5 PERKARA PENTING DARIPADA MAJLIS TA’LIM AL HABIB ALI ZAINAL ABIDIN DI MASJID AL FALAH PADA 8 FEBRUARI 2017
Bab Kesabaran
1. Tiga (3) Jenis Kesabaran
Terdapat 3 jenis kesabaran iaitu:
a) Kesabaran di dalam melaksanakan ketaatan
b) Kesabaran di dalam meninggalkan maksiat
c) Kesabaran di dalan menghadapi musibah
2. Kesabaran Di Dalam Urusan Dunia
Termasuk di dalam kesabaran ialah apabila kita diuji dengan keadaan yang mana orang lain mendapat sesuatu kelebihan/kedudukan di dunia yang kita inginkan atau yang kita rasakan lebih layak untuk kita miliki.
Allah berfirman di dalam ayat 216 Surah Al-Baqarah:
وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Makna ayat: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Contoh terbaik di dalam keadaan ini ditunjukkan oleh para sahabat Ansar yang tidak merebut jawatan kepimpinan ataupun memberontak terhadap empat khalifah daripada kalangan sahabat yang dilantik sesudah Rasulullah ﷺ. Ini disebabkan sifat akur para sahabat Ansar kepada amanah Rasulullah ﷺ untuk bersabar dan disebabkan mereka mengutamakan ganjaran yang lebih besar iaitu bertemu dengan Rasulullah ﷺ di telaga Baginda ﷺ berkat kesabaran mereka.
3. Kaitan Kesabaran Dan Urusan Silaturrahim
Kesabaran juga perlu dihidupkan di dalam memelihara hubungan silaturrahim. Jika perasaan yang tidak baik seperti cemburu dibiarkan bermaharajalela disebabkan ketiadaan sabar, ia akan menyebabkan terputusnya silaturrahim sebagaimana yang dilihat pada kisah adik beradik Nabi Yusuf.
Syaikh Mutawalli as-Sya’rawi menasihatkan kita: Carilah ganjaran daripada Allah dengan banyak bersabar dengan karenah pasangan masing-masing.
Bab Siddiq (Kejujuran)
4. Maksud & Kelebihan As-Siddiq
Yang dimaksudkan dengan as-Siddiq adalah persamaan pada keadaan perbuatan, perkataan dan hati, lahir dan batin.
Sifat as-Siddiq (kejujuran) ini memberikan nilai kepada perkataan dan perbuatan sehingga yang mati di pembaringan boleh mendapat ganjaran orang yang mati shahid.
5. Beberapa perihal para Sahabat
Saidina Abu Bakar mendapat gelaran as-Siddiq kerana beliau telah membenarkan Rasulullah ﷺ di saat akal manusia pada ketika itu tidak dapat menerima hakikat pengalaman Isra’ dan Mi’raj Rasulullah.
Di dalam menyifatkan kesungguhan seorang sahabat yang bernama Saidina Anas Bin Nadhir yang mati syahid di dalam peperangan Uhud dengan lebih kurang 80 luka, Allah berfirman di dalam Surah Al-Ahzab ayat 23:
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا
Makna ayat: Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).
Wallahu ta’ala a’lam. Semoga Allah menggolongkan kami di kalangan mereka yang benar hati, perkataan dan perbuatan serta bersabar di dalam mendapatkannya.