnya bulan (Dzulhijjah) dan kota ini (Makkah).

Mesej kedua Baginda ‎ﷺ menyentuh tentang ekonomi iaitu agar menjauhi riba.

Mesej ketiga memberi fokus tentang kekeluargaan iaitu supaya berbuat baik kepada wanita.

Rasulullah ﷺ menyampaikan khutbah tersebut disebabkan sifat amanah Baginda ﷺ terhadap Surah Al A’raf ayat 6:

فَلَنَسْأَلَنَّ الَّذِينَ أُرْسِلَ إِلَيْهِمْ وَلَنَسْأَلَنَّ الْمُرْسَلِينَ

Terjemahan: Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu._Begitu juga khutbah tersebut menunjukkan sifat rahmat dan kasih sayang Baginda ‎ﷺ sebagaimana yang disebutkan dalam Surah Al Anbiya ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Terjemahan: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad ﷺ), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

4. Kebaikan Sesudah Kewafatan Baginda ‎ﷺ

Amalan umat Baginda ‎ﷺ akan disampaikan pada Rasulullah ‎ﷺ; jika baik, Baginda ‎ﷺ akan memuji Allah kerananya. Seandainya tidak, Baginda ‎ﷺ akan memohon ampun untuk hamba tersebut.

HA AlHamid

Credit Photo: Facebook Wira Saujana Travels and Tours Sdn Bhd

5. Rasulullah ﷺ Tidak Pernah Lupa Akan Umat Baginda ‎ﷺ

Di dalam menerangkan tentang keadaan hari kiamat yang mencemaskan sebagaimana yang disebutkan dalam ayat 34-36 Surah Abasa:

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ * وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ * وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Terjemahan: Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, dan ibunya serta bapanya, dan isterinya serta anak-anaknya.

Rasulullah ‎ﷺ menyatakan bahawa ada tiga tempat bahawa keadaan (seseorang dilupakan) ini akan berlaku iaitu:

  1. di titian Sirat
  2. ketika amalan ditimbang di neraca Mizan
  3. ketika menerima kitab

… kecuali Rasulullah ‎ﷺ yang tidak akan pernah melupakan umat Baginda ‎ﷺ.

Semoga bermanfaat buat kita dan moga kita diundang ke Arafah sebagai tetamu Allah di suatu hari nanti.

Counsel by Al-‘Allamah Al-Habib ‘Umar Bin Hafidz for the month of Rabi Ath-thani 1439H

 

Counsel by Al-‘Allamah Al-Habib ‘Umar Bin Hafidz for the month of Rabi Ath-thani 1439H.

‎✍🏼 دعا العلامة الحبيب عمر بن حفيظ في كلمته لشهر ربيع الثاني إلى أن نُقَوِّمَ أمرَين عظيمَين مما دعانا إليهما الحقُّ ورسولُه صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم:

Al-‘Allamah Al-Habib Umar in his counsel for the month of Rabiulakhir exhorts the performance of 2 important matters which Allah and His Messenger ﷺ also called to.

They are:

‎       1⃣ الأمر الأول: إفشاءُ السَّلام، بمعانيهِ وواسعِ دلالاتِه.
‎        ومنها: الاعتناءُ بالبدءِ بالسلامِ لِكُلِّ مَن يُلاقى، والاعتناءُ بكتبِ السلام في كل رسالةٍ تُرْسَلُ عبر جوَّالنا وأي جهاز مِن أجهزة التواصل، أو أي ورقة تُكتب، أو أي وسيلة يُتَوَّصَلُ بها الكلام إلى أي مسلم في الأرض.

One: Spreading salam with a wholesome appreciation of its various meanings and the extensive span of its representations.

This includes giving pertinence to initiating the salam (greetings) to anyone we meet.

To give attention to the (proper) writing of salam in all messages delivered by handphones or other forms of gadgets including handwritten letters or any means of communication used to communicate with Muslims from various parts of the world.

‎        وفي إحياء هذه السنة نرمي إلى إحياءِ حقيقةِ هذا التآلفِ القلبي والتَحابُب الذي أشار صلى الله عليه وسلم بقوله: ( ألا أدلُّكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم )  نتعرَّض بذلك لمحبةِ الله والسعيِ في جمعِ شملِ المسلمين.

In enlivening this sunnah, we seek to establish bonds between hearts and love for one another as indicated by the Messenger ﷺ: “Don’t you want me to show you an act if performed, will create love for one another? Spread salam amongst you.” By doing this, we stand to attain Allah’s love and enjoin Muslims towards unity.

‎         2⃣ والأمرُ الثاني عظيم مهمٌ في حياة المؤمنين، وقد انتشر التقصير فيه عند الأكثر منهم، وذلك: السَّجداتُ في ظلام الليل، وكثرةُ الإلحاح على الله والدعاء عموما وخصوصا في جمعِ شملِ المسمين وصلاحِ شأنهم ودفعِ الآفات عنهم، ونصرِ الحقِّ بهم، ونصرِهم بالحق والهدى.

Two: This is more important to lives of every Believer. Indeed, there has been an increasing disregard of it amongst most of them. It refers to the frequenting of one’s prostration in the darkness of night, to converse to Allah and praying both generally and specifically for the unification of Muslims, for the uplifting of their conditions, for mishaps and tragedies to not befall them and for Allah to assist them and for them to assist with truth and guidance.

‎         ✅ فنحبُّ من جميع أحبابنا أن يكون لهم اعتناءٌ بهذا العمل؛ بأن يكون لهم ولو يسير من الركعات في ظلمة الليل عند غفلةِ الناس، وأن يكونوا في سجداتهم ملحين على الله تعالى في صلاح شؤون الأمة وأحوالِها.

As such, we would greatly appreciate it if all of our beloved can pay attention to this even (if it means) performing a few rakaats at night when most mankind are at their most negligent. And that they seek earnestly from Allah in their prostrations for all aspects of the ummah to be enhanced.

‎      🔗 أعاننا الله وإياكم على القيام بهذين الأمرين، وثبَّتهما في حياتنا وحياة أهالينا، ورزقَنا تعليمَهما لأبنائنا وبناتنا ولأصحابنا وقراباتنا.

May Allah assist us and yourselves in performing these two matters and making them established in our lives and that of our families and also enabling us to impart them to our children, friends and kins.

Amin

‎📃 لقراءة الكلمة كاملة
http://www.alhabibomar.com/MonthlyLetter.aspx?SectionID=4&RefID=407

Pesanan Al-‘Allamah Al-Habib ‘Umar Bin Hafidz bagi Bulan Rabi Ath-thani 1439H

 

Pesanan Al-‘Allamah Al-Habib ‘Umar Bin Hafidz bagi Bulan Rabi Ath-thani 1439H.

✍🏼 دعا العلامة الحبيب عمر بن حفيظ في كلمته لشهر ربيع الثاني إلى أن نُقَوِّمَ أمرَين عظيمَين مما دعانا إليهما الحقُّ ورسولُه صلى الله عليه وعلى آله وصحبه وسلم:

Al-‘Allamah Al-Habib Umar dalam pesanannya bagi bulan Rabiulakhir mengajak kepada pengamalan dua perkara yang penting yang Allah s.w.t serta Rasulnya s.a.w. juga telah mengajak kepadanya iaitu:

       1⃣ الأمر الأول: إفشاءُ السَّلام، بمعانيهِ وواسعِ دلالاتِه.
ومنها: الاعتناءُ بالبدءِ بالسلامِ لِكُلِّ مَن يُلاقى، والاعتناءُ بكتبِ السلام في كل رسالةٍ تُرْسَلُ عبر جوَّالنا وأي جهاز مِن أجهزة التواصل، أو أي ورقة تُكتب، أو أي وسيلة يُتَوَّصَلُ بها الكلام إلى أي مسلم في الأرض.

Pertama : Menyebarkan salam dengan segala makna-maknanya dan keluasan pengertiannya.

Daripada makna-makna ini adalah, memberi perhatian terhadap memulakan salam dengan sesiapa sahaja yang kita temui.

Memberi perhatian terhadap penulisan salam pada setiap mesej yang dihantar melalui handphone atau alat-alat berkomunikasi yang lain atau surat apa pun yang ditulis atau apa pun wasilah yang digunakan untuk berhubungan dengan sesama muslim di dunia ini.

        وفي إحياء هذه السنة نرمي إلى إحياءِ حقيقةِ هذا التآلفِ القلبي والتَحابُب الذي أشار صلى الله عليه وسلم بقوله: ( ألا أدلُّكم على شيء إذا فعلتموه تحاببتم؟ أفشوا السلام بينكم )  نتعرَّض بذلك لمحبةِ الله والسعيِ في جمعِ شملِ المسلمين.

Dalam menghidupkan sunnah ini kami bertujuan untuk menghidupkan kemesraan hati dan perasaan saling kasih mengasihi yang telah diisyaratkan oleh junjungan besar Nabi s.a.w. dengan katanya: “Tidakkah kamu mahu aku menunjukkan kepadamu sesuatu yang bilamana kamu melakukannya kamu akan sailing kasih mengasihi ? Sebarkanlah salam antaramu.” Dengan melakukan ini kami berpeluang meraih kasih sayang Allah serta berusaha dalam menyatu padukan muslimin.

2⃣ والأمرُ الثاني عظيم مهمٌ في حياة المؤمنين، وقد انتشر التقصير فيه عند الأكثر منهم، وذلك: السَّجداتُ في ظلام الليل، وكثرةُ الإلحاح على الله والدعاء عموما وخصوصا في جمعِ شملِ المسمين وصلاحِ شأنهم ودفعِ الآفات عنهم، ونصرِ الحقِّ بهم، ونصرِهم بالحق والهدى.

Perkara kedua adalah sesuatu yang besar lagi penting dalam kehidupan orang-orang beriman. Sungguh telah tersebar kelekaan mengenainya dikalangan kebanyakkan mereka. Perkara itu adalah banyak bersujud dalam kegelapan malam dan banyak bermunajat kepada Allah Dan berdoa secara umum dan khusus supaya menyatu padukan umat Islam, memperbaiki hal ehwal mereka, menolak pelbagai bala bencana daripada mereka, meminta bantuan Allah bagi mereka dan supaya mereka membantu akan kebenaran dan petunjuk.

         ✅ فنحبُّ من جميع أحبابنا أن يكون لهم اعتناءٌ بهذا العمل؛ بأن يكون لهم ولو يسير من الركعات في ظلمة الليل عند غفلةِ الناس، وأن يكونوا في سجداتهم ملحين على الله تعالى في صلاح شؤون الأمة وأحوالِها.

Maka kami sangat menyukainya jika semua para pencinta kami memberi perhatian kepada perkara ini. Walaupun jumlah kecil rakaat yang mereka lakukan pada waktu malam disaat kebanyakkan manusia lalai dan memohon dengan penuh kesungguhan dalam sujud mereka kepada Allah supaya memperbaiki segala hal keadaan umat.

      🔗 أعاننا الله وإياكم على القيام بهذين الأمرين، وثبَّتهما في حياتنا وحياة أهالينا، ورزقَنا تعليمَهما لأبنائنا وبناتنا ولأصحابنا وقراباتنا.

Supaya Allah membantui kami dan kamu sekalian dalam melaksanakan kedua perkara ini dan menjadikan ia tetap pada kehidupan kami dan segala keluarga kami dan mengizini kami mengajarinya kepada anak-anak, rakan-rakan serta segala kaum kerabat kami.

Amin

📃 لقراءة الكلمة كاملة
http://www.alhabibomar.com/MonthlyLetter.aspx?SectionID=4&RefID=407

5 Mutiara Daripada Pengajian Kitab Riyadhus Solihin oleh Al Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid di Masjid Hasanah pada 11 Oktober 2017

1. Makna Muraqabah

Muraqabah bermakna menjadikan Allah pengawas kepada kita kerana Allah sentiasa memantau perkataan, perbuatan dan apa yang ada di dalam hati hambaNya. Oleh itu tidak sempurna Iman & Islam seseorang melainkan dia memiliki konsep muraqabah di dalam dirinya di mana sahaja dia berada.

2. Melayani Isteri Dengan Baik

Rasulullah‎ﷺ   menjadikan paha Baginda sebagai tangga untuk isteri Baginda iaitu Saidatina Sofiyyah menaiki unta. Dan Saidatina Sofiyyah pula menggunakan betisnya, bukan telapak kakinya, ketika memanjat ‘tangga’ ini atas kehormatan beliau kepada Baginda ﷺ. Ini menunjukkan rasa kasih sayang yang saling terjalin antara mereka berdua.

Sebaliknya dianggap suatu kecelaan di sisi agama apabila seorang suami bersikap bakhil terhadap isterinya dan suka memukul isterinya. Al Habib Ali memberikan contoh sikap sebahagian suami yang tidak mempunyai masalah untuk bermewahan bila membelanja teman mereka makan tetapi sangat berkira apabila membawa isterinya sendiri keluar makan. Sedangkan Rasulullah ﷺ adalah sebaik-baik orang terhadap ahli keluarga Baginda sendiri.

3. Pengertian Taqwa

Taqwa mempunyai dua pengertian:

a. melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah

b. menjadikan benteng antara diri kita dan perkara yang dilarang Allah. Taqwa penting untuk difahami dan dihidupkan kerana ia merupakan wasiat Allah kepada diri kita dan umat-umat sebelumnya dan kita akan dipersoalkan tentang wasiat ini apabila kita kembali kepada Allah nanti.

4. Ganjaran Bagi Orang Yang Bertaqwa

Orang yang bertaqwa mendapat ganjaran berikut:

a. Diberikan jalan keluar dalam segala urusan dunianya

b. Dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka

c. Dikurniakan pembelaan melalui pembezaan antara yang hak dan batil

d. Dihapuskan kesilapan (dengan menjadikan kebaikan sebagai gantinya)

e. Diampunkan dosa

5. Tanggungjawab Kita Di Atas Muka Bumi

Setiap manusia di dunia adalah pemimpin sama ada ke atas keluarga di rumah, rakyat negara dan setidak-tidaknya ke atas anggota badannya sendiri. Oleh kerana itu, anggota badan kita sendiri akan bersaksi ke atas kita seandainya kita tidak bertanggungjawab terhadap mereka ketika di dunia ini seperti jari jemari yang menfitnah dan mencaci orang di ruang siber.

Selain itu, termasuk daripada tanggungjawab kepimpinan juga ialah tugas kita untuk memastikan bahawa udara, bumi dan lautan kurniaan Allah ini tidak dicemari. Begitu prihatin Baginda ﷺ  terhadap amanah ini sehinggakan para sahabat diingatkan untuk tidak menebang pokok-pokok dan tumbuhan sewaktu mereka keluar berperang.

Semoga kita digolongkan sebagai hamba Allah yang memiliki muraqabah, taqwa dan amanah di dalam memakmurkan bumi Allah ini.