1. Hakikat
Tiada yang lebih indah, luas dan agung dari rahmat Allah. Rahmat Allah akan membersihkan hati dan sanubari sehinggakan seseorang akan berasa bahagia dengan rahmat tersebut.
![IMG-20171102-WA0001[1]](https://majlisalmuwasolahsingapura.files.wordpress.com/2017/11/img-20171102-wa00011.jpg?w=492&h=329)
Allah berfirman di dalam Hadith Qudsi:
إِنَّ رَحْمَتِي غَلَبَتْ غَضَبِي
Makna hadith: Sesungguhnya RahmatKu mengatasi kemurkaanKu.
Dengan rahmat Allah, terciptalah kehidupan di bumi. Dengan rahmat Allah juga, tertolaklah bala’ yang bakal menimpa. Dan dengan rahmat Allah, orang yang sakit/parah keadaannya diselamatkan/disembuhkan. Rahmat juga termasuk nikmat penglihatan, makan minum, tidur dan anak isteri.
2. Rahmat Terbesar
Namun ada rahmat yang lebih besar dari yang telah tersebut iaitu hidayah dari Allah. Ini disebabkan nikmat yang lain (selain Islam) akan habis dan hilang; tidak akan dapat menggantikan nikmat Islam. Oleh itu, seseorang yang beriman akan dikurniakan nikmat yang abadi di akhirat sebagai ganti beberapa nikmat yang terlepas di dunia.
3. Beberapa Kisah Tentang Rahmat Allah Yang Melebihi KemurkaanNya
Kisah Pertama
Seorang ahli maksiat dari Bani Israil diampunkan dosanya kerana memberi air dari sumur melalui kasutnya kepada seekor anjing yang dahaga.
Kisah Kedua
Salah seorang dari ahli ibadah Bani Israil kehausan kerana tidak mendapati air di tengah padang pasir lalu pengsan.
Seorang ahli maksiat telah lalu di padang pasir tersebut dan menghampiri ahli ibadah yang pengsan itu. “Andai aku biarkan dia mati, nescaya Allah akan murka denganku.”
Diberikan air beberapa titis sehingga sedar ahli ibadah itu dan diberikan air sepenuhnya untuk beliau minum.
Di hari kiamat kelak, ahli maksiat itu akan meminta kepada ahli ibadah itu untuk membantunya ketika ingin dicampakkan ke neraka. Maka ahli ibadah itu berdoa lalu dikabulkannya dan dimasukkan ahli maksiat itu ke dalam syurga.
4. Bersifat Rahmat Terhadap Yang Islam & Bukan Islam
Secara Amnya:
Dengan Keluarga
Bersifat rahmat terhadap mereka demi mendambakan rahmat Allah ke atas kita.
Dengan Tetangga
Demikian juga kita perlu bersopan santun dengan jiran tetangga kita.
Dengan Sesama Muslim
i. Ajaklah/bantulah mereka kepada jalan yang diredhai Allah; dan
ii. Hindarkanlah mereka daripada jalan yang dimurkai Allah
Dengan Yang Bukan Islam
i. Harapkanlah hidayah untuk mereka dan mengharapkan mereka dijauhkan dari azab Allah
ii. Berbuatlah sebaik mungkin dengan mereka dengan menjalankan tugas dengan amanah; dan
iii. Selalulah menggembirakan mereka melalui jalan yang diizinkan Allah
5. Tiga Peristiwa Yang Menampakkan Sifat Rahmat Nabi Muhammad ﷺ
Peristiwa Pertama
Umair bin Wahab berpakat dengan Safwan Bin Umaiyyah secara rahsia untuk membunuh Rasulullah ﷺ dengan jaminan hutang Umair dilangsaikan Safwan.
Umair ke Madinah untuk melaksanakan tugas membunuh Rasulullah ﷺ dengan pisau beracun. Kedatangannya tidak disenangi para sahabat, terutama Saidina Umar Al Khattab. Lalu dibawa Umair Bin Wahab kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ pun mendedahkan rahsia antara Umair bin Wahab dan Safwan Bin Umaiyyah yang dibincangkan di Makkah.
Umair terpegun kerana tentulah Rasulullah ﷺ mendapat wahyu dari Allah. Maka beliau masuk Islam.
Peristiwa Kedua
Selepas peristiwa Fathu Makkah, seorang Musyrik bernama Fadhalah mengikuti Rasulullah ﷺ yang sedang bertawaf dengan niat untuk membunuh Baginda ﷺ. Rasulullah menoleh kepada Fadhalah dan meletakkan tangan Baginda ﷺ ke atas dada Fadhalah sehingga beliau masuk Islam dan menyintai Baginda ﷺ.
Telah berkata Fadhalah, “Tidak ada manusia yang lebih aku cintai dari Rasulullah ﷺ setelah Baginda mengangkat tangan Baginda dari dadaku.”
Peristiwa Ketiga
Ketika Rasulullah ﷺ bergerak ke medan perang Hunain, terdapat beberapa musyrikin di belakang Baginda ﷺ yang ingin membunuh Baginda. Apabila Baginda bertanya kepada mereka niat sebenar mereka mengikuti Baginda, mereka mengatakan kepada Rasulullah ﷺ bahawa mereka ingin membantu Baginda. Rasulullah ﷺ memaafkan mereka sedangkan Baginda lebih tahu keadaan hati mereka. Bahkan ketika mereka berperang dengan bersungguh-sungguh di peperangan Hunain, Rasulullah ﷺ memuji mereka dengan mendedahkan bahawa kesungguhan tersebut adalah lebih baik daripada niat asal mereka untuk membunuh Baginda ﷺ.
Semoga Allah menjadikan kita umat yang sentiasa menyebarkan rahmat kepada sesama ciptaanNya.