5 Pengajaran Penting daripada Tazkirah Habib Alwi As-Seri (hafizahullah) di Masjid Al Abdul Razak Sempena Majlis Hawl Al-Allamah Asy-Syeikh Umar bin Abdullah bin Ahmad bin Salim Al-Khatib
1. Jadikanlah Rasulullah ﷺ sebagai pautun dan tauladan kita; usahakan untuk menjadi pembela kepada Rasulullah ﷺ. Para Nabi yg terdahulu عليهم السلام telah mengambil janji untuk membela Rasulullah ﷺ jika mereka bertemu dengannya ﷺ. Anda bagaimana?
2. Habib Ali bin Muhammad al-Habsyi akan kedepankan orang-orang solihin dan orang-orang alim dalam majlis beliau; mereka akan duduk di hadapan majlis agar hadirin dapat melihat contoh-contoh insan soleh di depan mereka supaya dijadikan contoh dalam kehidupan mereka. Dan juga, agar mereka mendapatkan nazrah dan pandangan orang-orang soleh. Begitulah keadaan majlis-majlis yang baik seperti Hawl Syeikh Umar ini maka hadirilah.
3. Rasulullah ﷺ tidak memerlukan selawat kita malah kita yang amat memerlukan kepada selawat ke atas Baginda ﷺ untuk kesejahteraan dunia dan akhirat; Allah telah memuji Baginda ﷺ dengan firmanNya:
فإنك بأعيننا
Maksud ayat: Sesungguhnya kamu (wahai Rasulullah ﷺ) di dalam pemerhatian Kami.
Cukuplah pujian ini yang mana jika dikumpulkan seluruh puji-pujian kepada Baginda ﷺ dari dahulu hingga ke masa akan datang, tidaklah dapat menandingi sedikit pun pujian Allah kepada Baginda ﷺ.
Marilah kita memperbanyakan selawat ke atas Baginda ﷺ.
4. Di antara perkara yang menggembirakan Baginda ﷺ; apabila kita amalkan sunnah Baginda ﷺ. Diantaranya adalah menyebarkan rahmah dan kasih sayang kepada semua lebih-lebih lagi kita yang hidup di dalam masyarakat majmuk – berbagai agama dan bangsa. Firman Allah:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةً۬ لِّلۡعَـٰلَمِينَ
Maksud ayat: Dan tidaklah Kami utusmu kecuali (kamu itu) rahmat ke sekelian alam.
Semoga kita diberi taufik untuk mengamalkan sunnah-sunnah Baginda ﷺ.
5. Syeikh Umar al-Khatib adalah diantara contoh-contoh orang-orang soleh yang mengikut sunnah-sunnah Baginda ﷺ. Beliau menyebarkan rahmat, ilmu, pandangan-pandangan yang jauh ke hadapan sehinggakan kita dapat rasakan kesannya pada hari ini. Semoga kita menjadi penyebar rahmat dibumi ini sebagaimana Syeikh Umar menyebarkan rahmat pada hayat beliau.