1. Peristiwa Isra’ & Mi’raj Merupakan Hasil Doa & Kesabaran Rasulullah ﷺ
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj merupakan hasil daripada kesabaran, rayuan dan doa Rasulullahﷺ ketika Baginda ﷺ mengalami peristiwa dimaki, dihujani batu dan diusir ketika di bumi Thaif. Ia juga bagaikan suatu pujukan buat hati Baginda bahawa Allah tidak akan sekali-kali menyia-nyiakan Rasulullah ﷺ.
2. Keagungan Isra’ dan Mi’raj
Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa yang agung kerana yang menjemput Baginda untuk perjalanan ini adalah Zat Yang Maha Kuasa, Maha Agung dan Maha Pengasih sedangkan yang dijemput pula merupakan makhluk yang paling dikasihi-Nya ﷺ.
3. Isra’ dan Mi’raj Dan Kemuliaan Rasulullah ﷺ
Peristiwa Isra’ merupakan peristiwa luar biasa yang melibatkan perjalanan Rasulullahﷺ daripada Makkah ke Masjidil Aqsa yang memakan masa hanya sebahagian malam sedangkan perjalanan biasa akan memakan masa sebulan lamanya. Perjalanan Mi’raj pula merupakan perjalanan Rasulullahﷺ yang merentasi lapisan (langit) bumi hingga sampai ke petala langit; suatu kelebihan yang Malaikat Jibrail mengakui tidak terjangkau olehnya.
Oleh itu peristiwa Isra’ dan Mi’raj menunjukkan kekuasaan dan kemuliaan Allah yang dikurniakan kepada Rasulullahﷺ kerana ia menundukkan segala hukum bumi dan juga langit.
4. Sentiasalah Jujur
Sepulangnya Rasulullah ﷺ dari peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Bagindaﷺ tidak ragu untuk mengkhabarkan tentang peristiwa tersebut apabila ditanyakan oleh Abu Jahal walaupun Baginda ﷺ menghadapi risiko diperolokkan dan ditertawakan. Oleh kerana itu, apabila kita jujur kepada manusia, maka Allah akan mengurniakan kita balasan sesuai dengan kejujuran tersebut. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud:
“Kalau kamu bersungguh-sungguh kepada Allah, maka Allah akan memberi sesuai dengan apa yang kamu minta.”
Ini juga termasuk daripada perintah Allah iaitu: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama-sama dengan orang yang benar (jujur).” (At-Taubah 9:119)
5. Kepentingan Solat
Setelah menerima perintah solat dari Allah, Rasulullah ﷺ didatangi oleh malaikat Jibril keesokan harinya (selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj) untuk mengajarkan Bagindaﷺ tentang solat. Ini menunjukkan kepentingan untuk kita menjaga waktu solat kerana Malaikat Jibril sendiri tidak menunda waktu untuk mendatangi Rasulullahﷺ untuk mengajarkan Bagindaﷺ perihal solat. Ini sesuai dengan maksud hadith Rasulullahﷺ yang menerangkan bahawa amalan yang paling dicintai Allah ialah solat pada waktunya.
Semoga kita dikurniakan penghayatan yang lebih mendalam terhadap peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang menjadikan kita insan yang lebih dekat dengan Allah.