RINGKASAN DARI AMANAT SAYYIDIL HABIB UMAR BIN HAFIZ SEMPENA BULAN MAWLID NABI 1437H ﷺ
Matlamat yang terpenting bagi kita (ummat Islam) ialah memahami bagaimana hendak mendirikan kehidupan kita atas Manhaj Nubuwah (Perjalanan Kenabian) lantas menjadikan kehidupan ini seperti insan yang diingati pada bulan ini iaitu penghulu sekalian warga dunia dan akhirat: Rasulullah ﷺ.
Ramai dari kalangan ummat ini hidup dalam keadaan huru-hara di mana tanggapan masyarakat terhadap agama Islam telah dipesongkan sekaligus menjadi penghalang bagi mereka yang bukan Islam untuk memahami dan memeluk agama Islam. Oleh itu, tugas kita sekarang ialah untuk kembali mengasaskan diri kita atas hakikat Islam. Bagi mencapai matlamat tersebut, kita perlu menterjemahkan Islam dengan terjemahan yang terbaik, dan meninggalkan segala persaingan sesama kita, ketaksuban dan meninggi-ninggikan diri (melebihi yang lain).
Seorang Muslim perlu berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan setiap lapisan masyarakat termasuk jiran tetangga dan teman sepejabat di dalam rangka menjawab segala cacian dan tohmahan terhadap agama Islam. Dengan usaha membaiki akhlak secara menyeluruh, akan tertolak segala tuduhan para musuh Islam disebabkan tuduhan mereka berbeza dengan akhlak mulia seorang Muslim yang dikenali masyarakat umum. Mereka yang memusuhi Islam akan tetap berusaha memadamkan cahaya Allah dengan kata-kata mereka namun Allah sediri Maha Memelihara akan cahayaNya sebagaimana yang termaktub dalam Surah as-Saf ayat 8:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمٌّ نُورَه
Maksud: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya.
dan surah at-Taubah ayat 32:
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ
Maksud: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya.
Seorang Muslim diingatkan agar tidak menyinggung orang lain, memberikan kesempatan untuk orang lain bertindak biadab dan kasar terhadap Islam. Seorang Muslim sepatutnya menjadi duta agama yang cemerlang dengan tidak menghiraukan serangan oleh pihak media di samping memberikan tumpuan terhadap perkara-perkara yang dituntut oleh Allah. Mereka sepatutnya mengelakkan diri daripada saling berdebat kerana ini merupakan pintu kepada kesesatan.
Terdapat larangan yang jelas dalam beberapa ayat Al Qur’an untuk berdebat kecuali dengan cara yang terbaik. Hendaklah kita mengetahui apakah cara yang terbaik itu agar kita dapat menyibukkan diri kita – bukan semata-mata untuk menegakkan kebenaran – tetapi juga dengan jalan yang diredhai Allah. Allah swt menyukai kita menyibukkan diri dengan beribadah kepadanya seperti penyucian hati dan tadabbur ayat-ayat suci Al Qur’an. Antara hikmah yang terbesar tentang kesusahan dan ujian yang datang adalah agar hamba itu tunduk merendah diri dan merasa kecil di hadapan Allah, kerana kalau tidak begitu nescaya hati akan menjadi keras dan terpedaya dengan hiasan syaitan. Maka sibukkanlah diri sesuai dengan keredhaan Allah.
Oleh kerana itu, kita wajib menjaga adab dengan Allah dengan melaksanakan perkara yang mendatangkan kecintaan Allah seperti berbakti kepada ibu bapa, menghubungkan silaturrahim, mendidik anak-anak, menyantuni tetangga, membantu mereka yang memerlukan dan menambah pengetahuan dalam ilmu syariat. Semua ini mendatangkan keredhaan Allah kerana manfaat zahir dan batin yang diperolehi sekelian hamba Allah daripa usaha-usaha tersebut. Semua usaha ini semestinya berpaksikan kemahuan untuk menjalinan ikatan dengan Allah dan RasulNya ﷺ dan bukan tujuan yang selainnya.
Amanat Sayyidil Habib dalam Bahasa Arab:
Like this:
Like Loading...
Related