Majlis Al-Hadyun Nabawi – 10 Mei 2017

Berikut adalah lima catitan penting daripada pengajian kitab Riyadhus Solihin karangan Al Habib Ali Zainal Abidin pada 10 Mei 2017 di Masjid Khadijah

1.Bulan Ramadhan & Beberapa Kelebihannya

Rasulullah ﷺ menyifatkan bulan Ramadhan sebagai:

a. Bulan kesabaran yang balasannya adalah syurga
b. Bulan untuk bersedekah dan memberikan bantuan
c. Bulan ditambahkan rezeki orang yang beriman

Dari segi kelebihannya pula, Baginda ﷺ bersabda bahawa barangsiapa menjamu orang yang berpuasa walaupun dengan sebiji kurma dan segelas air, akan:

a. Diampunkan dosanya
b. Diselamatkan dari azab api neraka
c. Diberikan pahala seperti orang berpuasa yang dijamu tersebut tanpa mengurangkan pahalanya sedikitpun

2. Dua Perkara Yang Mendapatkan Keredhaan Allah & Dua Perkara Yang Amat Kita Perlukan

Rasulullah ﷺ berpesan agar Ramadhan digunakan untuk melakukan dua perkara yang mendapatkan keredhaan Allah dan 2 perkara yang amat kita perlukan.

2 perkara yang mendapatkan keredhaan Allah:

a. Mengucapkan اشهد ان لااله الا الله
b. Beristighfar

2 perkara yang amat kita perlukan:

a. Meminta kepada Allah agar kita dimasukkan ke dalam syurga
b. Meminta perlindungan Allah dari azab api neraka

Oleh itu para ulama’ kita telah menyusun bacaan berikut yang merangkumi segala pesanan Rasulullah ﷺ di atas yang sering kita bacakan pada setiap bulan Ramadhan iaitu:

أَشْهَدُ أَنْ لاَإِلَهَ إِلاَّاللَه أَسْتَغْفِرُاللَه نَسْأَلُكَ أَلْجَنَّةَ وَنَعُوذُبِكَ مِنَ النَّار

Asyhadu an-lailahaillallah astaghfirullah, nas-alukal jannata wana’udzubika minannar

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, aku memohon ampun kepada Allah, kami memohon kepadaMu akan syurga dan berlindung daripadaMu akan api neraka.

3. Peranan Orang Muda Di Dalam Masyarakat

Di dalam Al Qur’an terdapat beberapa contoh pemuda-pemuda yang dipuji Allah seperti ashabul kahfi yang menyelamatkan keimanan mereka dengan melarikan diri daripada raja yang zalim sehingga ditidurkan oleh Allah ta’ala selama 309 tahun di dalam gua. Begitu juga keadaan Nabi Ibrahim عليه السلام yang menentang kesyirikan kaumnya yang menentang berhala ketika masih muda lagi.

Di kalangan sahabat Rasulullah ﷺ sendiri, rata-rata mereka adalah lebih muda daripada Baginda. Oleh itu, baik buruk keadaan sesuatu masyarakat itu sangat tergantung kepada keadaan pemudanya. Jika keadaan para pemudanya baik, maka akan baiklah keadaan masyarakat tersebut. Begitulah sebaliknya.

Begitu kritikal peranan seorang pemuda sehinggakan Allah ta’ala menggolongkan pemuda yang masa mudanya dihabiskan di dalam ketaatan kepada Allah sebagai salah satu daripada tujuh golongan yang layak menerima naungan arasy Allah di hari kiamat kelak.

4. Keberkatan Pada Jual-Beli

Antara perkara yang akan dipersoalkan Allah ta’ala kepada hamba-hambaNya di hari kiamat sebelum sempat tapak kaki mereka berganjak ialah tentang dari mana mereka mendapatkan harta mereka dan bagaimanakah ia dibelanjakan.

Rasulullah ﷺ menegaskan lagi bahawa “Siapa yang menipu, bukanlah dia dari golongan kami”

Ini bagi menunjukkan bahawa bagi seorang yang beriman, kepentingan hidupnya tidak sekadar terbatas kepada perihal untung rugi tetapi yang lebih penting untuk diraih adalah keberkatan.

Keberkatan ini boleh bermaksud:
a. kecukupan pada rezeki
b. kesihatan
c. anak yang soleh
d. keselamatan daripada musibah

5. Kepentingan Meningkatkan Kualiti Ibadah

Di dalam perlaksanaan ibadah, adalah penting untuk tidak sekadar menumpukan kepada kuantiti (bilangan) ibadah yang dilaksanakan tetapi juga terhadap kualiti ibadah tersebut. Antara cara untuk mencapainya adalah dengan:

a. Melihat kebesaran Allah di dalam solat seperti menghadirkan rasa malu di dalam diri kita (eg kerana sering berasa hebat dan juga kerana tidak memanfaatkan kurnia yang Allah berikan kepada kita pada perkara yang sepatutnya)

b. Merasakan diri dipandang oleh Allah

Ini hanya dapat dicapai seandainya hati kita dijauhkan daripada 4 perkara yang saling berkaitan iaitu:

a. Banyak berprasangka
b. Berprasangka buruk (disebabkan kebanyakan prasangka itu sendiri buruk keadaannya)
c. Mengintai-ngintai keadaan orang lain (untuk membenarkan prasangka buruknya)
d. Mengumpat (setelah mengesahkan keburukan orang lain)

Allah berfirman dalam ayat 12 surah al Hujurat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka (supaya kamu tidak berprasangka yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah daripada kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Semoga Allah memberkati keadaan kita pada bulan Sya’ban yang berbaki ini agar kita dapat meraih sepenuhnya natijah Ramadhan yang akan datang ini. Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan pemeliharaanNya ke atas Al Habib Ali Zainal Abidin di atas ilmu yang telah beliau curahkan.