Indahnya Rumahtangga Rasulullah

Abg Saiful.jpeg

 

Indahnya Rumahtangga Rasulullah

 

Kejayaan Rumahtangga Dengan Mencontohi Cara Rasulullah (saw) Melayani Keluarga Baginda

 

Oleh Majlis Al-Muwasolah Singapura

Habib Kazim Bin Ja’far Al Saqqaf merupakan salah seorang pendakwah dari bumi Tarim, Yamin yang telah berada di Singapura dari 8 hingga 11 Ogos untuk berdakwah di beberapa acara di sini. Di dalam ceramah beliau di Masjid Al Islah yang bertajuk Indahnya Rumahtangga Rasulullah, beliau telah menyentuh tentang beberapa perkara penting seperti kemuliaan wanita di dalam Islam dan peranan lelaki terhadap wanita di dalam institusi kekeluargaan melalui contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).

 

Memahami Syariat Melalui Nilai Mulia Yang Dicerminkan Oleh Rasulullah

Tujuan seseorang Muslim diciptakan adalah untuk menurut syariat Allah kerana jika kita menjalani hidup kita sebagaimana yang dituntut oleh agama, kita akan mendapatkan kasih sayang daripada Allah

Atas sebab ini, Rasulullah (saw) diutuskan untuk mencerminkan apa yang patut kita lakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ini jelas terpancar melalui akhlak Baginda ketika berurusan dengan masyarakat di sekelilingnya. Akhlak Baginda yang lunak menyebabkan keadaan umat yang berbilang latar belakang mudah menerima tunjuk ajar Baginda. Bahkan di kalangan bukan Islam turut mengakui kebenaran ajaran Islam yang dibawa Baginda hanya dengan memerhatikan cara baginda berurusan dengan mereka setiap hari.

Oleh itu, paksi ajaran agama Islam menekankan kepentingan akhlak yang mulia sesama manusia tanpa mengira latar belakang seseorang itu.

Hubungan Rasulullah (saw) dengan keluarga Baginda.

Seandainya keindahan akhlak Rasulullah (saw) dengan orang yang bukan Islam sudah begitu terserlah, betapi lagi keadaan akhlak Rasulullah (saw) bila berurusan dengan ahli keluarga Baginda.

Keadaan ini digambarkan oleh hadith yang berikut ini:

“Sebaik-baik kamu adalah mereka yang terbaik terhadap ahli keluarganya. Dan aku (Rasulullah) adalah yang terbaik dari kalangan kamu terhadap ahli keluargaku.”

 

Yang dimaksudkan dengan terbaik di sini ialah sifat rahmah dan toleransi seseorang terhadap ahli keluarganya.

 

Beberapa Contoh Kelunakan Rasulullah (saw) Terhadap Ahli Keluarga Baginda:

Pada suatu ketika Masjid Nabawi didatangi oleh rombongan dari Habsyah pada hari raya dengan nyanyian dan bunyian lalu Rasulullah (saw) bertanyakan pada Saidatina Aishah jika beliau mahu melihat persembahan mereka. Sepanjang pertunjukan tersebut Rasulullah (saw) berulang kali bertanya kepada Saidatina Aishah adakah sudah puas menonton sehinggakan diriwayatkan bahawa Baginda mengangkatnya ketika sudah penat. Ketika Saidatina Aishah sudah tidak lagi berminat untuk menontot, barulah Baginda beredar dari tempat pertunjukan tersebut.

Habib Kazim lalu menghimbau para hadirin untuk menghayati betapa Rasulullah (saw) sanggup berlama di dalam melayani kehendak isteri Baginda dan bermuhasabah tentang tahap kesabaran kita di dalam menuruti kehendak para isteri.

Saidatina Aishah turut menceritakan tentang ajakan Rasulullah (saw) untuk berlumba dengannya. Mereka berlumba dan Saidatina Aishah menang. Namun pada masa yang lain, ketika Saidatina Aishah meningkat dewasa, Baginda berlumba dan memenangi perlumbaan tersebut. Sekali lagi para hadirin diajak untuk menghayati kesungguhan Rasulullah (saw) di dalam menghiburkan isteri Baginda. Bahkan Inilah yang dikendaki Allah agar kita tidak menjadikan ahli keluarga kita bersedih!

Bahkan di dalam perlaksanaan ibadah Baginda, Rasulullah (saw) tidak pernah menjadikannya sebab untuk mengetepikan hubungan dengan ahli keluarga Baginda. Baginda pernah membiarkan kaki Saidatina Aishah menghalang tempat sujud Baginda dan hanya menyentuhnya apabila Baginda ingin bersujud. Keadaan ini berulang sepanjang waktu solat Baginda tersebut. Timbul persoalan tentang mengapa Rasulullah (saw) tidak mengejutkan isterinya terus untuk menemani Baginda dalam solat. Habib Kazim menerangkan bahawa Rasulullah (saw) tidak berbuat demikian kerana waktu tersebut belum waktunya untuk Aishah bangun malam. Ini menunjukkan nilai keprihatinan yang tinggi Rasulullah terhadap hak  isteri Baginda. Bahkan pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) meminta izin kepada Aishah untuk bangun beribadah malam.

Begitu juga halnya keadaan Rasulullah (saw) bila berurusan dengan kanak-kanak. Beliau bersungguh untuk menggembirakan mereka dan sangat bersabar atas karenah anak-anak sebagaimana Rasulullah (saw)  bersabar atas cucu-cucu Baginda Saidina Hasan &  Saidina Husein yang memanjat ke atas belakang Baginda ketika solat. Walaupun berat tanggungjawab harian Rasulullah (saw), Baginda tetap meluangkan masa untuk anak-anak. Baginda pernah membariskan anak kecil untuk berlumba kepadanya untuk memberikan mereka hadiah. Tidak hairanlah golongan pertama yang menyambut kepulangan Rasulullah (saw) apabila Baginda pulang dari suatu misi ataupun ekspedisi adalah para anak-anak untuk menunjukkan betapa Baginda disenangi oleh kanak-kanak.

Salah satu akhlak mulia Rasulullah (saw)  terhadap anak kecil jelas terpancar melalui reaksi Baginda yang membiarkan anak kecil yang terkencing di atas ribanya untuk terus ditahnik oleh Baginda tanpa Baginda menampakkan sedikit pun rasa tidak senang. Bagaimana pula dengan keadaan kita hari ini? Habib Kazim memberikan suatu senario di mana kita telah bersiap rapi dan kemas untuk menunaikan solat Jumaat tetapi anak kita yang masih kecil telah mengotori pakaian kita sebagaimana yang terjadi pada Rasulullah di atas. Adakah kita mampu memberikan reaksi yang serupa dengan Rasulullah (saw)? Habib Kazim seterusnya berpesan agar kita jangan pernah malu untuk bersifat rahmah dengan kanak-kanak.

 

Al Qur’an & Cara Kita Sepatutnya Melayani Wanita

Islam memuliakan golongan wanita seperti Saidatina Maryam yang melahirkan Nabi Isa (as) tanpa seorang suami di sampingnya. Beliau mengalami kesukaran di dalam melahirkan Nabi Isa (as) dan juga sesudahnya, namun Allah yang menguatkannya sebagaimana yang terakam di dalam Surah Maryam ayat 24:

“Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.”

Begitu juga dikisahkan bahawa selepas kelahiran Nabi Musa (as), ibu Baginda merasakan kesedihan dan kerisauan untuk menghanyutkan anaknya ke sungai demi untuk menyelamatkannya dari kezaliman Firaun yang membunuh anak-anak lelaki.  Beliau lalu dikuatkan oleh Allah Ta’ala seperti yang digambarkan di dalam ayat 7 surah Al Qasas:

“Dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.”

Bahkan ibu Nabi Musa turut digembirakan dengan 2 khabar: Nabi Musa (as) akan kembali kepadanya (selepas dihanyutkah ke sungai) dan keduanya bahawa Baginda akan tergolong di kalangan para Rasul.

Begitulah Al Qur’an mendidik kita untuk tidak menyedihkan hati para ahli keluarga kita dan berusaha untuk menggembirakan mereka. Bahkan di dalam menasihati seseorang isteri yang dikhuatiri telah bersikap nusyuz (derhaka), maka seorang suami perlulah memilih waktu yang tenang untuk menasihati isteri dengan tenang dan berhikmah tanpa mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati dan menjatuhkan maruahnya.

Sesetengah manusia yang tidak memahami Al Quran melalui kacamata kehidupan Rasulullah (saw) akan memukul isteri mereka sedangkan Rasulullah (saw) sendiri tidak pernah memukul para isteri Baginda seumur hidup Baginda.

 

Islam Adalah Gabungan Ibadah & Akhlak Yang Mulia

Sebahagian orang Islam hari ini menyangka bahawa agama ini tertegak dengan hanya sekadar ibadah sahaja tanpa menyedari bahawa akhlak yang buruk boleh menghakis pahala ibadah yang baik.

Sebagai contoh, Allah menekankan tentang kepentingan akhlak yang mulia di dalam perlaksanaan ibadah seperti yang terdapat di dalam ibadah haji dengan melarang berkata kotor, berbuat fasik dan bertengkar ketika musim haji.

Begitu juga dalam berpuasa, nilai akhlak menjadi sepenting ibadah puasa itu sendiri dengan pesanan Rasulullah (saw) untuk kita tidak menyahut seruan orang yang mengajar kita bergaduh. Begitu juga keadaannya dengan bermegah-megah setelah berbuat zakat/sedekah.

Bagi menekankan kepentingan akhlak, Habib Kazim menutup ceramahnya dengan menekankan bahawa orang yang berakhlak mulia boleh sampai kepada darjat orang yang berpuasa dan beribadah malam (disebabkan nilai murni seperti tawwadhu’, berprasangka baik sesama manusia dan mengelakkan permusuhan.) Sedangkan orang yang berpuasa dan beribadah malam boleh diturunkan darjatnya disebabkan kurang akhlaknya kepada sesama ciptaan Allah.

Semoga kita dapat menjadi hamba Allah yang sentiasa mencontohi Rasulullah (saw) di dalam menyantuni keluarga kita.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s