5 Mutiara Daripada Pengajian Kitab Riyadhus Solihin oleh Al Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid di Masjid Hasanah pada 11 Oktober 2017

1. Makna Muraqabah

Muraqabah bermakna menjadikan Allah pengawas kepada kita kerana Allah sentiasa memantau perkataan, perbuatan dan apa yang ada di dalam hati hambaNya. Oleh itu tidak sempurna Iman & Islam seseorang melainkan dia memiliki konsep muraqabah di dalam dirinya di mana sahaja dia berada.

2. Melayani Isteri Dengan Baik

Rasulullah‎ﷺ   menjadikan paha Baginda sebagai tangga untuk isteri Baginda iaitu Saidatina Sofiyyah menaiki unta. Dan Saidatina Sofiyyah pula menggunakan betisnya, bukan telapak kakinya, ketika memanjat ‘tangga’ ini atas kehormatan beliau kepada Baginda ﷺ. Ini menunjukkan rasa kasih sayang yang saling terjalin antara mereka berdua.

Sebaliknya dianggap suatu kecelaan di sisi agama apabila seorang suami bersikap bakhil terhadap isterinya dan suka memukul isterinya. Al Habib Ali memberikan contoh sikap sebahagian suami yang tidak mempunyai masalah untuk bermewahan bila membelanja teman mereka makan tetapi sangat berkira apabila membawa isterinya sendiri keluar makan. Sedangkan Rasulullah ﷺ adalah sebaik-baik orang terhadap ahli keluarga Baginda sendiri.

3. Pengertian Taqwa

Taqwa mempunyai dua pengertian:

a. melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah

b. menjadikan benteng antara diri kita dan perkara yang dilarang Allah. Taqwa penting untuk difahami dan dihidupkan kerana ia merupakan wasiat Allah kepada diri kita dan umat-umat sebelumnya dan kita akan dipersoalkan tentang wasiat ini apabila kita kembali kepada Allah nanti.

4. Ganjaran Bagi Orang Yang Bertaqwa

Orang yang bertaqwa mendapat ganjaran berikut:

a. Diberikan jalan keluar dalam segala urusan dunianya

b. Dikurniakan rezeki dari jalan yang tidak disangka

c. Dikurniakan pembelaan melalui pembezaan antara yang hak dan batil

d. Dihapuskan kesilapan (dengan menjadikan kebaikan sebagai gantinya)

e. Diampunkan dosa

5. Tanggungjawab Kita Di Atas Muka Bumi

Setiap manusia di dunia adalah pemimpin sama ada ke atas keluarga di rumah, rakyat negara dan setidak-tidaknya ke atas anggota badannya sendiri. Oleh kerana itu, anggota badan kita sendiri akan bersaksi ke atas kita seandainya kita tidak bertanggungjawab terhadap mereka ketika di dunia ini seperti jari jemari yang menfitnah dan mencaci orang di ruang siber.

Selain itu, termasuk daripada tanggungjawab kepimpinan juga ialah tugas kita untuk memastikan bahawa udara, bumi dan lautan kurniaan Allah ini tidak dicemari. Begitu prihatin Baginda ﷺ  terhadap amanah ini sehinggakan para sahabat diingatkan untuk tidak menebang pokok-pokok dan tumbuhan sewaktu mereka keluar berperang.

Semoga kita digolongkan sebagai hamba Allah yang memiliki muraqabah, taqwa dan amanah di dalam memakmurkan bumi Allah ini. 

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s