Pembalajaran Sejarah Rasulullah ﷺ Dan Kepentingannya Buat Umat
Pembelajaran sejarah Rasulullah ﷺ merupakan premis bagi para pencinta Baginda ﷺ yang ingin menyingkap kehidupan Baginda ﷺ untuk dijadikan contoh bagi merealisasikan maksud surah Al-Ahzab ayat 21:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
Oleh kerana itu para ulama’ dari zaman dahulu hingga ke hari ini bersungguh-sungguh di dalam menggali khazanah kehidupan Rasulullah ﷺ dan mempersembahkannya di dalam pelbagai bentuk pendekatan demi untuk memberikan keintiman yang didambakan oleh para pencinta Baginda ﷺ. Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh berikut:
- Karya-karya Imam Muhammad Ibnu Ishaq’ dan Imam Abu Muhammad Abdul Malik (Ibnu Hisyam) yang masyhur dengan karya Sirah Ibnu Ishaq dan Sirah Ibnu Hisyam yang mempersembahkan sejarah Islam melalui kronologi kejadian-kejadian penting dalam Islam.
- Imam At-Tirmidhi melalui karangan As-Syamail Al Muhammadiyah dan Al-Qadi Iyad di dalam As-Syifa yang memberikan perincian yang lebih halus sekitar keperibadian Rasulullah ﷺ
- Usaha-usaha kontemporari oleh As-Syahid Dr Sa’id Ramadhan Al-Buty di dalam Fiqhus Sirah dan Syaikh Muhammad Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin yang menghimbau para pembaca untuk memetik mutiara-mutiara pelajaran berharga daripada kehidupan Rasulullah ﷺ.
- Syaikh Abdul Hayy Al Kittani dalam Al-Taratib Al-Idariyah dan Syaikh Muhammad Abul Huda al Yaqoubi dalam Shamail Al-Habib Al-Mustafa yang berusaha mengaitkan kehidupan Rasulullah ﷺ dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini baik dari sisi keadaan seorang individu mahupun realiti masyarakat yang sedia ada.
Tambahan pula, keadaan am manusia di zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai tantangan hidup yang meruncing menjadikan manusia semakin mencari rujukan sebagai tempat sandaran dan berteduh. Bagi umat Islam khususnya, kegelapan yang semakin menyelubungi zaman semakin menyerlahkan cahaya kehidupan Rasulullah ﷺ untuk dikaji dan diikuti.
Sehari Bersama Rasul: Ringan Dibaca, Senang Diamalkan
Karya Sehari Bersama Rasul merupakan bahan bacaan yang ideal kerana ia mengambil pendekatan yang ringkas namun padat lagi praktikal untuk dituruti. Kebanyakan bacaan sejarah tentang Rasulullah ﷺ menyelidik peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam. Pada masa yang sama karya-karya yang berkisar tentang keperibadian Rasulullah ﷺ menimbulkan persoalan tentang konteks (latar belakang) yang menjadi sebab bagi Rasulullah ﷺ melakukan perkara yang dikisahkan. Maka hasil daripada dua perkara ini, timbullah persoalan di kalangan sebahagian kita:
“Bagaimanakah agaknya kehidupan seharian Rasulullah ﷺ luar daripada batas-batas kejadian-kejadian besar yang sering digambarkan di dalam buku-buku sejarah Baginda?”
Maka buku ini seolah-olah memberikan visual yang sangat jelas tentang kehidupan harian Baginda ﷺ. Mendalami karya Ustaz Naufal ini menginsafkan kita tentang betapa menjadi seorang insan yang produktif buat diri, keluarga dan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil kerana premis waktu bagi buku ini mengambil jadual Baginda ﷺ ketika di Madinah. Bayangkan seorang yang berusia di anggaran usia antara 50 dan 60 tahun yang perlu memimpin keluarga dan masyarakat, menjaga keselamatan sebuah kota yang dikelilingi suasana yang sentiasa mengancam dan pada masa yang sama juga mempunyai tanggungjawab untuk beribadah kepada PenciptaNya dan masih mampu melaksanakan setiap tuntutan ini tanpa perlu berkeluh kesah dan merungut! Buku ini juga mendidik kita bahawa umat Rasulullah ﷺ yang sejati adalah mereka yang kuat hubungannya dengan Allah dan besar manfaatnya kepada ciptaan Allah di sekelilingnya.
Kesimpulannya, buku ini adalah langkah-langkah pertama kita bagi merealisasikan impian kita untuk mencontohi manusia yang menjadi rahmat kepada semesta alam!