Majlis Al-Muwasolah Singapura

official repository for Majlis Al-Muwasolah Singapura

Majlis Al-Muwasolah Singapura

Ulasan Buku ‘Sehari Bersama Rasul’ karangan Ustaz Naufal (Novel) Bin Muhammad Al-Aidarus

sehari bersama rasul habib naufal (novel) bin muhammad al aydrus

Pembalajaran Sejarah Rasulullah ﷺ Dan Kepentingannya Buat Umat

Pembelajaran sejarah Rasulullah ﷺ merupakan premis bagi para pencinta Baginda ﷺ yang ingin menyingkap kehidupan Baginda ﷺ untuk dijadikan contoh bagi merealisasikan maksud surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Oleh kerana itu para ulama’ dari zaman dahulu hingga ke hari ini bersungguh-sungguh di dalam menggali khazanah kehidupan Rasulullah ﷺ dan mempersembahkannya di dalam pelbagai bentuk pendekatan demi untuk memberikan keintiman yang didambakan oleh para pencinta Baginda ﷺ. Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh berikut:

  • Karya-karya Imam Muhammad Ibnu Ishaq’  dan Imam Abu Muhammad Abdul Malik (Ibnu Hisyam) yang masyhur dengan karya Sirah Ibnu Ishaq dan Sirah Ibnu Hisyam yang mempersembahkan sejarah Islam melalui kronologi kejadian-kejadian penting dalam Islam.
  • Imam At-Tirmidhi melalui karangan As-Syamail Al Muhammadiyah dan Al-Qadi Iyad di dalam As-Syifa yang memberikan perincian yang lebih halus sekitar keperibadian Rasulullah ﷺ
  • Usaha-usaha kontemporari oleh As-Syahid Dr Sa’id Ramadhan Al-Buty di dalam Fiqhus Sirah dan Syaikh Muhammad Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin yang menghimbau para pembaca untuk memetik mutiara-mutiara pelajaran berharga daripada kehidupan Rasulullah ﷺ.
  • Syaikh Abdul Hayy Al Kittani dalam Al-Taratib Al-Idariyah dan Syaikh Muhammad Abul Huda al Yaqoubi dalam Shamail Al-Habib Al-Mustafa yang berusaha mengaitkan kehidupan Rasulullah ﷺ dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini baik dari sisi keadaan seorang individu mahupun realiti masyarakat yang sedia ada.

Tambahan pula, keadaan am manusia di zaman ini yang berhadapan dengan pelbagai tantangan hidup yang meruncing menjadikan manusia semakin mencari rujukan sebagai tempat sandaran dan berteduh. Bagi umat Islam khususnya, kegelapan yang semakin menyelubungi zaman semakin menyerlahkan cahaya kehidupan Rasulullah ﷺ untuk dikaji dan diikuti.

Sehari Bersama Rasul: Ringan Dibaca, Senang Diamalkan

Karya Sehari Bersama Rasul merupakan bahan bacaan yang ideal kerana ia mengambil pendekatan yang ringkas namun padat lagi praktikal untuk dituruti. Kebanyakan bacaan sejarah tentang Rasulullah ﷺ menyelidik peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam. Pada masa yang sama karya-karya yang berkisar tentang keperibadian Rasulullah ﷺ menimbulkan persoalan tentang konteks (latar belakang) yang menjadi sebab bagi Rasulullah ﷺ melakukan perkara yang dikisahkan. Maka hasil daripada dua perkara ini, timbullah persoalan di kalangan sebahagian kita:

“Bagaimanakah agaknya kehidupan seharian Rasulullah ﷺ luar daripada batas-batas kejadian-kejadian besar yang sering digambarkan di dalam buku-buku sejarah Baginda?”

Maka buku ini seolah-olah memberikan visual yang sangat jelas tentang kehidupan harian Baginda ﷺ. Mendalami karya Ustaz Naufal ini menginsafkan kita tentang betapa menjadi seorang insan yang produktif buat diri, keluarga dan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil kerana premis waktu bagi buku ini mengambil jadual Baginda ﷺ ketika di Madinah. Bayangkan seorang yang berusia di anggaran usia antara 50 dan 60 tahun yang perlu memimpin keluarga dan masyarakat, menjaga keselamatan sebuah kota yang dikelilingi suasana yang sentiasa mengancam dan pada masa yang sama juga mempunyai tanggungjawab untuk beribadah kepada PenciptaNya dan masih mampu melaksanakan setiap tuntutan ini tanpa perlu berkeluh kesah dan merungut! Buku ini juga mendidik kita bahawa umat Rasulullah ﷺ yang sejati adalah mereka yang kuat hubungannya dengan Allah dan besar manfaatnya kepada ciptaan Allah di sekelilingnya.

Kesimpulannya, buku ini adalah langkah-langkah pertama kita bagi merealisasikan impian kita untuk mencontohi manusia yang menjadi rahmat kepada semesta alam!

Fawaid: Amalan Hari Jumaat

Berikut adalah sebahagian daripada amalan pada hari Juma’at daripada warisan ulama’ Ba’alwi – semoga Allah meredhai mereka – berdasarkan catitan para murid Habib Muhammad bin Abdullah Al-Haddar – semoga Allah memelihara mereka.

1. Membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insan [*pada rakaat pertama dan kedua] pada Solat Fardhu Subuh pada hari Jumaat. Pada akhir-akhir usianya ketika beliau dalam keadaan tua dan lemah, Imam Al-Haddad akan mengubah kebiasaan ini dengan membaca Surah Al-‘Ala dan Surah Al-Ghashiyah.

Yemen-Daurah-623

2. Menziarahi kubur setelah terbit matahari pada hari Jumaat sebagaimana disebutkan oleh Habib Attas Al-Habsyi dalam kitabnya, At-Tazkir Al-Mustafa. Imam Al-Haddad juga diriwayatkan menziarahi kuburan di Tarim selepas solat Asar pada hari Jumaat.

3. Para solihin daripada keturunan Ba’alwi juga tidak akan mengadakan kuliah pada waktu Dhuha pada hari Jumaat. Bahkan Imam Al-Haddad menegur mereka yang mengadakan kuliah pada waktu Dhuha pada hari Jumaat.

4. Berhimpun awal untuk Solat Jumaat kerana ia merupakan sunnah Baginda ﷺ. [Ia juga merupakan sunnah untuk mengenakan pakai putih sepenuhnya; suatu sunnah yang dikekalkan oleh para solihin di Hadramawt hingga ke hari ini.]

5. Memberi minum kepada mereka yang datang awal untuk solat Jumaat sebelum berlangsungnya khutbah kecuali pada enam hari pertama bulan Shawwal ataupun pada hari yang dimaklumi orang ramai berpuasa sunnat.

6. Bagi yang bermusafir kerana berdakwah [*Ini merupakan amalan sebahagian daripada pendakwah agung terdahulu yang kerap keluar daripada kampung halaman/kota mereka untuk menyeru orang lain ke jalan Allah. Diriwayatkan bahawa bagi tokoh-tokoh dakwah seperti Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan Habib Umar Bin Abd ar-Rahman al-Attas; Solat Jumaat tidak diwajibkan ke atas mereka [kerana bermusafir pada hari Jumaat yakni satu sebab yang diterima syarak.]

7. Diriwayatkan bahawa Imam Al-Haddad akan melaksanakan empat rakaat Solat Tahiyatul Masjid dengan satu salam dan beliau akan membaca:

(i) pada rakaat pertama separuh daripada Surah Al-Jumu’ah dan Ayat Al-Kursi; ii) pada rakaat kedua – bahagian kedua surah Al-Jumu’ah dan tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, (iii) pada rakaat ketiga- baahgian pertama Surah Al-Munafiqun dan Ayat al-Kursi; dan (iv) pada rakaat keempat – bahagian kedua Surah Al-Munafiqun dan tiga ayat terakhir Surah Al Baqarah

8. Membaca surah-surah berikut sebagaimana yang digalakkan di dalam hadith-hadith Rasulullah ﷺ:
* Al-Kahf
* Yasin
* Dukhan
* Al-Waqiah
* Taha
* Al-Mulk
* Surah-surah lain yang dimaklumi pengamalannya oleh para salaf

* Para solihin yang terdahulu daripada kalangan Keluarga Ba’alwi juga dikenali sebagai mereka yang menyibukkan diri mereka dengan banyak berselawat kepada Rasulullah ﷺ pada hari Jumaat secara am. Selain itu, mereka turut membacakan selawat berikut selepas Asar pada hari Juma’at sebanyak 80 kali:

‎ اَلْلَهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍعَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اْلنَّبِيِّ الْاُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا

Transliterasi: Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad ‘abdika wa rasulika, an-nabiyyil ummiyy, wa ‘ala alihi wa sohbihi wa sallim taslima

Makna: Ya Allah, selawat dan salam yang berkekalan ke atas Penghulu kami Muhammad ﷺ, hambaMu dan Rasul ﷺ, Nabi yang ummi ﷺ, dan juga ke atas keluarga Baginda dan para sahabat.

9. Membaca Musabbaa’t (4 surah yang dibaca berulang sebanyak 7 kali) selepas Solat Al-Jumuah:
* Al-Fatihah x7
* Al-Ikhlas x7
* Al-Falaq x7
* Al-Nas x7

Dan doa dan zikir berikut:

‎للّٰهُمَّ يَاغَنِيُّ يَاحَمِيْدُ يَامُبْدِئُ يَامُعِيْدُ يَارَحِيْمُ يَاوَدُوْدُ اَغْنِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَبِطَاعَتِكَ عَنْ مَعْصِتِكَ وَبِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Transliterasi: Allahumma ya Ghaniy ya Hamid ya Mubdi ya Mu’id ya Rahim ya Wadud, aghniniy bihalalika ‘an haramik wa bi to’atika ‘an ma’siyatik wa bifadhlika ‘am-man siwak

Makna: Wahai Tuhan Yang Maha Kaya, Wahai Yang Maha Terpuji, Wahai Yang Memulakan Segala Sesuatu, Wahai Yang Menjadi Tempat Kembali Segala Sesuatu, Wahai Yang Maha Mengasihani, Wahai Yang Maha Penyantun; cukupkanlah bagi diriku dengan rezeki yang halal bukan yang haram, dengan ketaatan bukan kemaksiatan, dan bebaskanlah daku daripada begantung kepada selainMu.

7x ياكافي يامغني يافتاح يارزاق

Transliterasi: Ya Kafi, Ya Mughniy, Ya Fattah, Ya Razzaq

Makna: Wahai Yang Mencukupkan, Wahai Yang Maha Kaya, Wahai Yang Maha Membuka, Wahai Yang Maha Memberi Rezeki

100x سبحان الله العظيم وبحمده

Transliterasi: SubhanaAllah al-Azimi wa bihamdih

Makna: Maha Suci Allah, Yang Maha Agung dan segala puji bagiNya

Mendahulukan zikir-zikir yang warid selepas solat sebelum membaca Musabba’at sebagaimana yang diamalkan Imam Al Haddad dan selainnya.

10. Menunaikan Solat Jenazah Ghaib (bagi jenazah yang ada di luar negari) sebagaimana yang dilakukan oleh warga Tarim, mereka yang berada di Ribat milik Habib Muhammad Al-Haddar, dan yang lainnya daripada kalangan para solihin yang terdahulu. *Nama-nama arwah biasanya telah diberikan kepada imam terlebih dahulu.

“Wahai Yang Membawa Kebaikan kepada mereka yang berbuat kebaikan dan membantu mereka di dalam berbuat demikian, kurniakanlah kepada kami kebaikan dan bantulah kami di dalam membuatnya. Selawat dan salam kepada Penghulu kami, Muhammad ﷺ, dan atas keluarga Baginda dan para sahabat. Kurniakanlah kesempurnaan di dalam mencontohi Baginda ﷺ zahir dan batin. Segala puji hanya milik bagi Allah.”

*catitan penyunting

4 Pesanan Al-Habib Umar Bin Hafizh Hafizahullah

Disampaikan oleh Al-Habib Abdul Rahman Bin Ali Masyhur Bin Hafizh di Masjid Al-Mawaddah pada 2 Januari 2019

Image may contain: 1 person, smiling, beard, hat and close-up

1. Pesanan Pertama

Membaca 100x dalam sehari semalam:

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي

Transliterasi: Robbishrahli sodri wayassirli amri

Maknanya: Tuhanku; lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah akan segala urusanku

Faedah:

Menghilangkan kesusahan dan dipermudahkan urusan termasuk untuk anak-anak kita yang ingin mengambil peperiksaan.

2. Pesanan Kedua

Membaca Ayatul Kursi (Surah Al-Baqarah, Ayat 255) pada 4 tempat/situasi berikut:

  1. Selepas solat
  2. Sebelum tidur
  3. Ketika keluar rumah
  4. Ketika masuk rumah serta ditambah dengan 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas)

Faedah:

Memurahkan rezeki tuan rumah dan jiran tetangganya.

3. Pesanan Ketiga

Membaca setiap hari sebanyak 100 kali:

لااله الاالله الملك الحق المبين

Transliterasi: Lailahaillallah Al Malikul Haqqul Mubin

Maknanya: Tidak ada tuhan selain Allah; Yang Maha Benar lagi Maha Nyata

Faedah:

  1. Membuka pintu rezeki
  2. Membuka pintu syurga
  3. Selamat dari musibah
  4. Aman dari siksa kubur

4. Pesanan Keempat

Menghafalkan dan mengamalkan doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ , فَقَوِّ فِي رِضَاكَ ضَعْفِي، وَخُذْ إِلَى الْخَيْرِ بِنَاصِيَتِي، وَاجْعَلِ الْإِسْلَامَ مُنْتَهَى رِضَائِي، اللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ فَقَوِّنِي، وَإِنِّي ذَلِيلٌ فَأَعِزَّنِي، وَإِنِّي فَقِيرٌ فَأَغْنِنِي، يَا أَرحَمَ الرَّحِمِينَ

Transliterasi: Allahumma inni dho’ifun, faqawwiy fi ridhoka dho’fi, wa khudz ilal khoiri binashiyati, waj’alil Islama muntaha ridho-i. Allahumma inni dho’ifun faqawwiny, wa inni dzalilun fa-a’izzani, wa inni faqirun fa-aghnini, Ya Arhamarrahimin.

Maknanya: Ya Allah, sesungguhnya aku ini lemah, maka kurniakanlah bagiku kekuatan di dalam keredhaanMu, dan bimbinglah diriku ke arah kebaikan, dan jadikanlah Islam sebagai kebahagiaan terbesarku.

Ya Allah, sesungguhnya aku ini lemah, maka kuatkanlah daku. Dan sesungguhnya aku ini hina, maka muliakanlah daku. Dan sesungguhnya aku ini memerlukan, maka cukupkanlah daku. Wahai Yang Maha Pengasih di kalangan yang mengasihi.

Klik di sini untuk mendengar nasihat Sayyidil Habib Umar tentang doa ini.

Faedah:

Barangsiapa mampu mengamalkan serta menghafaznya maka itu adalah tanda Allah mahukan kebaikan untuknya.

Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk sentiasa mengamalkan ilmu dan pesanan para guru-guru kita.

5 Permata Dari Perkongsian Al-Habib Abdul Rahman Bin Ali Masyhur Bin Hafizh Di Masjid Al-Mawaddah Pada 2 Januari 2019

1. Asal Usul Nama Riyadhus Solihin

Ia diambil sempena anjuran Rasulullah ‎ﷺ di dalam sebuah hadith agar orang beriman singgah di taman-taman syurga.

Nabi ﷺ pernah berkata kepada para sahabat, ”Jika kamu melewati taman-taman syurga, maka singgahlah di dalamya.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu?” Baginda menjawab, “Halaqah-halaqah (kelompok-kelompok) zikir [حِلَقُ الذِّكْرِ].”

Taman-taman syurga bermaksud majlis-majlis mengingati Allah termasuk majlis ilmu.

habib abdul rahman

2. Beberapa Kisah Kasih Sayang Saidina Abu Bakar As Siddiq radhiyallahu Anhu Terhadap Rasulullah

Kisah Pertama

Apabila Nabi ‎ﷺ mendapat izin untuk berhijrah, Baginda ﷺ mendatangi rumah Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada masa yang bukan biasanya orang datang untuk berziarah. Rasulullah ‎ﷺ lalu mengkhabarkan kepada Saidina Abu Bakar bahawa Baginda ﷺ telah diberi izin untuk berhijrah. Saidina Abu Bakar lalu meminta izin untuk menemani Baginda ‎ﷺ. Apabila izin diberi, mengalir air mata kegembiraan dari mata Saidina Abu Bakar.

Saidatina Aishah (yang masih kecil ketika itu) menyatakan bahawa itulah kali pertama beliau melihat orang menangis kerana kegembiraan.

Kisah Kedua

Saidina Abu Bakar sangat prihatin terhadap keselamatan Baginda ‎ﷺ sehingga beliau sentiasa bertukar-tukar posisi – kadang di belakang, kadang di hadapan, kadang di sisi Baginda ‎ﷺ – sepanjang perjalanan untuk mengawasi serangan musuh.

Kisah Ketiga

Saidina Abu Bakar memeriksa Gua Thur terlebih dahulu dan berusaha untuk menutupi setiap lubang di gua tersebut untuk memastikan ianya selamat dihuni . Ketika Rasulullah ﷺ tertidur dengan kepalanya di pangkuan Saidina Abu Bakr, beliau terlihat satu lobang yang luput dari pengamatannya lalu menutupi lobang itu dengan kakinya sendiri. Ketika itu, seekor ular/kalajengking telah mematuk/menyengat kaki beliau. Walaupun sengatan itu sangat menyakitkan, beliau berusaha untuk tidak bergerak sedikit pun agar tidak mengganggu tidur Rasulullah ‎ﷺ.

3. Mereka Yang Memainkan Peranan Penting Ketika Hijrah Rasulullah

Ketika Nabi Muhammad ‎ﷺ ingin berhijrah, Baginda ﷺ dibantu beberapa individu:

  1. Saidina Abdul Rahman bin Abu Bakar yang membawa binatang ternakannya untuk berjalan di atas bekas tapak kaki Rasulullah ‎ﷺ dan Saidina Abu Bakar agar tidak dikesan oleh musuh
  2. Saidatina Asma’ binte Abu Bakar yang sedang mengandung 7 bulan ketika itu telah menyiapkan dan menghantarkan makanan kepada Rasulullah ‎ﷺ dan Saidina Abu Bakar ketika mereka berada di Gua Thur
  3. Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menyiapkan dua tunggangan buat beliau dan Rasulullah ‎ﷺ
  4. Abdullah Bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan
  5. Saidina Ali bin Abi Thalib yang mengambil tempat Rasulullah ﷺ di tempat tidur Baginda‎ ﷺ walaupun dia tahu bahawa nyawanya terancam

Bila menyebut tentang sumbangan terhadap Rasulullah‎ﷺ maka ikatan antara ahli bait Baginda ‎ﷺ dan para sahabat radhiyallahu anhum tiada terpisah.

4. Sifat Hamba Allah Yang Terpuji Dalam Surah Al-Furqan

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang :

  1. Berjalan di bumi dengan rendah diri
  2. Apabila berhadapan dengan perangai dan kata-kata orang yang jahil, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini
  3. Tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (qiyam)
  4. Berdoa dengan kalimah “رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ‌ۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا” yang bermakna, “Wahai Tuhan kami; jauhkanlah azab Neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu mengerikan.”
  5. Apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil; dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul-betul kesederhanaan di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu
  6. Tidak menyembah sesuatu melainkan Allah
  7. Tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak)
  8. Tidak berzina
  9. Tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang
  10. Apabila bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara yang terhormat
  11. Apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, mereka bersungguh-sungguh mendengar dan menghayatinya
  12. Berdoa dengan kalimah “رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا” yang bermakna, “Wahai Tuhan kami; berilah kami isteri-isteri dan zuriat keturunan yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.”

5. Beberapa “Tips” Untuk Bangun Malam Berqiyamullail

  1. Tidur awal
  2. Tidur dalam keadaan berwudhuk
  3. Menghadap kiblat
  4. Membaca doa ketika hendak tidur
  5. Membaca Ayatul Qursi
  6. Membaca akhir Surah Al-Baqarah iaitu ayat 284 hingga 286
  7. Membaca tiga Qul
  8. Membaca Zikir Fatimah: Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 34 kali
  9. Membaca Surah Al-Mulk
  10. Membaca sepulah ayat pertama Surah Al-Kahf
  11. Membaca empat ayat akhir dari Surah Al-Kahf kerana ia diibaratkannya sebagai alarm clock Al-Qur’an; yang mengamalkannya dengan istiqamah akan dipermudahkan untuk bangun melaksanakan qiyamullail

Semoga bermanfaat buat kita semua di dalam menjadikan kita orang yang sentiasa menyumbang kepada agama di samping giat bangkit beribadah pada waktu malam.

5 Permata Daripada Perkongsian Kiayi Muhaemin Abdul Basit di Masjid Hajjah Fatimah pada 26 Disember 2018

1. Kepentingan Memperbaiki Suara Ketika Membaca Al Qur’an

a. Dalil Menyarankan Mengindahkan Suara Ketika Membaca Al Qur’an:

i. Kerana ia adalah perintah Rasulullahﷺ untuk mengindahkan suara ketika membaca Al Qur’an – يتغني

ii. Kerana Rasulullahﷺ ada bersabda bahawa mereka yang tidak mengindahkan suaranya ketika membaca Al Qur’an, maka mereka bukan daripada golongan Baginda ﷺ

b. Kenapa diperintahkan memperbaiki suara?

i. Kerana ia membantu menghadirkan hati dan mengkhusyukkan hati

ii. Mampu mendatangkan rasa sedih, terasa syahdu, dan mudah menangis

iii. Menggalakkan orang lain untuk mendengar dan mengajak kepada kebaikan. Dengan ini, dia akan meraih dua pahala iaitu pahala membaca dan menyebabkan orang lain terbuka hati kepada Al Qur’an

Kiyai

2. Adab-Adab Batin Ketika Membaca Al Qur’an

a. Ikhlas

b. Mengharapkan redha Allah dan pahala

c. Mentadabburkan ayat-ayat Al Qur’an

d. Memahami makna ayat Al Qur’an

e. Fokus dan tidak ingat pada perkara yang lain

f. Bertafakkur; ketika bertemu larangan Allah pada ayatNya, bersyukur kerana tidak melanggar larangan Allah, atau bertaubat jika sebaliknya

3. Adab-Adab Zahir Ketika Membaca Al Qur’an

Adab zahir dituntut kerana ia dapat membantu mencapai adab yang batin. Adab zahir ini boleh dikiaskan dengan anjuran melafazkan niat sebelum solat dalam Mazhab Syaf’i supaya dapat menghadirkan niat di dalam hati.

Di antara adab zahir yang dituntut ketika membaca Al Qur’an adalah:

a. Mengeluarkan suara yang terbaik, termasuk tajwid, dan makhrajnya

b. Suci daripada hadas kecil (walaupun dibolehkan dan mendapat pahala membaca ketika hadas kecil; tapi pahalanya kurang daripada yang membaca dalam keadaan suci)

c. Menghadap kiblat; ini juga merupakan adab membaca kitab dalam majlis ilmu

d. Anggota badan ikut fokus seperti berdiam diri; tidak tergaru-garu kerana membaca surah dari Al Qur’an

e. Mata kita terfokus pada bacaan dan tidak melilau-lilau

f. Mewangikan anggota badan termasuk mulut dan tempatnya kerana ia menggalakkan kehadiran para malaikat

4. Semakin Sempurna Keadaan (Beradab), Semakin Banyak Kebaikan/Pahala

Telah berkata Saidina Ali bin Abi Thalib – karamallahu wajhah – membaca Al Qur’an dalam keadaan:

  • berhadas kecil = 10 pahala/kebaikan bagi setiap huruf
  • berwudhu’ = 25 pahala/kebaikan bagi setiap huruf
  • solat duduk = 50 pahala/kebaikan pada setiap huruf
  • solat berdiri = 100 pahala/kebaikan pada setiap huruf

Semakin sempurna adab kita apabila membaca Al Qur’an, semakin banyak pahala yang diterima.

Dengan itu, penting juga untuk kita menjaga adab-adab dalam menuntut ilmu.

Telah berkata Imam Malik radhiyallahu anhu, “Bukanlah ilmu dengan banyaknya periwayatan, tetapi ilmu yang sebenarnya adalah ilmu yang sampai ke hati.”

Telah berkata juga Al-Habib Hassan As-Syatiri, “Lafaz ilmu boleh didapati oleh orang yang baik mahupun orang yang jahat, tetapi cahaya ilmu hanya diperolehi oleh orang yang bertaqwa.”

5. Bab Rokok

Syeikh Ismail Al-Yamani menyebutkan bahawa hukum menghisap rokok dipersilisihkan antara makruh dan haram. Namun, ulama bersepakat atas haramnya merokok di tiga tempat:

  • Di tempat dibacakan Al Qur’an
  • Di tempat ilmu disampaikan
  • Di dalam masjid

Semoga kita dikurniakan taufiq untuk mengamalkan pembacaan dan penghayatan Al Qur’an dan terpenting sekali melakukannya dengan penuh beradab.