Kalam Hubabah Umm Salim 2016 – Bahagian II

‎اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

‎السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berikut adalah sedikit perkongsian daripada penyampaian yang mulia, Hubabah Ummu Salim bin Umar bin Hafiz, di Singapura pada hari Khamis tanggal 3 November 2016. Semoga ALLAH ﷻ memelihara beliau dan kita*

Perbanyakkan Selawat Di Malam & Hari Jumaat

  • Sabda Nabi Muhammad ﷺ: Bahawa manusia yang paling dekat denganku di Hari Kiamat adalah manusia yang paling banyak berselawat kepadaku. Maka, perbanyakkanlah berselawat dihari yang cerah iaitu pada hari Juma’at dan di malam yang terang benderang iaitu pada malam Juma’at.
  • Seorang mu’min (sepatutnya) meninggalkan segala kesibukan dunia jika sudah masuk malam Juma’at sehinggalah hari Juma’at itu sendiri dengan mengisikannya dengan beribadah kepada ALLAH ﷻ.

Meningkatkan Ibadah Pada Malam & Hari Jumaat

  • Amalan yang dilakukan seseorang pada malam dan hari Juma’at dilipat-gandakan oleh ALLAH ﷻ sebanyak 2 kali ganda.
  • Antara amalan yang disunatkan pada hari Jum’at adalah Solat Sunnah Tasbih diikuti pembacaan surah-surah yang memiliki keutamaan mereka yang tersendiri.  Sesudah itu perbanyakkanlah membaca selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tiada amalan yang lebih afdhal daripada membaca al-Qur’an kerana al-Qur’an merupakan kalam ALLAH ﷻ. Ia menyampaikan segala perkara yang dibawa oleh Baginda ﷺ. Oleh itu, ambillah (ilmu dan peringatan daripadanya) serta kerjakanlah. Barangsiapa yang taat kepada Baginda ﷺ maka sesungguhnya dia telah taat kepada ALLAH ﷻ.

Beberapa Pengajaran Daripada Surah Al Kahfi

  • Kita mengetahui daripada pembacaan Surah al-Kahfi bahawa segolongan pemuda yang ingin memelihara dan menyelamatkan iman dan agama mereka dengan melarikan diri daripada cengkaman pemimpin mereka yang kafir yang cuba mencegah mereka daripada beriman dan beribadah kepada Allahﷻ. Lalu ALLAH menidurkan mereka di dalam gua tersebut.
  • Juga disebutkan di dalam Surah al-Kahfi bahwa bersama golongan pemuda tersebut terdapat seekor anjing yang kita maklum keadannya yang merupakan najis yang amat berat: bulunya najis, air liurnya najis, kotorannya najis tetapi ALLAH memuliakan anjing tersebut sehingga kewujudannya disebut di dalam al-Qur’an. Ini adalah sesuatu yang menghairankan. Ulama’ menerangkan bahawa anjing tersebut mendapat kemuliaan disebut di dalam Al Qur’an kerana anjing tersebut menemani para Wali ALLAH dan Kekasih ALLAH ﷻ. Ia menemani para Wali ALLAH sehingga ALLAH ﷻ  Terlebih lagi seseorang yang menenami para Wali ALLAH, ALLAH akan memuliakannya dan memberikannya keuntungan.

Keadaan Haiwan Di Hari Kiamat

  • Di Hari Kiamat, haiwan akan dihisab sebelum manusia. Mereka dibolehkan menuntut hak mereka sama ada sesama haiwan ataupun daripada manusia. Manusia yang zalim pada haiwan pun akan dihisab nanti dihadapan ALLAHﷻ. Haiwan dibahagikan kepada 3 kategori: (1.) Haiwan yang merbahaya; (2.) Haiwan yang bermanfaat; dan (3.) Haiwan yang tidak merbahaya dan bermanfaat. Semua haiwan ini akan dihisab dan setelah dihisab, ALLAH akan berfirman kepada mereka (kecuali binatang di dalam kategori bahaya): “Berubahlah kamu semua menjadi tanah.” Maka semua manusia menyaksikan kejadian penghisaban itu sehinggakan golongan orang yang kafir mengatakan: “Seandainya aku mendapat nasib seperti haiwan setelah yang menjadi tanah kembali setelah selesai dihisab.”
  • Manakala haiwan yang berbahaya (yang bersengat) akan dimasukkan ALLAH ﷻ ke dalam api neraka untuk menyeksa para penghuninya iaitu orang-orang yang bermaksiat kepada ALLAH.
  • Kecuali seekor anjing yang bersama pemuda yang melarikan diri ke dalam gua tidak dihisab dan tidak dimasukkan dalam kedalam neraka. Anjing tersebut masuk ke dalam Syurga bersama pemuda-pemuda tersebut. Maka ini adalah pelajaran bahwa cinta itu akan bermanfaat jika seseorang menyintai kepada seseorang yang mulia kerana dia akan mendapatkan keburuntungan.

Kecintaan Kepada Nabi Muhammad 

  • Cinta kita kepada Nabi Muhammadﷺ ada dalilnya iaitu kita mengikuti Nabi Muhammad ﷺ.
  • Disebutkan di dalam sebuah hadits: Orang yang paling dekat denganku di Hari Kiamat adalah orang yang banyak membaca selawat kepadaku.

Gambaran Hari Kiamat

  • Di Hari Kiamat ALLAH akan meratakan dunia ini. Dunia ini akan terhampar luas agar menjadi saksi. Tempat di mana seseorang pernah melakukan kebaikan akan bersuara dan menjadi saksi sebagaimana tempat yang pernah berlaku kemaksiatan di atasnya akan turut bersuara dan menjadi saksi. Ia akan bersuara sebagaimana talipon bersuara. Kemudian setiap manusia akan menerima buku catitan amalannya yang bermula sejak dari mula dia baligh sehingga kematian mereka. Yang dilihat pada catitannya adalah perbuatannya sendiri tanpa Allah melihat sedikit pun. Barangsiapa yang mendapati buku catitannya penuh dengan kebaikan maka bersyukurlah kepada ALLAH ﷻ. Sebaliknya, andai ia penuh dengan perbuatan yang buruk maka jangan salahkan pada sesiapa melainkan pada dirinya sendiri.
  • Wail adalah nama wadi lembah yang berada di tengah-tengah neraka jahannam. Neraka jahannam sendiri memohon kepada Allah ﷻ perlindungan daripada kepanasan neraka wail ini sebanyak 70 kali sehari.
  • Segala sesuatu yang kecil mahupun yang besar akan diperhitungkan kelak di hadapan ALLAH. Menurut Sayyidina Ibn Abbas RadhiALLAHu’anhuma,  perkara yang paling kecil bakal diperhitungkan ALLAH adalah perkara seperti senyuman dan yang paling besar adalah seperti keadaan seseorang yang ketawa terbahak-bahak. Semua yang ditulis akan dizahirkan di hadapan mata para pelaku dan ALLAH tidak menzalimi seorang pun daripada kalangan para hambaNYA. Semoga ALLAH ﷻ melindungi dan menjauhkan kita semua daripada azab dan seksaanNYA.

Di antara amalan yang dianjurkan oleh Hubabah Ummu Salim bin Umar bin Hafiz

  • Antara surah yang disunnahkan untuk dibaca pada malam Jum’at atau harinya adalah Surah al-Kahfi. Barangsiapa yang membaca Surah al-Kahfi di waktu tersebut maka ALLAHﷻ akan  mendatangkan cahaya dari tempat beradanya pembaca tersebut yang akan terpancar sehingga ke Makkah al-Mukarramah sedang para Malaikat akan berselawat secara berterusan padanya sehingga Hari Kiamat. [1]
  • ALLAH juga akan Mengampuni dosanya selama 3 hari dan 3 malam [2]
  • Namun surah al-Kahfi harus dibaca dengan benar (tartil) dan memahami maknanya sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Abbas radhiyallahu’anhuma bahawa membaca satu surah dengan tartil lebih baik baginya daripada membaca keseluruhan al-Qur’an tanpa tartil. Cahaya yang dimaksudkan bukan cahaya yang kita biasa dilihat di dunia ini. Cahayanya kelak akan diperlihatkan oleh ALLAH ﷻ. Ketika seseorang wafat dan dimasukkan ke dalam kubur yang gelap gulita, maka amalan-amalan kebaikan yang pernah dikerjakan dahulu akan datang kepadanya berupa cahaya. Maka berdatanganlah cahaya dari tempat dia membaca Surah al-Kahfi sehingga menerobos ke Makkah al-Mukarramah, cahaya dari setiap selawat yang pernah dibaca, cahaya dari setiap al-Qur’an yang dibaca, cahaya dari setiap dzikrullah, cahaya dari setiap puasanya, cahaya dari setiap sedekahnya, cahaya daripada bakti terhadap orang tuanya, cahaya dari perdamaian yang diusahakan terhadap orang yang sedang bertengkar, cahaya dari ajakannya kepada orang untuk mengerjakan kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Setiap amalan kebaikan yang dikejakan dan diterima oleh ALLAH ﷻ akan berubah menjadi cahaya yang akan menerangi kuburnya nanti. Semoga ALLAH ﷻ memenuhkan kubur kita nanti dengan cahaya, semoga ALLAH memberikan kita taufik agar mampu mengikuti Nabi pilihanNya ﷺ, semoga ALLAH melindungi kita semua daripada menyerupai orang-orang kafir. Keadaan ini mendatangkan kesudahan yang amat merbahaya sekali kerana disebutkan di dalam sebuah hadith bahawa barangsiapa yang mengikuti sesuatu kaum maka dia akan dihimpunkan bersama dengan kaum tersebut. Barangsiapa yang cinta pada sesuatu kaum maka ALLAH akan mengumpulkan dia bersama dengan kaum tersebut.
  • Jika waktumu sudah dipenuhi dengan pembacaan al-Qur’an sehingga tidak mampu memperbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka kadar paling minima bagi seseorang untuk berselawat kepada Nabi Muhammad ﷺ pada setiap hari menurut para ulama’ adalah sebanyak 300 kali.

Semoga ALLAH memberikan kita taufik agar bisa memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad ﷺ, pada malam Jum’at ini dan malam-malam sesudahnya, bahkan buat selama-lamanya, selama mana ALLAH ﷻ memberikan kita kehidupan. [3]

  • Disunnahkan juga membaca Surah Yasin setelah membaca Surah al-Kahfi pada malam Jum’at seperti yang terdapat di dalam kitab Ihya Ulumiddin karangan Imam Al-Ghazali. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimi pula menyatakan bahawa membaca Surah Yasin 1 sekali pada malam Jum’at sama seperti membaca al-Qur’an sebanyak 10 kali. Disebutkan di dalam sebuah hadith: Setiap sesuatu mempunyai intinya, mempunyai jantungnya, maka inti daripada al-Qur’an terletak pada surah Yasin. Pada hadith yang lain: Keistimewaan Surah Yasin bergantung kepada niat yang membacanya. Sesiapa yang membacanya pada malam hari, maka ketika malam itu sendiri, dia berada di dalam keredhaan ALLAH. Kemudian ditambah dengan Surah adh-Dhukhan, Surah al-Waqi’ah, Surah as-Sajadah, Surah al-Mulk, Surah al-Muzammil, Surah al-Buruj, Surah ath-Thariq, Surah adh-Dhuha dan Surah al-Insyirah, Surah al-Qadr, Surah al-Quraisy sehingga selesai selebihnya surah dari al-Qur’an (sesudah Surah Al-Quraisy). [4]
  • Mendirikan dengan istiqamah amalan Solat Sunnah 4 Raka’at di hari Jum’at dengan membaca Surah al-Ikhlas 50 kali pada setiap raka’at yang bermakna secara keseluruhannya sebanyak 200 kali. Maka (ganjaran daripada amalan tersebut adalah) pengamalnya tidak akan mati melainkan ALLAH ﷻ akan memperlihatkan tempatnya di dalam Syurga. [5]
  • Disunatkan juga pada hari Jum’at untuk menziarahi orang tua kita baik yang masih hidup ataupun yang telah wafat. Waktu setelah Asar pada Jum’at mengandungi waktu yang istimewa iaitu waktu yang mustajab, yang mana hendaklah seseorang meluangkan waktu tersebut untuk beribadah kepada ALLAH [6].
  • Majlis ‘ilmu/dzikr pahalanya lebih afdhal daripada solat 1,000 raka’at, lebih afdhal daripada melawat/menguruskan/menghantar 1,000 jenazah, lebih afdhal daripada melawat 1,000 orang pesakit. [7]
  • Adalah dianggap satu perkataan yang salah/kurang cermat apabila seseorang mengatakan bahawa sesuatu syarahan/ceramah itu memakan masa terlalu lama. Jika syarahan/ceramah itu panjang/lama pasti ada kebaikan disebaliknya, kerana para Malaikat pun turun dan menurunkan sayapnya di dalam majlis mulia ini bersama para solihin dan orang-orang yang baik sehingga yang hadir mendapatkan pengampunan dari ALLAH akan dosa-dosanya. Semoga ALLAH ﷻ menggolongkan kita di dalam golongan orang yang baik dari kaum Solihaat.
  • Setiap seseorang yang menyebut kalimah tauhid ada keistimewaan di dalam dirinya, lebih-lebih lagi jika umurnya lebih tua daripada kita kerana memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada kita. Setiap seseorang memiliki martabat masing-masing.
  • Jika kita tidak sempat bersalaman dengan guru/para solihin/solihat (selepas majlis, maka memadailah dengan mendapat pahala dengan memandang wajah mereka dan keberadaan kita di dalam majlis tersebut). Moga kita diberikan kesempatan bersalaman dan bergandingan tangan bersama Sayyidatina Fatimah az-Zahra’ wal Batul RadhiALLAHu’anha wa Ardhaha di Hari Kiamat.

Makanan bagi ruh ialah dzikir dan ‘ilmu. Jika ALLAH ﷻ menghempapkan langit ke atas bumi hanya orang yang berzikir sahaja yang akan terselamat.

‎ اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم. الله ورسوله أعلم

*Catatan Ukhti Mastura Fatimah Nurussana

darul-zahra-tarim1


[1] Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dan tersebut juga di dalam kitab Irsyadul Ibad Ila Sabilirrasyad karangan As-Syeikh Zainuddin ibnu Abdul Aziz al-Malibari.

[2] Hadith Nabi ﷺ yang diriwayatkan oleh Saidina Abdullah Ibnu Abbas dan Saidina Abu Hurairah. Hadith ini boleh didapati di dalam kitab Siyarus Salikin karangan Syeikh Abdul Samad al-Palembangi yang merupakan penelitian dalam bahasa/penulisan Jawi bagi kitab Ihya Ulumiddin karangan Imam Al-Ghazali. Dalam riwayat lain turut dinyatakan bahawa ALLAH ﷻ akan mengampuni dosanya dari Jum’at ini sehingga Jum’at berikutnya.

[3] Lihat kepada kitab Qutul Qulub karangan Imam Abu Talib al-Makki

[4] Kebanyakan fadhilah pada surah-surah yang disebutkan di sini boleh didapati di dalam kitab Irsyadul Ibad Ila Sabilirrasyad karangan As-Syeikh Zainuddin Ibnu Abdul Aziz al-Malibari

[5] Rujukan amalan ini boleh didapati di dalam kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al Ghazali dan Qutul Qulub karangan Imam Abu Talib al-Makki

[6] As-Syeikh Zainuddin Ibnu Abdul Aziz al-Malibari menyebutkan di dalam kitabnya Irsyadul Ibad bahawa menziarahi orang yang sakit pada hari Jumaat lebih afdhal daripada ziarah pada hari-hari selainnya

[7] Fadhilat-fadhilat ini boleh ditemui di dalam kitab Siyarus Salikin karangan As-Syeikh Abdul Samad al-Palembangi dan juga Al-Jawharul Mawuhub Wa Munabbihatil Qulub karangan Syeikh Wan Kutan Ali Bin Abdul Rahman al-Kelantani

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s