Lima Perkara Penting Daripada Ceramah Al-Habib Umar bin Hafiz di Masjid Sultan
1. Kejayaan dan Kegagalan Yang Kekal Abadi
Al-Habib Umar bin Hafiz memulakan ceramah dengan menjelaskan kepentingan menyedari bahawa hukum Allah di akhirat kelak adalah muktamad dan membatalkan segala keputusan yang pernah dibuat di dunia. Mereka yang mendapat keselamatan dan kejayaan akan mendapatkan keselamatan dan kejayaan yang kekal abadi. Sebaliknya, mereka yang rugi dan celaka akan turut merasakan kerugian dan kecelakaan yang abadi.
2. Menyingkapi Perjanjian/Akad Kita Dengan Allah
Al-Habib Umar menekankan kepentingan menilai semula perjanjian/akad kita dengan Allah melalui isi kandungan Al-Qur’an. Ini termasuk memberikan penekanan kembali terhadap asas kalimah “Laa ilaha illaAllah Muhammad Rasulullah” (لا اله الاالله محمد رسول الله).
Salah satu cara untuk menekankan kembali asas ini adalah melalui pembacaan selawat yang banyak ke atas Rasulullah ﷺ yang terdapat dua hasil padanya:
- Pemeliharaan Allah daripada kesukaran di dunia; dan
- Pengampunan ke atas dosa pada hari akhirat kelak.
3. Kepentingan Memelihara Hubungan Kita Dengan Sesama Muslim
Selanjutnya, Al-Habib Umar menerangkan maksud ayat 10 dari Surah Al-Hujurat yang merupakan tema Malam Mahabbah 2016:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksud ayat: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, semoga kamu dirahmati.
Al-Habib Umar menegaskan bahawasa hubungan sesama Muslim yang sah hanyalah yang berpaksikan hubungan persaudaraan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk memelihara hubungannya dengan sesama Muslim kerana Allah akan membalas usaha mereka yang menyatukan antara dua pihak Muslim yang bersaudara dengan menghimpunkan mereka dengan insan yang mereka kasihi di hari kiamat. Sebaliknya, mereka yang giat memutuskan hubungan sesama Muslim akan dipisahkan daripada insan yang mereka kasihi.
4. Mengawasi Penggunaan Lidah Kita
Ini melibatkan pengawasan terhadap lidah kita daripada mengumpat, bertengkar dan berdebat serta mengkafirkan sesama Muslim. Kemudahan kita menggunakan lidah kita telah menyebabkan kita terlupa bahawa kita akan dikenakan bayaran yang mahal di akhirat disebabkan penggunaan lidah yang tidak terkawal.
Allah menyebut di dalam Surah Qaf ayat 18:
مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
Maksud ayat: Tiada suatu perkataan yang diucapkan manusia melainkan dicatit oleh dua malaikat.
Nabi juga bersabda:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت
Maksud hadith: Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah bercakap benar ataupun berdiam sahaja.
5. Kepentingan Akhlak Yang Mulia
Oleh itu, Al-Habib Umar menyeru kita agar mempamerkan akhlak yang mulia dengan meninggalkan perdebatan dan pertelingkahan, mengamalkan sifat berlapang dada dan pemaaf di samping bersifat ihsan di dalam berurusan dengan sesama Muslim mahupun sebaliknya. Akhlak mulia ini ditunjukkan oleh Saidina Umar al Khattab dan isterinya, Ummu Kulthum bint Ali yang mengorbankan keselesaan mereka untuk membantu seorang lelaki yang dilanda kepapaan dan mempunyai isteri yang sedang mengerang kesakitan kerana sudah tiba masa melahirkan anak. Sikap Saidina Umar dan Ummu Kulthum menjadi bukti tentang perlunya seorang Muslim untuk sentiasa berkhidmat kepada orang lain.