1. Makna Tadabbur & Cara Mengamalkannya
Tadabbur bermakna penerapan makna Al-Qur’an pada hati seseorang. Sejauh mana penghayatan seseorang pada Al-Qur’an sangat bergantung kepada keluasan ilmunya mengenai Tuhannya.
Sebagai contoh, apabila merenung akan makna ayat kedua dari Surah Al-Baqarah iaitu:
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maknya ayat: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya dari Allah dan kesempurnaannya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
… seseorang akan mendapati keyakinan tentang Al-Qur’an, dia mengucapkan Alhamdulillah.
Sebaliknya kalau dia mendapati keraguan kepada Al-Qur’an, dia akan beristighfar.

2. Cara Rasulullah ﷺ Bertadabbur
Seandainya Rasulullah ﷺ bertemu ayat tentang rahmat Allah, Baginda ﷺ akan berhenti sejenak untuk merenung keluasan rahmat Allah dan berdoa agar dikurniakan rahmat Allah. Sebaliknya, seandainya Baginda bertemu ayat berkaitan azab Allah, Baginda ﷺ akan berhenti sejenak untuk meminta dijauhkan dari azab Allah.
3. Tadabbur Yang Sepatutnya
Terdapat sebahagian orang Islam, apabila bertemu dengan ayat-ayat yang menyentuh tentang keadaan orang yang tidak beriman, akan merasakan bahawa ayat tersebut tiada kena mengena dengan keadaan dirinya dan hanya ditujukan semata-mata buat golongan yang tidak beriman. Sebaliknya, kita sepatutnya menangis apabila bertemu ayat-ayat yang sedemikian kerana kita sendiri tidak mengetahui bagaimana kesudahan kehidupan kita sama ada beriman ataupun tidak.
Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa manusia diciptakan Allah dalam 4 keadaan:
a. Manusia diciptakan oleh Allah untuk ibadah dan untuk syurga – contohnya para anbiya, ulama’, dan solihin.
b. Manusia diciptakan oleh Allah untuk syurga tapi bukan untuk ibadah – contohnya: tukang sihir Fir’aun yang beriman kepada kepada Allah lalu dibunuh Fir’aun.
c. Manusia yang diciptakan oleh Allah untuk ibadah dan bukan untuk syurga – contohnya Bal’am bin Ba’ura yang dikurniakan karamah mampu melihat Arasy apabila mendongakkan kepala tapi mati tidak beriman kerana mempunyai kecintaan terhadap dunia.
d. Manusia yang diciptakan bukan untuk syurga dan bukan untuk ibadah – contohnya orang-orang yang selama hidup hingga ke matinya tidak beriman.
4. Kepentingan Ikhlas
Imam Al-Ghazali mengatakan semua manusia berada dalam kebinasaan melainkan orang yang berilmu. Namun orang yang berilmu juga binasa melainkan mereka yang beramal dengan ilmunya. Namun orang yang beramal juga binasa melainkan yang ikhlas dalam ibadahnya. Bahkan orang yang ikhlas itu sendiri dalam kerisauan (takut binasa). Untuk mencapai hakikat keikhlasan ini memerlukan perjuangan melawan hawa nafsu kerana perjuangan menentang musuh sekalipun jika tidak diiringi keikhlasan akan menyebabkan seorang pejuang itu dimasukkan ke dalam neraka kerana nafsunya yang berjuang untuk dipuji kerana keberaniannya – maksud dari kenyataan ini didapati dari sebuah hadith Rasulullah ﷺ yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Berkenaan dengan perjuangan menentang hawa nafsu, Imam Ibnu Qayyim menyatakan di dalam Zadul Ma’ad bahawa jihad melawan hawa nafsu terdapat 4 peringkat:
a. Melawan hawa nafsu untuk menghilangkan kebodohan dalam diri kita
b. Melawan hawa nafsu untuk mengamalkan ilmu yang diperolehi
c. Melawan hawa nafsu agar menyampaikan ilmu kepada orang lain
d. Melawan hawa nafsu agar bersabar menghadapi risiko di dalam menyampaikan ilmu
5. Tujuh Kalimah Yang Bermanfaat
Imam Abu Laith As-Samarqandi di dalam kitabnya, Tanbihul Ghafilin, menyebutkan bahawa 7 kalimah berikut apabila dipelihara oleh orang yang beriman nescaya akan:
a. menjadikannya mulia di hadapan Allah dan para malaikatNya
b. diampuni dosanya walau sebanyak buih di lautan
c. tercapai olehnya kelazatan dalam ibadah
d. hidup dan matinya dalam keadaan baik
7 kalimah dan keadaan pemeliharaannya ialah:
- Memulai segala kegiatan dengan Bismillah (Dengan nama Allah)
- Menyudahi setiap kegiatan dengan Alhamdulillah (Segala puji milik hanya bagi Allah)
- Setiap kali terucap perkataan yang tidak bermanfaat atau berdosa, segera diucapkan Astaghfirullah (Aku mohon ampun dari Allah)
- Apabila merancang sesuatu, akan diiringi kalimah InsyaAllah [jika Allah menghendaki, (ia pasti berlaku)]
- Apabila menghadapi perkara yang tidak diingini, diucapkan La hawla wala quwwata illa billahi [tiada daya dan kekuatan (di sisi kita) melainkan dengan kehendak Allah]
- Apabila menghadapi musibah sama ada yang kecil mahupun besar pada diri sendiri ataupun harta, diucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun ( sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami semua kembali)
- Lidah yang tidak pernah berhenti daripada menyebut Lailahaillallah (tiada yang layak disembah melainkan Allah)
Semoga kami tergolong sebagai penuntut ilmu yang ikhlas belajar, beramal dan menyampaikan ilmu yang dipelajari.