Majlis Hadyun Nabawi – 21 Nov 2016

5 PERKONGSIAN DARIPADA SESI KELIMA HADYUN NABAWI BERSAMA AL-HABIB JINDAN BIN NOVEL BIN SALIM BIN JINDAN DI MASJID JAMIYAH AR-RABITAH

1. Hati Merupakan Tempat Tertumpunya Pandangan Allah

Berbeza dengan keadaan manusia yang apabila berbicara sesama mereka, lebih memberikan perhatian kepada keadaan wajah (fizik) seseorang, pandangan Allah tertumpu kepada hati apabila berbicara kepada seseorang melalui firmanNya.

Maka apabila seseorang takut kepada Allah kerana merasakan hebatnya pandangan Allah terhadap hatinya, Allah akan menjadikan segala sesuatu takut kepadanya. Sebaliknya, pemilik hati yang tidak takut kepada Allah akan dijadikan Allah takut akan segala sesuatu.

jindans

2. Bahaya Penyakit Hati

Penyakit-penyakit zahir di dunia (seperti demam, batuk, kencing manis dan sebagainya) akan berakhir dengan kematian pengidapnya. Tetapi penyakit hati bukan sahaja mendatangkan musibah di dunia bagi yang memilikinya tetapi akan menyusahkan orang tersebut di akhirat kerana akan menjadi sebab diseksa dan dihalangi daripada memasuki syurga.

Rasulullah ﷺ bersabda (Hadith Riwayat Muslim):

‎لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Maksud hadith: Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sifat Al-Kibr (sombong) walau sekadar debu sekalipun.

Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memperbaiki keadaan hati kita agar dapat mencapai keadaan hati yang didambakan oleh Nabi Ibrahim عليه السلام sebagaimana disebutkan di dalam ayat 87-89 Surah as-Syu’ara’:

‎وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ. يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ.  إِلَّا مَنْ أَتَى الَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

Maksud ayat: Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera.

3. Tanda-Tanda Penyakit Hati

Antara tanda-tanda penyakit hati ialah:

  • Al-Kibr: Sombong dan berasa hebat
  • Ar-Riya’: Mengharapkan perhatian manusia ketika berbuat kebaikan kerana tidak merasa puas dengan perhatian Allah semata-mata
  • Al-Qaswah: Hati yang keras yang tidak merasakan takut kepada Allah dan tidak berasa tergerak apabila membaca ataupun diperdengarkan ayat Al Qur’an, tidak gementar bila diingatkan tentang kematian ataupun ketika melihat jenazah itu sendiri.

4. Empat (4) Petanda Musibah & Tiga (3) Ciri Kemanisan Iman

Empat (4) Petanda Musibah Dalam Agama

  1. Hati yang keras
  2. Mata yang beku kerana tidak/susah menangis apabila membaca Al Qur’an, berzikir, mengenang mati  dan akhirat dan sebagainya
  3. Tamakkan dunia
  4. Panjang angan-angan keduniaan sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri menyatakan bahawa cita-cita manusia itu seringkali melampaui kehidupannya sendiri

Tiga (3) Tanda Kemanisan Iman 

  1. Cinta terhadap Allah dan RasulNya melebihi cinta terhadap diri sendiri
  2. Mencintai seseorang kerana Allah
  3. Benci kepada kekufuran

5. Menangani Hati Yang Keras Dengan Merendah Diri & Bergaul Dengan Ulama’

Merendah Diri

Senantiasa merasakan yang setiap sesuatu adalah lebih mulia daripada diri kita sendiri. Ini ditunjukkan sendiri oleh Al-Imam Abu Bakar Al-Adni apabila diperintahkan oleh ayahnya, Al-Imam Abdullah bin Abu Bakar Al-Aydarus, untuk mencari seseorang yang lebih rendah keadaannya daripada Imam Abu Bakar Al-Adni; beliau ‘gagal’ kerana merasakan setiap ciptaan Allah termasuk bangkai seekor anjing mempunyai kelebihan berbanding dirinya. Namun, disebabkan kerendahan diri inilah beliau berjaya mendapatkan keizinan daripada ayahnya untuk berdakwah di tengah-tengah masyarakat.

Bergaul dengan Ulama’

Carilah ulama’ akhirat yang dapat mengingatkan kita akan suasana kematian dan akhirat yang menginsafkan dan bukan yang memperkatan perihal keduniaan di dalam rumah-rumah Allah. Sememangnya di akhir zaman ini para ulama dan auliya’ amat sukar untuk ditemui tetapi tidak mustahil untuk dipertemukan dengan mereka jika kita berbaik sangka dengan Allah dan pemberianNya.

WaAllahu a’lam dan semoga kita dikurniakan hati yang lunak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s